11 September 2013

Aplikasi SaveME 999 Mesra OKU



Aplikasi SaveME 999 yang dilancarkan pada 9 September 2013, membolehkan pengguna telefon pintar terutama orang kelainan upaya (OKU) menghubungi Pusat Panggilan Kecemasan (PPK) 999 jika perlukan bantuan kecemasan.

Aplikasi yang dilancarkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM) adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan ke arah memantapkan lagi pengurusan PPK 999.


Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata pembangunan aplikasi itu menyediakan perkhidmatan inklusif kepada rakyat Malaysia termasuk OKU dan dibiaya menggunakan peruntukan RM1 bilion yang diharap dapat membantu lebih 646,000 OKU di seluruh negara terutama yang bermasalah pertuturan dan pendengaran.

Katanya, aplikasi dilengkapi pengesan Lokasi Automatik atau ‘Automatic Location Indentification’ (ALI) itu membolehkan pihak berkuasa mengesan OKU yang perlukan bantuan kecemasan menggunakan aplikasi SaveME 999 pada telefon pintar dengan penggunaan Sistem Kedudukan Global (GPS).

Dimuat turun secara percuma

“Aplikasi ini juga boleh dimuat turun secara percuma menerusi laman www.999.gov.my, ke mana-mana telefon pintar Android versi 2.2 ke atas, iOS versi 5.0 ke atas, Blackberry versi 6.0 dan 7.0 serta Windows Phone versi 7.0 dan 8.0.

“Jika berlaku kecemasan sama ada membabitkan jenayah, kebakaran, kemalangan atau bencana alam dan memerlukan bantuan perubatan, hanya perlu tekan ikon aplikasi SaveME 999 pada skrin telefon pintar dan bantuan akan dihantar secepat mungkin kerana tempat kejadian dikesan secara automatik menerusi GPS.

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, penggunaan aplikasi tersebut membolehkan golongan OKU berhubung dengan Pusat Panggilan Kecemasan (PPK) 999 secara terus.

"Jika berlaku sebarang kecemasan, pengguna hanya perlu menyentuh ikon aplikasi SaveME999 di telefon pintar masing-masing.

“Sistem PPK 999 akan merakam nama, nombor telefon serta lokasi pemanggil secara automatik dan menghantarnya ke lima agensi berkaitan termasuk bomba, polis, Kementerian Kesihatan, Jabatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM),” katanya ketika berucap pada pelancaran aplikasi itu.

Aplikasi itu berupaya mengesan kedudukan lokasi insiden pengadu dengan lebih tepat menggunakan Sistem Kedudukan Global (GPS). Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma daripada laman web www.999.gov.my dan boleh digunakan di seluruh negara serta tidak terhad kepada satu negeri sahaja," katanya.

Shabery berkata, pelaksanaan sistem itu selaras keperluan Seksyen 192 (1): Perkhidmatan Aplikasi Dikehendaki di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang digubal bagi menyediakan perkhidmatan kecemasan secara inklusif kepada semua rakyat termasuk 450,000 OKU di Malaysia.

Katanya, PPK 999 boleh diguna pakai di sembilan negeri sebelum diperluaskan ke Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak tahun depan, manakala kaedah sesuai untuk orang cacat penglihatan mengguna pakai aplikasi SaveME 999 sedang dikaji SKMM dan TM.

Sumber: BHarian [10092013]

Sementara itu, beliau berkata, kementerian juga akan melaksanakan perkhidmatan penyekatan telefon bimbit yang hilang atau dicuri di peringkat nasional pada November 2013 ini.

Semua syarikat telekomunikasi akan bekerjasama dengan kementerian untuk melaksanakan pendekatan yang dapat mengurangkan beban rakyat itu.

"Apabila berlaku kecurian, buat laporan kepada penyedia perkhidmatan dan kemudiannya semua sistem akan dilumpuhkan, justeru semua telefon curi tidak akan berharga lagi," katanya.

Sumber: Utusan

0 comments: