08 Disember 2013

Pusat Strok Hospital Pantai Pulau Pinang ~ Pusat Sehenti Rawat Strok

Pusat sehenti rawat strok
Pusat Strok Hospital Pantai Pulau Pinang menggunakan teknologi terbaru untuk pencegahan serta rawatan strok.

Penyakit strok atau angin ahmar sering dipandang sebelah mata dan dianggap tidak penting berbanding penyakit jantung sedangkan kesan yang dialami sebenarnya lebih buruk kerana pesakit akan hilang keupayaan dan terlantar sepanjang hayat.

Strok didefinasikan sebagai kerosakan fungsi otak secara tiba-tiba disebabkan sama ada kekurangan pengaliran darah atau pendarahan di dalam otak.

Dianggarkan kira-kira 50,000 rakyat Malaysia diserang strok setiap tahun, angka itu bermaksud secara purata seorang diserang strok bagi setiap 10 minit.


Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan peningkatan strok membabitkan warga emas dan kekurangan kawalan adalah faktor risiko utama strok di negara kurang membangun.

Risiko strok meningkat sejajar pertambahan usia, tabiat makanan tidak sihat, merokok dan tidak bersenam.

Strok terdiri daripada dua jenis iaitu iskemia dan pendarahan.

Strok iskemia berlaku apabila otak kekurangan bekalan darah dengan kehadiran ketulan darah yang menyekat aliran darah ke otak manakala strok pendarahan terjadi apabila salur darah di otak pecah dan menyebabkan darah terkumpul di otak.

Bagaimanapun, tidak ramai masyarakat tahu dengan pengambilan langkah awal dalam tiga jam pertama terhadap individu disyaki menghidapi serangan, penyakit strok mungkin dapat diatasi.

Rawatan dari semasa ke semasa

Justeru, atas kesedaran itu, Hospital Pantai Pulau Pinang menubuhkan sebuah pusat strok yang dilengkapi pelbagai kemudahan untuk merawat pesakit strok.

Pusat pertama di wilayah Utara itu akan menjadi pusat sehenti yang menyediakan kelengkapan untuk mengubati pesakit strok termasuk beberapa doktor yang berkemahiran dalam bidang neurologi.

Pengerusi Pantai Holdings Bhd, Datuk Anuar Abdullah, berkata mengikut Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (NASAM), strok adalah punca kematian ketiga terbesar selepas jantung dan kanser di negara ini.

Beliau berkata, rawatan kepada pesakit tidak boleh dilakukan secara umum kerana harus diberi rawatan terus dan mengikut masa.

Katanya, pesakit akan dipantau dan perhatian khusus akan diberikan ketika menjalani rawatan," katanya.

INFO

Antara tanda penting serangan strok:

* Tiba-tiba rasa kebas atau lemah pada sebelah badan
* Penglihatan (sebelah atau dua-dua belah mata) tiba-tiba berubah
* Sakit kepala teruk yang tidak diketahui secara tiba-tiba
* Pening tiba-tiba, sukar berjalan dan hilang keseimbangan
* Tiba-tiba sukar bercakap, keliru dan tidak memahami percakapan orang

Oleh Anis Nabilla Md Wazilah
Sumber: BHarian [2013/11/07]

0 comments: