21 Julai 2013

Ibu Bapa Cuai Jaga Anak Boleh Didakwa



Ibu bapa atau penjaga yang cuai dalam penjagaan anak mereka boleh didakwa di mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim. Beliau berkata sekiranya sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

"Sekarang ini sudah terlampau banyak kes kecuaian, tinggalkan anak di dalam kereta...ibu bapa tidak belajar daripada pengajaran, kita harap perkara ini akan jadi teladan dan tidak berulang lagi," katanya.

Beliau diminta mengulas insiden seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun maut akibat lemas setelah ditinggalkan tanpa sengaja oleh ibunya selama lebih lima jam dalam kereta di tempat letak kereta sebuah sekolah di Subang Jaya pada Khamis 18 Julai, 2013.


Nawal Iris Samsudin, yang tertidur di kerusi belakang kereta, ditemui ibunya Nor Zatusy Hazwa Abdul Rahim, 32, dalam keadaan kebiruan sebelum dibawa ke klinik berhampiran dan disahkan meninggal dunia.

Rohani berkata kejadian itu sepatutnya tidak berlaku kerana ia merupakan tugas dan tanggungjawab ibu dan bapa dalam memastikan anak mereka mendapat penjagaan yang baik.

"Kemalangan boleh berlaku di mana-mana dan oleh sesiapa sahaja, hal seperti ini perlu diingatkan selalu, saya berasa amat sedih dan bersimpati kerana kejadian ini merupakan satu kecuaian," katanya.

Justeru, beliau berkata kementerian akan berbincang dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk menambah modul baharu di dalam kursus keibubapaan yang dianjurkan lembaga itu bagi mengelakkan insiden kecuaian berlaku lagi sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian anak.

Kanak-Kanak 3 Tahun Maut Selepas Ditinggalkan Lebih Lima Jam Dalam Kereta

Seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun mati akibat lemas setelah ditinggalkan tanpa sengaja oleh ibunya selama lebih lima jam dalam kereta di tempat letak kereta sebuah sekolah di Subang Jaya, pada Khamis 18 Julai, 2013

Nawal Iris Samsudin, yang tertidur di kerusi belakang kereta, ditemui oleh ibunya Nor Zatusy Hazwa Abdul Rahim, 32, dalam keadaan kebiruan sebelum dibawa ke klinik berhampiran dan disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata, kanak-kanak itu ditinggalkan di dalam kereta dengan kesemua tingkap ditutup dan enjin dimatikan sejak pukul 11 pagi sebelum ibunya kembali ke kereta itu pada pukul 5.30 petang.

Ibu kanak-kanak itu yang merupakan seorang guru terlupa mengenai anak bongsunya yang sepatutnya dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak sebelum dia ke sekolah. Beliau berkata sebelum ke sekolah, wanita itu menghantar adiknya ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Dia kemudiannya bergegas ke sekolahnya untuk menghadiri mesyuarat itu kerana terlewat setengah jam. Beliau tidak menyedari anaknya tidur di tempat duduk belakang keretanya.

Setelah habis tugasan si-ibu pergi ke kereta pada 5.30 petang dan terkejut melihat muka Nawal Iris kebiruan, bibirnya pucat serta ada kesan muntah dan najis kanak-kanak itu di dalam kereta berkenaan,

Seorang kakitangan sekolah berkata kereta ibu mangsa ditutup rapat selain diletakkan di kawasan parkir tidak berbumbung dan cuaca panas terik.

“Selepas mesyuarat ibu mangsa dikatakan menghadiri kelas untuk mengajar dan terlupa anak yang ditinggalkan dalam keretanya.

“Mayat mangsa ditemui basah kuyup dan kebiruan,” katanya

Yahaya berkata menyedari keadaan anaknya yang tidak bergerak, wanita berkenaan segera membawa anaknya ke klinik swasta berdekatan di USJ4, Subang Jaya, di sini dan doktor mengesahkan kanak-kanak itu telah meninggal dunia.

Beliau berkata laporan bedah siasat oleh Hospital Serdang yang diperoleh tengah hari ini mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia kerana 'heat stroke'.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata mangsa dipercayai mati lemas akibat terperangkap dalam kenderaan jenis PERODUA Myvi ibunya.

“Siasatan mendapati, ibu mangsa, didapati tanpa sedar meninggalkan anaknya yang sedang tidur di dalam kereta. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 33, Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan yang berpatutan. Seksyen ini memperuntuk hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Kes ini pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati terdapat unsur kecuaian dan dikelasifikasikan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Sumber:  BERNAMA (Artikel1), BERNAMA (Artikel2), BERNAMA (Artikel 3) dan BHarian (Artikel1), BHarian (Artikel2)

p/s: Pertama kali membaca berita ini, hari lantas diragut rasa sayu sedih. Bermacam-macam perkara bermain dalam kepala.

Sesekali saya juga pernah secara sengaja meninggalkan anak yang tidur dalam kereta ketika shopping kerana tidak mahu mengganggunya tidur. Tetapi oleh kerana ia dilakukan dalam keadaan saya sedar maka saya tidaklah meninggalkannya dalam jangka masa yang lama dan saya juga tinggalkannya dalam keadaan aircond terpasang.

Takziah kepada Pn. Nor Zatusy Hazwa dan keluarga atas ujian dan dugaan yang mereka terima serta hadapi di bulan Ramadhan ini. Tentu berat perasaan (trauma) yang ditanggung oleh Pn. Nor Zatusy Hazwa dengan kehilangan anak bongsu tersayang lebih-lebih lagi dengan rasa bersalah yang sangat menebal terhadap kecuaian diri. 

Sebagai manusia kita tidak pernah sunyi dari kesilapan. Semoga peristiwa ini menjadi pengajaran kepada kita semua.

Sekurang-kurangnya kita mungkin perlu mempraktikkan sesuatu, seperti membiasakan membuka sedikit cermin tingkap setiap kali kita meletakkan (parking) kereta. Ia bukan sahaja mengurangkan kepanasan kereta, tetapi juga menghindarkan sebarang kemungkinan yang melibatkan nyawa seseorang yang kita kasihi.

Sekurang-kurangnya, dengan cermin sedikit terbuka, jika ada kanak-kanak di dalamnya disebabkan kita terlupa, pasti tangisan kanak-kanak ini sedikit sebanyak dapat didengar oleh seseorang  Dalam hal ini cermin yang sangat gelap mungkin suatu keburukan kerana mangsa sukar dilihat daripada luar ...

Al-Fatehah buat adik Nawal Iris ...

0 comments: