09 Mac 2014
Keistimewaan Rumah Melayu Melaka
RUMAH warisan Demang Abdul Ghani Penghulu Abdul Majid ini terletak di Kampung Merlimau Pantai, Melaka.
Rumah tradisional Melayu, yang mewarnai industri pelancongan negeri Melaka, bukan sekadar membantu tarikan pelancong malah menjadi simbol kepakaran seni pertukangan masyarakat silam.
Keindahan dan keunikan seni bina rumah-rumah itu juga dianggap sebagai bayangan reka bentuk Istana Kesultanan Melaka pada abad ke-15.
Ada yang menganggap seni binanya bukan sekadar kekuatan kreativiti tukangnya tetapi ia juga bersandarkan petua tertentu yang disesuaikan dengan faktor persekitaran, adat resam, kepercayaan dan penghayatan Islam.
Rumah tradisional Melayu dikatakan turut menjadi perlambangan kedudukan pemiliknya termasuk ketinggian peribadi dan jati diri mereka.
Kebanyakan rumah tradisional di Melaka dibina menggunakan kayu yang terbaik dan terpilih dengan konsep rumah bertiang, berlantai tinggi dari tanah, berbumbung lipat kajang dan bertebar layar.
Kayu yang sering digunakan ialah meranti, cengal, belian, resak, tembusu dan merang.
RUMAH warisan Demang Abdul Ghani Penghulu Abdul Majid kini dijadikan galeri bagi memberi peluang pelancong menghayati keunikannya.
RUMAH WARISAN DEMANG ABDUL GHANI
Antara rumah tradisional yang sering mencuri tumpuan pelancong ialah rumah warisan Demang Abdul Ghani Penghulu Abdul Majid, orang kaya yang berasal dari Palembang.
Rumah berkenaan yang terletak di Kampung Merlimau Pantai dipercayai dibina pada 1831 tanpa mengguna paku dan dilengkapi dengan ruang tamu, anjung, serambi, rumah ibu, bilik tidur, rumah tengah, rumah dapur serta loteng.
Sesuai dengan kedudukkannya sebagai demang atau penghulu yang dianggap bertaraf seperti "raja kecil" yang amat dihormati oleh masyarakat, rumah milik Demang Abdul Ghani turut berfungsi sebagai pusat pentadbiran kampung dan sering menjadi tempat perjumpaan masyarakat.
Rumah yang masih kukuh itu kini dihuni Rizal Mat Ramli, 40, cicit kepada Demang Abdul Ghani, yang mewarisi rumah warisan itu.
RUMAH TURUT JADI GALERI
"Sebenarnya ini rumah moyang saya yang dijadikan galeri oleh Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) untuk memberi peluang kepada pelancong melihat keunikannya.
"Saya membesar di rumah ini dan saya sempat berjumpa datuk saya iaitu Penghulu Mat Natar Abdul yang pernah mendiami rumah ini semasa hayatnya," katanya.
Kakitangan Perzim, Roslan Jaafar, 36, yang sudah lapan tahun bekerja di rumah tradisional itu mengakui rumah berkenaan begitu unik.
"Reka bentuk rumah ini amat berseni termasuk tiang serinya yang berukiran corak bunga," katanya.
Menurut beliau, kebanyakan pelancong asing dan tempatan yang melawat rumah ini mengakui mereka kagum dengan keunikan ukiran dan seni bina rumah warisan ini.
JADI LOKASI PENGGAMBARAN DRAMA
Di Kampung Serkam Pantai pula, rumah tradisional milik Haji Jaafar Hashim, 73, mempunyai pelbagai fungsi dan turut memikat pelancong serta penerbit drama. Contohnya, bahagian serambi berfungsi sebagai ruang tamu dan tempat bermesyuarat untuk perkara-perkara penting.
Selain itu, bahagian rumah ibu atau rumah tengah menjadi tempat pelbagai acara termasuk tempat yang khusus untuk wanita dalam urusan adat seperti perkahwinan. Bilik dalam pula dikhaskan sebagai bilik pengantin pada setiap kali majlis perkahwinan berlangsung.
Menurut Jaafar, rumah yang berusia 90 tahun itu kini turut menjadi tumpuan kegiatan penggambaran drama televisyen. Antara pelakon popular yang pernah berlakon di sini ialah Nora Danish dan Adi Putra.
Beliau bangga kerana mewarisi rumah yang begitu kaya dengan seni ukiran kayu yang halus dan indah. Antaranya ukiran berseni jenang tingkap selain marmar, yang mempunyai pelbagai corak menarik yang menghiasi bahagian tertentu rumah.
Pastinya, ada perkara yang tidak boleh ditinggalkan apabila memperkatakan mengenai rumah tradisional di Melaka iaitu seni ukiran dan corak bunga di tangganya. Pepatah ada menyatakan, tanpa tangga, rumah tradisional di Melaka hilang serinya.
Sumber: BERNAMA, Kosmo
Labels:
Kesenian,
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan