08 Mac 2014

Pesawat MAS MH370 Ke Beijing Dilapor Hilang


Pesawat MAS MH370 ke Beijing dilapor terputus hubungan

Penerbangan Malaysia (MAS) pada 8 Mac, 2014 mengesahkan bahawa pesawat MH370 terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi. Pesawat MH370 tersebut didapati tidak menghantar sebarang mesej kecemasan.

Kenyataan MAS itu memberitahu, penerbangan MH370, yang menggunakan pesawat B777-200, berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi dan dijadualkan mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Katanya, penerbangan itu membawa sejumlah 239 orang, yang terdiri daripada 227 penumpang termasuk 2 bayi dan 12 petugas (anak kapal). Kerakyatan para penumpang adalah dari 14 negara. [Sumber: Utusan]




Kedudukan terakhir MH370

Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengesahkan bahawa kali terakhir pesawat Malaysian Airline System Berhad (MAS) MH370 berkomunikasi dengan menara kawalan pada pukul 1.30 pagi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, kali terakhir pesawat itu dikesan pada kedudukan longitud 06 darjah 55 minit 15 saat Utara atau  06.55.15 Utara (longitud) dan latitud 103 darjah 34 minit 43 saat Timur atau 103.34.43 Timur (latitud).

Bagaimanapun, MAS masih tidak dapat menghubungi atau menentukan kedudukan sebenar pesawat berkenaan yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. [Sumber: Utusan]

Senarai Nama Penumpang dan Aanak Kapal

Malaysia Airlines (MAS) telah menyiarkan senarai 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam Pesawat MAS MH370 yang hilang semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Penumpang pesawat berkenaan adalah terdiri daripada warga 14 negara manakala semua anak kapal adalah warga Malaysia.

Klik Link Berikut Untuk Senarai Penumpang dan Anak Kapal MH370:
MAS MH370 Passenger

Pasangan suami isteri pergi berbulan madu antara hilang

Pasangan suami isteri, Mohd. Razahan Zamani, 23, dan Norli Akmar Hamid, 33, untuk berbulan madu di Beijing, China, adalah antara penumpang dalam insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang itu. [Sumber: Utusan]

Tentera Udara Vietnam kesan dua tumpahan besar minyak

Pesawat Tentera Udara Vietnam mengesan dua tumpahan besar minyak di kawasan di mana pesawat Boeing 777-200 MAS dilaporkan hilang.

Pesawat Tentera Udara Vietnam itu adalah sebahagian daripada operasi mencari dan menyelamat pelbagai negara yang dilancarkan selepas penerbangan MH370 hilang dari radar kurang sejam selepas berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Kenyataan kerajaan Vietnam menjelaskan tumpahan minyak itu dikesan pada lewat petang Sabtu 8 Mac, 2014 di perairan di selatan Vietnam dengan masing-masing antara 10 dan 15 kilometer panjang.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan anggota mencari dan penyelamat Vietnam menemui tompokan minyak tersebut di perairan negara itu. Bagaimanapun maklumat tersebut tidak memberikan sebarang erti kerana tiada serpihan pesawat MH370 ditemui. [Sumber: BHarian 08032014, BHarian 09032014]



Usaha mencari, menyelamat diperluas

Usaha mencari dan menyelamat pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang bersama 227 penumpang dan 12 krew diperluaskan dengan bantuan pasukan penyelamat antarabangsa pelbagai negara, termasuk China, Vietnam, Singapura dan Amerika Syarikat, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, sehingga petang Sabtu, 8 Mac, 2014, operasi mencari masih diteruskan selepas usaha peringkat pertama yang memfokuskan di kawasan isyarat terakhir pesawat itu dikesan, gagal mendapat sebarang petanda.

“Pihak kerajaan Malaysia memutuskan untuk memperluaskan usaha mencari dan menyelamat. Untuk tujuan ini, kita sudah menambah bilangan aset. Bilangan pesawat kini ditambah menjadi 15 iaitu empat unit C130, unit Bombardier (dua), Helikopter Agusta (dua), unit CN 235 (satu), EC 725 (empat), Beachcraft (satu), King Air (satu) serta enam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga kapal Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM),” katanya.

Najib berkata, Vietnam sudah memberi persetujuan untuk pasukan mencari dan menyelamat menjalankan operasi di perairan mereka, manakala China juga bersedia menghulurkan bantuan.

Selain itu, katanya Amerika Syarikat menerusi tentera laut mereka juga menawarkan bantuan untuk menghantar pesawat mereka menyertai operasi berkenaan.

“Saya juga menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Singapura (Lee Hsien Long), yang menyatakan kesudian untuk menghantar sebuah pesawat C130 untuk menyertai operasi,” katanya.

Walaupun muncul pelbagai teori mengenai kehilangan pesawat itu, Najib menegaskan, semuanya akan tinggal teori sehinggalah pasukan mencari menemui bukti kukuh mengenainya. [Sumber: BHarian 09032014]

Laman web beri penghormatan kepada Zaharie

Sebuah laman web tentang juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, telah diwujudkan sebagai tanda penghormatan dan untuk menjawab segala tohmahan terhadap beliau.

Laman tersebut menyiarkan maklumat dan penerangan kepada orang ramai untuk mengenali beliau dengan lebih baik sekali gus mengelakkan daripada berlaku sebarang pembunuhan karakter.

Bertajuk TRIBUTE: Who exactly is Malaysia Airlines Captain Zaharie Shah of MH370? (Siapa sebenarnya Kapten MH370 Malaysia Airlines Zaharie Shah?), laman web itu menulis bahawa Zaharie merupakan seorang juruterbang MH370 yang berani dan mereka amat mengetahui betapa minatnya beliau terhadap penerbangan. (Sila Klik Sharelor)

Laman penghormatan tersebut turut menegaskan bahawa Zaharie merupakan seorang juruterbang yang boleh dipercayai dengan lebih 18,000 jam pengalaman penerbangan.

"Sebarang kemungkinan bahawa kehilangan pesawat tersebut disebabkan kesilapan juruterbang adalah tidak benar dan bukan punca kehilangan tersebut," kata laman web tersebut.

Gambar yang disiarkan pada laman web tersebut termasuk gambar kehidupan hariannya, koleksi permainan helikopter, sistem simulasi penerbangan Boeing 777 di rumahnya.

Majoriti pengguna internet menyatakan kesedihan dan terkejut dengan kehilangan pesawat tersebut antaranya adalah: "Apa pun dia adalah seorang lelaki yang berani, dan dia adalah seorang juruterbang yang mengutamakan nyawa penumpangnya." [Sumber: Utusan 11032014]

Elakkan Status Spekulasi

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga mengganggu ketenteraman awam adalah satu kesalahan dan boleh disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Beliau berkata orang ramai juga perlu menghormati perasaan waris penumpang terlibat dan mengelak daripada menyebarkan spekulasi yang boleh mengguris perasaan mereka.

Orang ramai yang menyebar, memuat naik atau berkongsi status berbaur spekulasi berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 boleh didakwa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. [Sumber: BHarian, 10032014]

Catatan: Kita Doakan Moga Semuanya Selamat ...
                "DOA UNTUK MH370"

0 comments: