23 Julai 2013
Pasar Jodoh Di Shanghai China
Senarai mereka yang 'memasarkan' diri untuk berkahwin.
JODOH adalah ketentuan Tuhan. Walau bagaimanapun jodoh mungkin tidak datang jika seseorang itu tidak berusaha untuk mencarinya.
Di bahagian lain dunia, terdapat mereka yang dengan selamba memasarkan diri di kawasan terbuka. Di wilayah Shanghai, China, terdapat sebuah pasar yang cuba 'menjual' sesiapa yang mahu berkahwin.
Telah wujud sejak 1996, lebih dikenali sebagai Pasar Nikah Shanghai, namun ia tidak seperti yang kita gambarkan, penuh dengan wanita yang berdiri di atas pentas atau tempat tinggi. Tidak ada objek untuk dijual.
Apa yang boleh didapati di sini adalah sekeping kertas yang seolah-olah berfungsi sebagai biodata diri untuk ditatap oleh para pengunjung sebelum perkara lanjut dilakukan.
Bagaimanapun sesuatu yang unik dalam hal ini adalah biodata yang terdapat di situ bukanlah disediakan oleh si empunya diri tetapi orang tua mereka yang bimbang anak mereka masih belum bertemu jodoh.
Salah satu sebab kenapa pasar sebegini diwujudkan kerana kebimbangan ibu bapa yang risau melihat anak-anak mereka masih belum berkahwin akibat kesibukan mereka bekerja berikutan suasana ekonomi China yang semakin berkembang.
Cara mereka meletakkan kertas yang mempunyai biodata diri juga agak unik. Kertas berkenaan digantung pada tali dan terkandung di dalamnya biodata serta gambar untuk ditatap oleh mereka yang berminat.
Terdapat ratusan nama di situ tanpa mengira jantina. Namun berlaku kegelisahan mungkin budaya itu akan hilang tidak lama lagi.
Ini kerana kebanyakan remaja tidak lagi gemar ibu bapa mereka campur tangan dalam kisah cinta mereka. Maka nama yang tergantung sudah tidak sebanyak dahulu.
Namun masih terdapat harapan bagi mereka yang mencari jodoh dengan menggunakan teknik sebegini. Malah dikatakan terdapat orang luar yang turut mencuba nasib mereka di situ.
Lain pula halnya di sebuah perkampungan Gipsi di sebuah perkampungan terpencil di Prohorovo, Bulgaria. Penduduk kampung tersebut dikatakan telah mempraktikkan teknik 'menjual' diri untuk berkahwin dan dipercayai telah diamalkan sejak ratusan tahun lagi.
Wanita yang masih bujang akan berkumpul di sebuah pasar jodoh di kampung berkenaan dengan memakai pakaian yang seksi dan menggiurkan untuk menarik perhatian 'bakal suami'.
Hanya individu berumur 15 hingga 30 tahun dan ditemani ibu bapa dibenarkan menyertai acara itu bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
Sesi tawar-menawar berlaku seperti pasar awam tetapi syarat utama gadis atau wanita itu mestilah masih bujang selain paling penting masih, dara. Semakin cantik gadis yang dilelong semakin tinggi harga bidaan yang akan diperolehi.
Sekiranya terbukti anak perempuan tidak lagi perawan, ibu bapa gadis perlu memulangkan semula wang tawaran yang diberikan selain ibu bapa tidak dibenarkan menyertai acara sama pada masa hadapan.
Ibu bapa yang hadir ini membawa anak gadis masing-masing dengan seribu satu harapan ingin meningkatkan taraf hidup mereka yang miskin sebelumnya.
Pendidikan bukanlah satu keutamaan bagi mereka kerana kajian mendapati 25 peratus wanita di kampung tersebut buta huruf dan hanya 10 peratus yang menamatkan pendidikan peringkat menengah.
Namun begitu tradisi ini dilihat semakin pupus kerana wanita di perkampungan itu tidak seperti dahulu dan sama seperti wanita moden lain.
Ramai di antara mereka yang sudah berhijrah ke bandar besar dan menjalani kehidupan moden sebelum berkahwin. Malah jika satu ketika dahulu adalah satu kesalahan besar untuk berkahwin dengan orang luar tetapi budaya tersebut sudah pupus dan dianggap kolot.
Sumber: Utusan
Labels:
Luar Negara
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
ehe boleh iklan kat sini ni...ekeke :p
Catat Ulasan