08 Ogos 2013
Syawal Hidupkan Amalan Ziarah
Amalan erat silaturahim patut diteruskan tanpa mengira musim
Alhamdulillah, hari ini kita merayakan Aidilfitri dalam suasana meriah dan menggembirakan, mudah-mudahan segala amal ibadah di sepanjang Ramadan lalu diterima Allah SWT dan kita mengharapkan untuk berterusan dalam ketaatan serta keredaan Allah SWT.
Hari ini kita berada dalam bulan Syawal yang terasa kehangatan suasana hari raya dengan amalan ziarah menziarahi antara satu sama lain. Oleh itu, rugi jika kita tidak mengamalkan budaya menziarahi yang dekat mahupun jauh.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah, bertakwalah kamu kepada Allah mudah-mudahan kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Amalan ziarah amat dituntut dalam Islam dan seseorang Muslim itu tidak sempurna imannya jika ia tidak menghubungkan silaturahim. Amalan ziarah memberi manfaat yang amat besar dan faedah berguna dalam konteks perpaduan ummah.
Namun, jangan kita mengabaikan amalan ziarah terutama menziarahi saudara terdekat, sahabat handai, jiran tetangga, di luar musim perayaan atau sambutan tertentu.
Ini disebabkan fahaman dan amalan ziarah tidak bersifat bermusim atau menjadi tradisi diamalkan sempena sambutan perayaan seperti Hari Raya Puasa yang sedang kita raikan ataupun Hari Raya Haji semata-mata. Amalan ziarah tidak sepatutnya diabaikan masyarakat dengan alasan kesibukan tugas harian.
Islam telah menggariskan pelbagai panduan untuk menghubungkan silaturahim sesama manusia, lebih-lebih lagi saudara seagama, supaya umat Islam menjadi umat kuat, berjaya, tidak hidup bersendirian atau dengan istilah “aku aku”, “engkau engkau”.
Pengertian silaturahim dalam Islam amat luas serta mendalam. Contohnya, apabila seseorang telah mengucap dua kalimah syahadah, maka terjalinlah ikatan persaudaraan Islam atau silaturahim, tidak kira di mana mereka berada. Semua orang Islam adalah bersaudara dalam akidah yang satu.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah, bertakwalah kamu kepada Allah mudah-mudahan kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Bagi sesetengah manusia yang hidup mereka tidak mematuhi syariat Islam, umpamanya suka mencari kesalahan orang lain, mencaci, membuat fitnah, mencerca, bersifat hasad dengki, khianat, dan melakukan kezaliman, mereka adalah golongan yang memutuskan silaturahim.
Hampir kesemua ibadah dalam Islam dituntut dilakukan dalam bentuk berkumpulan atau berjemaah. Ia tidak lain bagi memberi galakan umat Islam bertegur sapa atau bertukar-tukar pandangan. Begitu juga ibadah haji yang mengajak menghubungkan silaturahim saudara Islam di seluruh pelosok dunia.
Ibadah zakat menghubungkan nilai persaudaraan dalam kalangan umat Islam dengan sifat tolong-menolong, bantu membantu, akhirnya lahirlah nilai kasih sayang antara yang kaya dengan yang miskin.
Justeru, marilah bersama menghidupkan amalan ziarah menziarahi, mempereratkan hubungan silaturahim dan kasih sayang sebagai umat Islam di dunia bahkan sampai ke akhirat, mudah-mudahan Allah memberkati hidup kita.
Firman Allah SWT: “Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepada-Nya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya ia menjadikan dadanya sesak sempit sempit-sesempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang yang tidak beriman.” (Surah al-An’am, ayat 125)
Oleh: Hibur Rahman
Sumber: BHarian [28/08/2012]
Labels:
Tazkirah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan