06 September 2013
Kelebihan Ibadah Haji
Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia akan berlepas ke Tanah Suci Mekah pada 7 September 2013 ini bagi menunaikan rukun Islam kelima itu pada tahun 2013 ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Ismee Ismail berkata, penerbangan terakhir yang akan membawa jemaah haji ke sana pula adalah pada minggu kedua Oktober 2013.
"Tarikh bagi wukuf pula dijangka pada 14 Oktober, 2013" katanya.
Datuk Ismee berkata, pihak Tabung Haji telah membuat persediaan rapi bagi menguruskan lebih 20,000 jemaah haji dari Malaysia.
Sumber: Utusan [9 Ogos 2013]
ANTARA nikmat Allah SWT yang paling besar ialah diberi kurniaan kepada hambanya untuk beribadat kepada Allah SWT.
Menurut buku Khasais Jazirah al-Arab, karya Syeikh Bakar Bin Abdullah Abu Zaid menyebut, keistimewaan Semenanjung Tanah Arab antaranya ialah, Kota Suci Mekah al-Mukarramah atau Tanah Haram Mekah.
Kelebihan Kota Suci Mekah ialah:
1.Ibnu Qayyim berkata: Allah SWTmemilih tempat dan negeri yang terbaik, iaitu Balad al-Haram. Begitu juga untuk nabi-Nya SAW dijadikan sebagai manasik sehingga mereka datang ke Kota Suci Mekah.
2.Siapa yang datang ke Kaabah bertujuan melakukan ibadat dan tidak membuat perkara yang tidak baik, nescaya dia pulang seolah-olah baru dilahirkan oleh ibunya.
3.Masjid al-Haram adalah sebaik-baik tempat di muka bumi, di mana kita digalakkan bersungguh-sungguh musafir kepadanya sama ada menunaikan ibadat haji atau umrah.
4.Kaabah menjadi kiblat penduduk bumi, di mana ia terletak di kota Mekah.
5.Antara keistimewaannya, haram mengadap atau membelakangkan kiblat ketika qada' hajat.
6.Masjid al-Haram merupakan masjid yang pertama di muka bumi ini, seperti yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.
7.Tidak boleh memasuki Mekah bagi bukan yang mempunyai hajat secara berulang kecuali dengan ihram.
8.Dihukum berdosa kepada yang bercita-cita melakukan kejahatan, sekalipun belum melaksanakannya.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj pada ayat 25 yang bermaksud: Sesungguhnya (amatlah zalim) orang-orang yang kafir serta menghalangi manusia dari jalan Allah (agama Islam) dan daripada memasuki Masjid Al-Haram (Mekah) yang Kami jadikan Dia tempat beribadat untuk seluruh umat manusia (yang beriman) - sama ada yang tinggal menetap di situ atau yang datang berziarah dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang dilarang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.
9.Ibadat yang digandakan kepada-Nya.
Diriwayatkan daripada Jabir r.a.; bahawa Rasulullah SWT bersabda maksudnya "Satu sembahyang di masjidku lebih afdal daripada 1,000 sembahyang di masjid lain kecuali Masjidil Haram di Mekah dan satu sembahyang di Masjidil Haram pula lebih afdal daripada 100,000 sembahyang di masjid-masjid yang lain".
10.Tempat lahir Rasulullah SAW.
11.Terdapatnya Kaabah, Hajar al-Aswad, Maqam nabi Ibrahim dan lain-lain.
12.Amat mudah dimustajabkan doa dan doa dimakbulkan.
Berdasarkan kepada kenyataan dan nas di atas, alangkah beruntungnya bagi sesiapa yang menjadi tetamu Allah untuk meraih pahala Allah SWT dengan sebanyak mungkin di Kota Suci Mekah yang mempunyai 1001 macam keberkatan dan kelebihannya.
Oleh itu, kepada tetamu Allah SWT dan bakal jemaah haji, disyorkan agar sentiasa menggunakan peluang yang ada semasa di Kota Suci Mekah dan juga di Kota Madinah untuk menambahkan aktiviti ibadat seperti qiamullail, bacaan al-Quran, zikrullah, iktikaf dalam masjid, melakukan ibadat tawaf dan juga ziarah makam Rasulullah SAW.
Begitu juga beribadat kepada Allah SWT perlu dipertingkatkan khususnya ketika seseorang berada di sana kerana ada masa-masa tertentu doa dimustajabkan dan juga tempat-tempat tertentu.
Lebih istimewa daripada itu, apabila gabungan masa dan tempat yang disekalikan untuk diajukan munajat serta doa kepada Tuhan Rab al-Alamin sudah pasti amat mudah dimakbulkan.
Hal ini bagi orang yang berwukuf di Arafah pada hari yang ke-9 Zulhijjah selepas Zuhur maka waktu tersebut hingga mereka berangkat dari Arafah adalah amat mustajab doa.
Terdapat segelintir manusia yang tidak peka berkenaan kelebihan Kota Suci Mekah sehingga mereka membawa sifat negatif dan tidak baik dari tanah watan mereka bersama-sama ke Kota Suci Mekah akibatnya mereka lesu dan kurang bersemangat ketika melaksanakan ibadat, bahkan mereka banyak menghabiskan masa dengan berbual kosong berdebat pada perkara yang remah-temah dan juga melakukan beli-belah sebagai acara keutamaan.
Malanglah golongan seperti ini tambahan pula untuk mendapatkan tempat menuju ke kota suci pada musim haji berdasarkan kouta yang telah ditetapkan. Buanglah sifat negatif, malas dan juga kelesuan dalam beribadat dengan menggantikan sifat-sifat mahmudah dan bermujahadah dalam melaksanakan ibadat dengan bersungguh-sungguh.
Marilah sama-sama kita mengambil peluang untuk muhasabah diri sebelum menuju ke Kota Suci Mekah, bertaubat dan belajar ilmu berkaitan manasik haji agar para jemaah haji yang menjadi tetamu Allah digelar sebagai Duyuf al-Rahman mendapat haji yang mabrur. Amin.
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Sumber: Utusan
Labels:
Haji & Umrah,
Indahnya Islam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan