09 September 2013
APLIKASI Muslim Pro Untuk Umat Islam
Maklumat mengenai Islam di hujung jari
Mohammed Rafi Mohamed Bihir, 39, sering kali berulang-alik ke luar negara demi kerjayanya sebagai seorang ahli perniagaan. Hakikatnya, sepanjang berada di luar negara terutamanya negara-negara seperti Vietnam, China dan Filipina, bapa kepada tiga orang anak itu sentiasa berhadapan masalah mencari restoran makanan halal.
Justeru, dia terpaksa bertanya kepada kakitangan hotel bagaimana untuk mendapatkan makanan halal sepanjang berada di negara-negara itu.
“Lagipun, saya kurang arif dengan tempat-tempat saya berurusan. Oleh itu, saya terpaksa bertanya kepada orang ramai di kawasan tersebut, selain mencari maklumat melalui internet,” katanya.
Sungguhpun mendapat maklumat menerusi di laman-laman sesawang yang berkaitan, Mohammed Rafi berhadapan dengan satu lagi halangan apabila kebanyakan restoran tersebut telah ditutup malah ada sebahagian kedai berkenaan telah diambil alih oleh perniagaan lain.
“Apabila melalui saat-saat seperti ini, saya tidak mempunyai pilihan selain bergantung kepada roti dan tuna yang dibawa dari Malaysia,” jelasnya.
Namun, baru-baru ini dia mula berjinak-jinak menggunakan aplikasi Muslim Pro selepas salah seorang rakannya memperkenalkan aplikasi telefon pintar berkenaan.
“Aplikasi itu sangat membantu kerana memberi pelbagai maklumat berhubung lokasi makanan halal, waktu solat, arah kiblat dan banyak panduan lain yang penting bagi saya,” katanya.
APLIKASI Muslim Pro memudahkan umat Islam mencari restoran makanan halal ketika berada di luar negara.
Bertitik tolak dari situ, anak jati Kuala Lumpur itu kini banyak bergantung kepada aplikasi berkenaan apabila berada di luar negara.
“Saya tidak perlu pening lagi kerana kesemua maklumat berkaitan Islam sudah ada di dalam aplikasi ini,” tuturnya tersenyum.
Seorang pengguna yang berasal dari United Kingdom yang hanya mahu dikenali sebagai Rizqi pula menyifatkan aplikasi Muslim Pro merupakan antara aplikasi terbaik dan praktikal yang terkandung dalam telefon pintar iPhonenya.
“Saya sering menggunakan aplikasi ini kerana arah kiblatnya sangat tepat. Malah waktu solat akan bertukar mengikut lokasi di mana kita berada.
“Jika saya sibuk bekerja, aplikasi ini akan mengingatkan masuknya waktu solat sekali gus saya tidak terlepas menunaikan tuntutan agama itu,” ujarnya.
Aplikasi tersebut diperkenalkan di pasaran oleh Bitsmedia Pte. Ltd. (Bitsmedia), sebuah syarikat pembangun aplikasi mudah alih yang berpangkalan di Singapura, dalam sistem operasi iOS pada tahun Ogos 2010 dan Android pada Mac tahun 2012 lalu.
Ia boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store dan AppStore. Bagaimanapun, jika pengguna ingin menaik taraf kepada versi premium, bayaran sebanyak RM4.72 akan dikenakan.
Versi tersebut membolehkan pengguna mendengar bacaan al-Quran dalam bentuk audio, membaca terjemahan ayat-ayat suci tersebut dan memilih pelbagai suara bilal yang melaungkan azan.
Aplikasi komprehensif
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bitsmedia, Erwan Mace, 39, Muslim Pro merupakan aplikasi komprehensif terutama bagi umat Islam yang sering bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.
Muslim Pro menyediakan waktu solat berdasarkan lokasi pengguna, penunjuk arah kiblat seluruh dunia dan pencarian restoran halal serta masjid.
APLIKASI Muslim Pro ini telah dimuat turun kira-kira 7 juta kali di seluruh dunia.
“Aplikasi ini amat berguna terutamanya kepada umat Islam yang berkunjung ke luar negara. Melalui aplikasi ini, mereka boleh mencari segala maklumat yang diperlukan,” katanya sambil memberitahu rata-rata pengguna memberi maklum balas positif selain pengiktirafan lima bintang terhadap aplikasi itu.
Sejak aplikasi Muslim Pro ditawarkan kepada pengguna di seluruh dunia, aplikasi itu telah dimuat turun kira-kira 7 juta kali, terutama dari negara-negara Islam seperti Arab Saudi, Emeriyah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Malaysia, Turki, dan Maghribi.
Tidak ketinggalan negara-negara yang mempunyai minoriti penduduk Islam seperti Perancis, Jerman, Rusia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Singapura.
Menceritakan lebih lanjut mengenai aplikasi itu, beliau memberitahu, aplikasi tersebut menggunakan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) untuk mencari senarai restoran halal dan lokasi masjid di sesebuah bandar.
Malah, pengiraan waktu solat dilakukan berdasarkan kedudukan matahari untuk latitud khusus dan longitud dengan menggunakan formula matematik yang tertentu.
Bagi meningkatkan kemahiran dan penghayatan pengguna terhadap ayat-ayat suci al-Quran, beliau menambah, Muslim Pro juga menyediakan audio bacaan kesemua 114 surah al-Quran dan terjemahan yang membenarkan pengguna memilih qari dan bahasa seperti Indonesia, Melayu, Perancis, Itali, Portugis, Turki, Inggeris dan Belanda.
Pelbagai fungsi
Menurut Erwan, aplikasi tersebut bersifat mesra pengguna kerana terdapat lapan menu pilihan iaitu waktu solat, arah kiblat, bacaan al-Quran, senarai cuti umum, 99 nama Asma al-Husna, senarai restoran halal, mod tidur yang membenarkan pengguna mendengar alunan azan penuh secara automatik walaupun peranti pintar mereka dalam mod senyap, penghantaran kad ucapan perayaan dan bantuan tetapan.
“Jadi, pengguna hanya perlu menekan menu maklumat yang ingin dicari. Misalnya, lokasi restoran halal. Selain memaklumkan mengenai nama restoran, ia turut menyalurkan maklumat mengenai jarak restoran tersebut dari lokasi pengguna.
MUSLIM PRO merupakan aplikasi komprehensif bagi membantu umat Islam yang sering bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.
“Aplikasi ini menggunakan sistem navigasi yang memandu pengguna ke lokasi restoran yang dipilih,” ujarnya sambil memberitahu aplikasi berkenaan boleh digunakan di seluruh dunia.
Ekoran sambutan memberangsangkan daripada pengguna, beliau memaklumkan, Bitsmedia merancang untuk menambah baik kandungan yang ditawarkan, di samping membangunkannya untuk pelbagai platform peranti pintar dalam mengikuti keperluan terkini masyarakat Islam.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, pihaknya merancang membina aplikasi yang sama itu untuk kegunaan telefon biasa.
Langkah itu, jelas beliau, dilihat dapat memberi peluang kepada semua pengguna Islam untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.
“Kami mahu menghasilkan produk yang boleh digunakan oleh semua pengguna Islam. Kami berharap perkhidmatan yang diberikan ini akan menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat yang beragama Islam untuk menghasilkan teknologi berkaitan keperluan agama mereka,” tuturnya.
Oleh SUHANA VERU
Sumber: Kosmo
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan