22 Ogos 2013
Ngeri dan Tragis Nahas Kereta Api
KEJADIAN kereta api tergelincir di Sepanyol pada 25 Julai 2013 lalu telah menimbulkan persoalan tentang keselamatan perkhidmatan tersebut.
Lebih malang lagi pemandu kereta api itu dikatakan sedang bercakap di telefon bimbit sehingga tidak sedar telah memandu sekali ganda lebih laju daripada had yang dibenarkan.
Kemalangan melibatkan kereta api merupakan satu peristiwa yang sangat jarang berlaku namun kesan kemusnahan yang terjadi jika ia berlaku ternyata begitu mengerikan.
Mengimbas kembali beberapa peristiwa kemalangan kereta api terburuk pernah berlaku dalam sejarah, sejak perkhidmatan ini diperkenalkan pada kurun ke-18.
Kemalangan paling buruk berlaku di Sri Lanka apabila kereta api yang sedang bergerak terbabas akibat dilanda tsunami dan mengakibatkan 1,700 penumpang terkorban.
SEPANYOL
TRAGEDI 25 Julai 2013 lepas ini dianggap antara yang terburuk pernah berlaku di Eropah dalam tempoh 10 tahun.
Kejadian berlaku apabila sebuah kereta api penumpang tergelincir di barat laut Sepanyol menyebabkan sekurang-kurangnya 80 orang maut dan lebih 100 lagi cedera.
Ketika nahas pada pukul 8.42 malam waktu tempatan, kereta api itu dikatakan membawa seramai 218 penumpang dan empat kakitangan serta sedang menghampiri stesen Santiago de Compostela di wilayah Galicia. Kereta api itu dalam perjalanan dari Madrid ke bandar Ferrol.
Insiden itu menyebabkan gerabak penumpang merempuh antara satu sama lain dan empat gerabak turut terbalik dengan mayat-mayat bergelimpangan di sepanjang landasan.
Laporan terbaru kemalangan membuktikan berpunca daripada tindakan pemandu kereta api yang terselamat dalam kejadian ngeri tersebut. Dia dilaporkan sedang bercakap melalui telefon bimbit dengan rakan sekerjanya.
Apatah lagi kelajuan 153 kilometer sejam ketika itu dikatakan sekali ganda daripada had yang dibenarkan ketika mengambil selekoh.
Ketika ini pemandu yang dikenali sebagai Francisco Jose Garzon sedang disiasat oleh pihak berkuasa dan bakal berhadapan dengan pertuduhan membunuh 79 orang kerana memandu secara berbahaya.
PERANCIS
KEJADIAN kereta api terbabas dan kemudian merempuh dinding terminal terbesar di Paris, The Gare Montparnasse pada 22 Oktober 1895 mencipta sejarahnya tersendiri. Ia adalah antara kemalangan kereta api terawal berlaku di dunia.
Terminal tersebut antara enam terminal yang terbesar di Paris . Kereta api berkenaan, Granville-Paris Express, terlajak dari laluan asal sebelum merempuh dinding terminal dan kemudian terhumban setinggi 20 meter.
Dua daripada 131 orang penumpang cedera parah. Seorang pejalan kaki wanita bagaimanapun tidak bernasib baik apabila terbunuh akibat dirempuh kereta api berkenaan ketika melintas terminal tersebut.
Setelah siasatan penuh dijalankan mendapati punca sebenar kemalangan adalah akibat kegagalan brek selain kesilapan pemandu yang cuba mengejar masa kerana lewat daripada jadual asal.
Pemandu tersebut telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak 50 franc manakala konduktornya pula didenda sebanyak 25 franc.
Oleh Hafizahril Hamid
Sumber: Utusan
Labels:
Luar Negara,
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan