25 Januari 2014
Fenomena Suhu Sejuk Melanda Negara
Perlis yang pernah mencatatkan suhu paling panas iaitu 40.1 darjah Celcius pada tahun 1998 kini mengalami perubahan suhu yang nyaman iaitu sekitar 23.3 darjah Celcius pada waktu siang dan 20 darjah Celcius pada malam hari.
Beberapa buah kawasan di negeri Pantai Timur tidak terkecuali apabila mencatatkan suhu terendah pernah direkodkan dalam sejarah.
Jajahan Kuala Krai, Kelantan mencatatkan bacaan suhu paling rendah iaitu 17 darjah Celcius berbanding sekitar 29 darjah Celcius bagi suhu maksimum. Kawasan Pasir Putih pula mencatatkan bacaan 19 darjah Celsius selain Kota Bharu dan Gong Kedak dengan purata 20 hingga 25 darjah Celsius.
Gua Musang, Kelantan yang mencatatkan suhu purata 19 hingga 21 darjah celsius menyamai suhu di Cameron Highlands sedangkan kebiasaannya adalah 30 hingga 35 darjah celsius.
Di Terengganu, Besut mencatatkan penurunan sehingga 19 darjah Celsius menjadikan ia rekod suhu terendah yang pernah dicatatkan di daerah itu.
Cameron Highlands mencatatkan suhu paling rendah di negara ini apabila hanya merekodkan bacaan sekitar 12 darjah celsius pada waktu malam.
Pengarah Pusat Ramalan Jabatan Meteorologi, Muhamad Helmi Abdullah berkata, suhu udara 'sejuk luar biasa' yang berlaku sejak beberapa hari lalu berpunca daripada tiupan angin monsun timur laut yang agak kencang dari Tanah Besar China. Negara itu pada masa ini masih mengalami musim sejuk. Tempiasnya sedikit terbabas ke negara ini.
Litupan awan yang kurang di seluruh Semenanjung Malaysia membantu merendahkan lagi suhu pada awal pagi dan waktu malam. Menurut jabatan berkenaan keadaan sebegini akan berterusan sehingga awal minggu depan.
"Fenomena ini akan berakhir apabila tiba musim peralihan dengan angin bertiup dari arah Lautan Pasifik," ujarnya.
Katanya, suhu rendah yang dialami kebanyakan tempat adalah antara yang paling rendah pernah dicatatkan rekod Stesen Meteorologi sejak lebih 20 tahun lalu. Kita pernah catat suhu yang sama sebelum ini di beberapa kawasan di negeri pantai timur dan kali ini berlaku di Kuala Krai, Kelantan dengan suhu 17 darjah celcius.
Bagaimanapun, ini adalah fenomena biasa yang berlaku pada musim monsun dan keadaan cuaca negara kita dipengaruhi oleh aliran sejuk dari China dan Siberia," katanya.
Seorang pemandu kereta bertindak merentasi Sungai Kuning, Ordos di Mongolia Tengah, China, yang membeku pada 21 Januari, 2014. [Utusan]
Ketua Pusat Penyelidikan Alam Sekitar Universiti Teknologi Mara (UiTM,) Prof. Dr. Ku Halim Ku Hamid berkata, peristiwa utara Vietnam dilanda salji dan pembekuan arus sungai di China sepanjang tahun lalu adalah petunjuk bahawa dunia sedang mengalami perubahan cuaca luar biasa.
"Kita tidak mempunyai fakta khusus tentang fenomena ini, tetapi tidak menolak kemungkinan ia berlaku disebabkan pergerakan luar biasa planet dari matahari.
"Faktor utama yang menyebabkan berlakunya perubahan seperti ini sukar diramalkan dan mungkin juga kejadian ini terjadi akibat kesan pencemaran di angkasa lepas," katanya.
Ku Halim berkata, fenomena cuaca sejuk itu tidak akan mengambil masa lama tetapi mungkin berulang tahun depan.
"Perubahan cuaca sejuk ini akan mendorong para saintis melakukan kajian secara lebih mendalam dari sudut saintifik kerana sebelum ini kebanyakan kajian hanya tertumpu kepada isu pemanasan global." katanya lagi.
Cuaca Sejuk di Thailand Sebabkan Kematian
Cuaca sejuk dengan suhu minimum 17 darjah Celsius yang melanda Thailand bukan sahaja mengehadkan kegiatan harian penduduk malah turut memberi kesan kepada tanaman padi di negara itu.
Lebih memburukkan keadaan, musim sejuk yang melanda seluruh wilayah utara, timur laut dan tengah Thailand itu telah meragut 63 nyawa setakat ini.
Turut menjadi mangsa ialah ialah seorang bayi berusia sebulan dan warga emas berumur 81 tahun serta seorang warga Kemboja dan seorang rakyat Britain.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Thailand, Songkram Aksorn memberitahu, wilayah sempadan utara Chiang Rai mencatatkan paling banyak kematian dengan jumlah enam mangsa setakat ini.
Ia diikuti wilayah Sa Kaeo dan Nakhon Ratchasima di timur laut dengan masing-masing mencatat lima kematian.
Katanya, Bangkok turut mengalami waktu malam paling sejuk pernah direkodkan dalam tempoh 30 tahun dengan suhu jatuh sehingga 15.6 darjah Celcius.
"Musim sejuk tahun ini adalah paling panjang dalam dekad ini iaitu berlarutan sehingga tiga bulan," ujarnya.
Sumber: Utusan [23/1/2014] Utusan [24/1/2014], Kosmo [26/1/2014]
Cuaca sejuk yang melanda Kuala Krai sehingga 17 darjah Celsius persis di London, United Kingdom minggu ini menyebabkan baju sejuk menjadi pakaian popular dan mendapat permintaan yang agak tinggi di jajahan itu berbanding sebelum ini. [Kosmo]
Cuaca Sejuk Di Kuala Krai
Suhu sejuk melanda jajahan Kuala Krai sejak seminggu lalu menyebabkan ramai penduduk mengehadkan kegiatan, selain memakai pakaian tebal, terutama pada waktu malam.
Penduduk menyifatkan situasi ketika ini sebagai kejadian luar biasa kerana selalunya pada awal tahun, suhu jajahan terbabit kembali panas, selepas negeri dilanda banjir baru-baru ini.
Surirumah dari Kampung Sungai Dala, Rosmanita Zainal Abidin, 42, berkata suhu terlalu sejuk pada waktu pagi, menyebabkan beliau terpaksa menjerang satu periuk besar air untuk kegunaan anaknya mandi sebelum ke sekolah.
Jerang air panas
“Biasanya, anak saya mandi air paip pada waktu pagi tanpa masalah. Namun, sekarang, tengah hari pun air paip masih terasa sejuk seperti dicampur ais, membuatkan anak yang baru balik sekolah enggan mandi.
“Suasana dalam rumah pada waktu malam juga terasa bagaikan dipasang pendingin hawa hingga memerlukan selimut tebal untuk mengurangkan kesejukan.
“Keadaan ini memberi kesan kepada kesihatan suami saya, R Azmi Jaafar, 48, yang mengalami angin ahmar sejak tujuh bulan lalu,” katanya.
Warga tua, Mohamed Mustapha Baharum, 62, berkata cuaca sejuk menyebabkan dia mengelak keluar rumah pada waktu malam dan awal pagi kerana bimbangkan masalah kesihatan diri.
“Suasana sejuk mula dirasai selepas jam 5 petang membuatkan kami bagaikan berada di luar negara seperti yang sering ditonton dalam televisyen,” katanya.
Penduduk Kampung Tualang, Rohaida Mohamed, 36, berkata suasana sejuk dialami ketika ini menyebabkan mereka tidak perlu menghidupkan kipas kerana keadaan terasa seperti menggunakan pendingin hawa.
Pakai stokin, selipar
“Sepanjang masa kalau berjalan dalam rumah pun perlu memakai selipar atau stokin bagi mengurangkan rasa sejuk,” katanya.
Sementara itu, suhu serendah 17 darjah celsius sekitar Kuala Krai, Kelantan dan 19 darjah di Besut, disifatkan tahap paling sejuk pernah direkodkan di Pantai Timur.
Pengarah Meteorologi Terengganu/Kelantan, Jenuwa Husin, berkata penurunan suhu itu disifatkan rekod berbanding suhu biasa dicatatkan pada kadar paling minimum sebelum ini 23 darjah Celsius.
Di Sabah, Pengarah Meteorologinya, Abdul Malek Tusin, berkata fenomena cuaca sejuk sejak lima hari lalu menyaksikan Keningau mencatat suhu terendah 17 darjah Celsius, lebih rendah berbanding tanah tinggi Kundasang pada tahap 20 darjah Celsius.
Katanya, walaupun tidak dilakukan sebarang pengukuran, namun suhu di puncak Gunung Kinabalu, dijangka lebih sejuk berbanding suhu normal iaitu di bawah 15 darjah Celsius.
Sumber: BHarian [2014/01/24]
Penduduk berbaju sejuk berikutan suhu rendah
Suhu serendah 17 darjah Celsius yang direkod di Kuala Krai sejak Rabu lepas menyebabkan penduduk terpaksa memakai baju sejuk bagi memanaskan badan.
Tinjauan Bernama di dua tempat beriadah popular iaitu Taman Tasik Kuala Krai dan Taman Cinta Wangsa, mendapati ramai penduduk melakukan aktiviti riadah lebih lewat daripada kebiasaan berikutan kabus tebal yang menyelubungi kawasan itu.
Penjawat awam, Mohd Baihaqi Che Man, 28, berkata beliau kini bersenam sekitar 8 pagi berbanding pukul 7 minggu sebelumnya.
"Ini kerana cuaca yang sejuk menyebabkan kabus tebal dan jarak penglihatan menjadi kurang. Saya mengambil keputusan untuk keluar berjoging lewat sedikit pada hari ini kerana bimbang dirempuh kenderaan.
