20 April 2013
Pancing Undi Wanita
Ceramah politik selalunya gah diperkatakan pada setiap pilihan raya, yang menjadi ukuran respons pengundi kepada populariti tokoh, parti politik yang diwakilinya dan isu yang memancing perhatian pengundi.
Kempen bagi pilihan raya umum ke-13 ini, menyaksikan perkara yang serupa dan bukan menjadi suatu rahsia juga apabila kempen melalui ceramah-ceramah besar ini perlu dibantu untuk memastikan isu yang dibangkitkan benar-benar sampai kepada pengundi.
Lebih-lebih lagi kepada kaum wanita yang tidak semua gemar menghadiri ceramah hingga ke larut malam atau bersesak dengan kaum adam pada majlis sedemikian. Padahal peranan mereka amat diperlukan. Undi mereka menjadi kiraan besar, penentu kalah menang calon yang bertanding.
Jika ada pengundi yang terang-terangan mengatakan mereka masih tidak yakin untuk mengundi siapa dan masih berada di atas pagar, penasihat yang harus dicari mereka secara peribadi ialah kaum wanita.
SIKAP BERHATI-HATI
Tanyalah kepada anak muda yang pertama kali akan mengundi atau yang tidak gemar ke majlis ceramah atau membaca kempen dalam media.
Mungkin ada pula yang bertanya kenapa wanita sedangkan kaum hawa dianggap tidak peka mengenai politik dan lebih beremosi.
Sedar atau tidak, wanita sebenarnya mempunyai pertimbangan yang lebih baik berbanding lelaki dan berfikiran lebih rasional serta tetap. Sifat peka, sensitif, simpati dan empati yang terdapat dalam diri wanita menyebabkan golongan ini mudah menerima fakta dan membuat penilaian.
Dari segi pemikiran, walaupun lelaki lebih terbuka, namun wanita mempunyai sikap lebih berhati-hati dengan tahap kekeliruan yang lebih rendah berbanding lelaki yang pemikirannya cepat berubah-ubah, menurut Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din.
SIGNIFIKAN WANITA DALAM PRU
Signifikan pengundi wanita pada 5 Mei ini memang tidak dinafikan kerana jumlahnya hampir separuh daripada 13.3 juta pengundi yang layak. Malah di beberapa buah negeri seperti Pulau Pinang dan Terengganu, jumlah pengundi wanita yang layak, melebihi 50 peratus.
Oleh itu peranan wanita dalam PRU13 tidak harus dipandang ringan oleh mana-mana parti yang bertanding.
Secara fizikal wanita disifatkan sebagai seorang yang lembut, halus, harmoni dan terperinci kerana sikap mereka banyak dipengaruhi penggunaan otak kanan yang membawa kesan kepada emosi, kemesraan dan seni, berbanding lelaki yang banyak menggunakan otak kiri yang berfikiran lebih saintifik, kata Mohamed Fadzil.
Beliau berkata kajian di barat membuktikan terdapat rerambut (sel) di tengah-tengah otak kanan dan kiri wanita yang melebihi 20 peratus daripada lelaki yang menunjukkan penghantaran dan penerimaan maklumat kaum wanita lebih banyak dan aktif berbanding lelaki.
Oleh itu wanita mempunyai pertimbangan lebih baik, yang membawa kepada sikap toleransi yang lebih tinggi, katanya.
CARA MENAMBAT HATI PENGUNDI WANITA
Jadi bagaimana untuk menambat hati pengundi wanita?.
Parti-parti yang bertanding secara tradisinya akan mendekati kaum wanita lebih daripada setakat memastikan mereka menghadiri ceramah.
Walaupun kini semakin ramai wanita yang turut mendengar ceramah semasa kempen pilihan raya, namun kebanyakan mereka masih lebih selesa untuk berada di rumah menjadi pemerhati dan penilai senyap.
Kempen yang menjurus kepada pendekatan peribadi lebih dekat di hati wanita dan berkesan seperti kunjungan ke rumah atau bertemu di lokasi-lokasi yang biasa dikunjungi wanita seperti di pasar dan rumah persatuan.
Mana-mana parti bertanding harus bijak memberi penerangan daripada segi fakta yang mudah difahami terutama perkara yang dekat dengan wanita seperti soal kesejahteraan keluarga, keamanan negara, pendidikan anak, hak wanita dan pekerja, isu sosial mahupun ekonomi keluarga untuk menawan hati mereka.
"Mereka mudah menerima maklumat untuk dipertimbangkan dan fakta yang diyakini itu kemudian akan disebar pula dalam kalangan mereka.
"Wanita tidak suka kepada sebarang bentuk tindakan yang agresif hingga menimbulkan kekecohan. Sebab itu perayu undi atau jentera kempen dalam kalangan wanita lebih sesuai untuk menawan hati pengundi wanita berbanding lelaki," katanya.
PERKARA PENTING KETIKA BERKEMPEN
Walaupun pelbagai kaedah kempen digunakan pada masa kini termasuk melalui media baharu dan sosial untuk menambat hati pengundi, namun kaedah konvensional iaitu kunjungan rumah ke rumah masih memberi kesan yang diingini dalam menambat hati pengundi wanita.
Wanita yang bekerja juga boleh ditemui melalui cara ini pada hujung minggu.
Pertemuan sebegini, bercerita dan memujuk pengundi wanita yang dilakukan sejak dahulu lagi ternyata mampu menyentuh wanita untuk membuat penilaian dan pertimbangan.
Namun keberkesanan taktik berkempen dari rumah ke rumah juga bergantung kepada sejauh mana pembawaan diri perayu undi berkenaan sama ada mampu mempengaruhi atau sebaliknya yang melibatkan kemahiran berkomunikasi .
Ia meliputi cara pertuturan, bahasa badan serta yang paling penting menjaga adat dan adab sopan ketika mengunjungi rumah orang, menurut Prof Madya Dr Abdul Muati Ahmad.
Kemahiran itu perlu dilatih terutama dalam kalangan perayu undi yang melibatkan genarasi muda.
"Ramai orang muda yang tidak faham tentang adab dan adat ketika pergi menjalankan tugas berkempen dari rumah ke rumah. Bila ada yang tidak mahu layan, mereka marah, kecil hati dan sebagainya," ujar Timbalan Dekan Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia itu.
PENGARUH PERAYU UNDI
Setiap tindak tanduk perayu undi amat mempengaruhi pengundi ketika menjalankan tugas kerana mereka mewakili dan membawa imej parti yang bertanding.
Abdul Muati berkata antara perkara yang tidak harus dilupakan ialah memberi salam, menyatakan niat kedatangan mereka dan tidak boleh menerjah ke rumah orang sesuka hati.
"Mereka harus memilih waktu yang sesuai. Jangan datang waktu tengah hari, kerana ketika itu kebanyakan suri rumah sibuk di dapur memasak untuk suami dan anak. Banyak perkara harus diambil pertimbangan," katanya.
Tidak kira berkunjung ke rumah siapa pun sama ada yang sama atau berbeza fahaman agama atau politik, adab masuk rumah tidak harus dipandang remeh seperti membuka kasut dan meminta izin untuk masuk dan duduk.
Apabila memulakan bicara, tanyalah khabar terlebih dahulu bagi membina jalinan komunikasi yang lebih mesra sebelum memulakan bicara soal kempen dan fahaman politik yang dibawa.
Terutama ketika mengunjungi rumah penyokong parti lawan, perlu lebih berhati-hati dalam berkomunikasi agar berjalan dalam suasana baik serta dapat mencapai matlamatnya, katanya.
"Elemen-elemen lemah lembut, sopan santun, hormat menghormati harus digunakan. Jika penghuni rumah itu memilih parti lawan, tanyakan kenapa, dan selepas itu barulah nyatakan apa yang diperjuangkan oleh parti serta apa yang ditawarkan parti yang lebih baik daripada parti lawan.
"Di sinilah kemahiran memujuk, merayu dan sebagainya digunakan untuk mendapatkan matlamat sokongan itu," katanya.
HAK KAUM WANITA
Abdul Muati mengingatkan bahawa kempen rumah ke rumah tidak perlu memakan masa yang lama agar tidak mengganggu urusan dan tugasan tuan rumah.
Paling utama perayu undi tidak harus memandang rendah wanita yang dikunjungi mereka, kerana kebanyakan wanita ini terpelajar, mereka tahu apa yang berlaku dan sedar mengenai kepentingan dan hak mereka sebagai pengundi.
Buktinya, kaum wanita jugalah yang paling awal berada di pusat mengundi di kebanyakan tempat pada hari pengundian untuk menunaikan hak mereka.
Oleh Kurniawati Kamarudin
Sumber: BERNAMA
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
4 comments:
puteri pilih mengundi dengan bijak :)
UNDI ITU RAHSIA..
kebanyakan wanita sekarang tergolong dalam golongan profesional.. buatlah pilihan yang bijak.. :D
tak sabar nak pergi mengundi...(first time) hehe :)
Catat Ulasan