16 Ogos 2013

Puasa Enam Hari Di Bulan Syawal Pelengkap Setahun


Umpama berpuasa seumur hidup

SETELAH berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan dan merayakan Hari Raya Aidilfitri umat Islam sangat digalakkan berpuasa sunat Syawal selama enam hari di bulan Syawal bagi mengimbangi kesihatan yang telah menikmati pelbagai makanan semasa hari raya.

Puasa enam hari di bulan Syawal juga dapat melatih kembali hati dan diri daripada segala godaan nafsu.

Puasa sunat Syawal boleh dilakukan enam hari pada bulan Syawal , berturut-turut atau terpisah-pisah asal tidak sampai melewati bulan tersebut. Manakala pada hari raya pertama dilarang berpuasa.


Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa berpuasa Ramadan (penuh) lalu diikuti dengan berpuasa enam hari dalam bulan Syawal maka dia seperti berpuasa seumur hidup. (riwayat Muslim).

Rasulullah SAW tidak menjelaskan apakah puasa enam hari dalam bulan Syawal ini dilaksanakan secara berturut-rurut atau secara berselang-selang. Oleh itu puasa enam hari yang dimaksudkan oleh hadis di atas boleh dilakukan berturut-turut mahupun berselang-selang, yang penting cukup enam hari.

Sementara dalam satu hadis yang lain Nabi SAW yang bermaksud: "Berpuasa sebulan (di bulan Ramadan itu disamakan) dengan 10 bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun." (riwayat ad-Darimi).

Puasa sunat Syawal ini adalah untuk menampung kekurangan-kekurangan yang terdapat dalam bulan Ramadan kita. Misalnya, kebanyakan daripada kita hanya berpuasa secara menahan lapar dan dahaga sahaja. Sedangkan perkara lain harus diberi perhatian seperti puasa "telinga" , "lidah" dan sebagainya. Maka puasa sunat Syawal adalah untuk menampung kekurangan yang terdapat dalam puasa fardu.

Umat Islam hendaklah banyak melakukan amalan-amalan sunat seperti banyak bersembahyang sunat, membaca al-Quran, bersedekah dan berpuasa sunat untuk menguatkan iman kita. Selain itu, kita dapat mengemaskan amalan wajib, kita juga dianjurkan memperbanyak amalan sunat.

Ini disebabkan amalan sunat menyempurnakan amalan wajib kita. Meninggikan pangkat dan darjat kita di syurga serta dapat meningkatkan ketakwaan kepada-Nya. Dalam melaksanakan amalan sunat ini, perlu kita ingat, jangan sampai melalaikan perkara yang wajib.

Sebagai contoh kita hendak mengejar tahajud malam sehingga terlewat dan tertinggal sembahyang Subuh. Atau tidak berpuasa di bulan Ramadan tetapi menunaikan puasa sunat Syawal.

Selain itu, banyak melakukan sedekah dan ibadah sunat tetapi tidak bersilaturahim sesama manusia. Kerana bersilaturahim itu hukumnya wajib dan perlu dilaksanakan dahulu.

Imam Al-Ghazali daripada kitab Ihya Ulumuddin, menjelaskan tentang tatacara berpuasa iaitu jika kamu berpuasa, janganlah kamu menyangka bahawa berpuasa itu cuma meninggalkan makan, minum dan bersetubuh. Bahkan juga menahan mata daripada memandang sesuatu yang dibenci oleh Allah, menahan lisan daripada mengucapkan kata-kata yang tidak bermanfaat, menahan telinga daripada mendengar sesuatu yang diharamkan oleh Allah, kerana sesungguhnya pendengaran itu menemani orang yang berbicara.

Selain itu menurutnya lagi, masing-masing daripada kedua-duanya adalah pengumpat. Begitu juga kamu mencegah seluruh anggota tubuh seperti mencegah perut dan kemaluan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa tidak dapat meninggalkan ucapan dan perbuatan dusta (waktu berpuasa) maka Allah tidak menghendaki puasanya, hanya lapar dan dahaga sahaja. (riwayat Al Bukhari).

Oleh DR AMINUDIN MANSOR
Bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM.
Sumber: Utusan


Amalan baik yang dibuat sepanjang Ramadan seharusnya diteruskan pada bulan-bulan lain. - Gambar hiasan

Fadhilat dan kelebihan Puasa Enam

Dalam sebuah hadis sebagaimana diiriwayatkan oleh Abu Ayyub al-Ansari, Nabi SAW pernah bersabda : "Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian mengikutinya dengan puasa pada enam hari pada bulan Syawal maka dia seolah-olah seperti berpuasa selama setahun." [Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]

Imam al-Nawawi rahimahullah menukilkan kata-kata para ulama sebelumnya dengan mengatakan bahawa perumpaan puasa enam itu dengan setahun kerana setiap kebaikan akan diberikan ganjaran sebanyak sepuluh kali ganda. Maka puasa sebulan Ramadan seolah-olah menyamai puasa selama 300 hari dan tambahan enam lagi melengkapkan bilangan 360 hari yang mewakili jumlah setahun Qamariyyah.

Begitu juga pandangan daripada Imam Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali daripada Ibn al-Mubarak mengatakan bahawasanya puasa enam dalam bulan Syawal menuruti puasa Ramadan dari aspek fadhilat dan ganjaran pahala. Maka ganjarannya seolah-olah setahun berpuasa fardu.

Selain manfaat dan ganjaran pahala, puasa enam juga mempunyai kelebihan dari aspek kesihatan. Antara kelebihan dan keajaiban puasa enam Syawal dari perspektif kesihatan, dinukilkan daripada kajian-kajian dan ujikaji perubatan sebagaimana yang ditulis oleh Dr. Jamal Muhammad al-Zakiyy dalam bukunya Tibb al-I'badat bahawasanya jika seserang itu berpuasa dalam sehari tubuh badannya boleh dibersihkan (detox) dari zat-zat yang berlebihan (tidak diperlukan badan) dan racun-racun yang termendap dalam tubuh selama 10 hari.

Justeru, proses detoxification ini berlaku dalam tempoh 10 hari dengan hanya sehari berpuasa. Jadi, dalam setahun tubuh manusia perlu berpuasa sekitar 36 hari untuk proses detoxification ini berlaku secara total. Kiraannya adalah semudah 36 hari iaitu jumlah keseluruhan 30 hari Ramadan ditambah dengan 6 hari Syawal dan setiap hari itu mewakili 10 hari tempoh detoksifikasi tubuh manusia yang berjumlah akhirnya sebanyak 360 hari mewakili jumlah hari dalam setahun berdasarkan kalendar Hijri.

Hikmah Yang Tersirat

Subhanallah! Hebat sungguh kelebihan yang Allah kurniakan menerusi sunah agung ini. Sesungguhnya puasa enam di bulan Syawal ini merupakan manifestasi kesyukuran serang hamba kepada Allah atas segala nikmat yang telah diperolehi sepanjang sebulan Ramadan. Ini juga adalah bukti kecintaan kepada ketaatan dan kebencian terhadap melakukan maksiat dan kederhakaan kepada al-Rahman. Ia juga menjadi pemacu kepada amal kebajikan yang berterusan dan kebaikan yang bertambah-tambah serta kelangsungan beramal soleh.

Jangan sekali-kali menukar roh ketaatan dalam bulan Ramadan dengan menyambung maksiat pada bulan Syawal. Adapun perbuatan ini menurut Ibn Rajab adalah umpama membalas segala nikmat Allah dengan kekufuran. Bisyr al-Hafi juga mengungkapkan adalah sangat buruk pekerti mereka yang hanya mengenal Allah di dalam bulan Ramadan. Namun, seorang hamba yang soleh akan melangsungkan ibadahnya sepanjang tahun.

Puasa enam ini juga diibaratkan seperti solat-solat sunat yang menghiasi dan melengkapi solat-solat fardu. Jika aspek keduniaan kita inginkan kesempurnaan, mengapa pula aspek akhirat kita berpada hanya sekadar cukup makan? Sangat pelik sifat manusia yang mengejar sesuatu yang bakal ditingalkannya dari dunia lantas melupakan akhiratnya yang kekal selama-lama.

JIka manfaat kesihatan yang diinginkan, maka ia juga tersedia buat kita. Semoga bukan racun fizikal sahaja yang ditendang keluar, tetapi yang lebih hebat lagi racun kekufuran, syirik dan nifaq juga terdetoksifikasi dari hati yang sewajarnya hanya diisi dengan takwa dan keimanan.

Ingatlah wahai teman, sesunggunya tiada yang lebih indah dan lazat bagi seorang hamba melainkan setelah merasai kemanisan iman. Tiada yang dapat merasa manisnya kecuali telah dilaksanakan segala tuntutan dan dimurnikan segala bentuk ketaatan. Ibarat seorang yang mahu menceritakan tentang manisnya madu. Bagaimana mungkin dia mampu mengungkapkan manisnya sedangkan madu itupun belum pernah dikecapinya?

Jangan jadikan alasan menghadiri jemputan perayaan dan rumah terbuka sebagai pemusnah amalan. Ia mampu dirancang dan disusun dengan baik. Bukan hanya kehendak selera yang ingin dirai, namun kehendak iman dan peluang beramal juga perlu diberi perhatian.

Hargailah kesempatan yang hanya datang setahun sekali. Ketahuilah bahawa musim ketaatan bagi seorang hamba itu berlangsung sepanjang hidupnya. Ia hanya akan kunjung hentinya setelah hamba itu menziarahi sendiri ruangnya di pusara. Justeru, pastikan tindakan dan segala perancangan usia kita punya nilai ibadah. Agar kelak tiada penyesalan tatkala dihisab di mahkamah Tuhan.

Oleh AHMAD HUSNI ABD. RAHMAN
Sumber: Utusan

2 comments:

Unknown berkata...

Salam Aidilfitri dari Fahz :)

Unknown berkata...

koding dah habis puasa 6 ke belum?