"Selain itu, saya terpaksa memakai tiga lapis baju, termasuk baju sejuk, kerana suhu yang lebih sejuk berbanding minggu lepas," katanya.
Seorang guru, Abd Aziz Daud, 42, dari Sungai Pas pula menyifatkan keadaan suhu yang rendah di kawasan pedalaman itu adalah luar biasa dan ada murid terpaksa memakai baju sejuk walaupun pada waktu tengah hari.
"Bukan sahaja murid malah guru sendiripun ada yang memakai baju sejuk kerana tak tahan dengan keadaan itu.
"Bagaimanapun, murid masih datang ke sekolah seperti biasa dan kehadiran tidak terjejas walaupun keadaan suhu yang rendah di kawasan pedalaman," katanya.
Seorang lagi penjawat awam, Norazita Ismail, 36, dari Guchil 3, berkata beliau terpaksa mandi menggunakan air panas sebelum ke tempat kerja.
"Nak sentuh air pun saya rasa takut, terutama ketika hendak solat Subuh. Air terlalu sejuk... terasa seperti menyentuh ais pada waktu pagi ketika nak berwuduk.
"Mujur kereta tak meragam dan dapat dihidupkan seperti biasa walaupun keadaan sejuk pada waktu pagi. Pukul 9.30 pagi pun masih berkabus," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher berkata walaupun fenomena suhu rendah berlaku di negeri ini sejak Rabu lepas, tiada sebarang masalah kesihatan dilapor sehingga kini.
Portal rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia pada Rabu lepas melaporkan Kuala Krai mencatat suhu kedua paling rendah iaitu 17.2 darjah Celsius selepas Cameron Highlands (12 darjah Celsius).
Suhu di Kuala Krai hari ini ialah minimum 19.1 darjah Celsius dan maksimum 29.2 darjah Celsius manakala di Kota Baharu pula, minimum 21.0 darjah Celsius dan maksimum 27.9 darjah Celsius.
Fenomena suhu sejuk itu berpunca daripada luruan udara sejuk dari Tanah Besar China yang bergerak ke Laut China Selatan, dan keadaan itu biasa terjadi ketika Monsun Timur Laut.
Sumber: BHarian [2014/01/24]
Embun beku umpama salji di pncak Kinabalu
Air kolam di puncak Gunung Kinabalu membeku disebabkan fenomena cuaca sejuk.
“Kolam menjadi ais, embun yang menitis juga terus membeku hingga kelihatan seperti salji,” kata penunjuk arah atau dikenali sebagai ‘Malim Gunung Kinabalu’, Nais Momin, 45.
Menceritakan keadaan sejuk luar biasa di puncak Gunung Kinabalu, Nais berkata, beliau menyedari keadaan itu ketika membawa pendaki ke puncak gunung pada 15 Januari 2014 lalu.
“Ini kali pertama saya lihat keadaan seperti itu sepanjang enam tahun menjadi malim di puncak tertinggi Asia Tenggara. Laluan bertangga di kawasan puncak turut diseliputi ais. Laluan pendaki menjadi licin.
“Cuaca ketika itu redup, bergerimis dan sejuknya menusuk ke tulang. Air menjadi ais dengan ketebalan antara setengah hingga lebih satu sentimeter.
“Air yang menitis kelihatan putih seperti salji, tetapi apabila jatuh atas batu ia hilang. Ada pendaki menyangka ia salji, tetapi saya berpendapat sebaliknya kerana salji bila jatuh ke bumi, ia kelihatan putih seperti kapas,” katanya.
Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Suhaji Sumail, berkata pembekuan air kolam di puncak gunung jarang terjadi dan kali terakhir pernah diceritakan, berlaku lebih 30 tahun lalu.
“Ais biasa ditemui di puncak gunung, terutama pada musim kemarau, tetapi nipis dan cair apabila disentuh. Kali ini, ais ditemui tebal dan berlaku pada musim hujan.
“Saya percaya ia disebabkan cuaca sejuk yang dibawa angin kencang di kawasan puncak gunung,” katanya.
Kakitangan Taman-Taman Sabah, Jenny Jane, 29, berkata catatan suhu dicatat di puncak Gunung Kinabalu, jatuh hingga negatif dua darjah Celsius sejak pertengahan bulan Januari 2014 ini, berbanding empat hingga lapan darjah Celsius sebelum ini.
Katanya, pemantauan pihaknya mendapati suhu di bawah paras beku dicatat dua atau tiga hari sebelum meningkat kepada sifar hingga tiga darjah Celsius, sejak seminggu lalu.
“Memang kali ini lebih sejuk disebabkan hujan berpanjangan seminggu lalu sehingga ada jadual pendakian ke puncak dibatalkan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Abdul Malek Tussin, berkata ke-adaan berais di puncak Gunung Kinabalu akibat penurunan suhu sehingga mencapai paras beku adalah perkara biasa.
“Dakwaan salji tidak logik kerana Gunung Kinabalu tidak terletak di kawasan yang biasa berlaku salji,” katanya.
Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah
Sumber: BHarian [2014/01/26]
Labels:
Semasa
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan