20 Januari 2014
Perpustakaan Perbandaran Stuttgart ~ Kiub Untuk Ulat Buku
PERPUSTAKAAN ini menyediakan bahan bacaan daripada 25 bahasa di dunia.
BANGUNAN setinggi sembilan tingkat ini pasti menarik pandangan sesiapa sahaja yang berkunjung ke Filderstadt, Stuttgart, Jerman. Dengan warna bangunan serba putih dan berbentuk seperti sebuah kiub, Perpustakaan Perbandaran Stuttgart destinasi tumpuan ulat buku untuk mendapatkan bahan bacaan mereka.
Perpustakaan yang dibuka pada Oktober 2011 itu menempatkan kira-kira 500,000 buah buku pelbagai judul keluaran tempatan dan luar negara. Bangunan unik berkeluasan 11,500 meter persegi itu merupakan cetusan idea arkitek dari Korea Selatan, Eun Young Yi.
Bagi penduduk Stuttgart yang sering mengunjungi perpustakaan itu, mereka diberi pilihan untuk membayar yuran tahunan sebanyak DM21.89 (RM98) bagi mendapatkan kad keahlian. Yuran itu juga merangkumi perkhidmatan penggunaan 60 buah komputer dan lebih 100 buah komputer riba untuk tujuan penyelidikan yang disediakan di seluruh perpustakaan berkenaan.
Perpustakaan ini terbahagi kepada empat penjuru dan bahagian utama. Bagi pengunjung yang inginkan suasana privasi, kebiasaannya mereka akan ke bahagian foyer di bahagian tengah. Selain itu, ruangan perpustakaan kanak-kanak, muzik, bilik belajar dan kafe merupakan antara kemudahan lain yang terdapat di perpustakaan itu.
KEBANYAKAN ruang perpustakaan ini menggunakan warna putih sebagai warna tema.
Kanak-kanak
Anak-anak kebiasaannya gemar berkunjung ke perpustakaan kanak-kanak kerana ia dilengkapi dengan katil dan rak-rak buku yang banyak. Ini mewujudkan suasana santai dan selesa, seperti membaca buku di rumah.
Di tengah-tengah perpustakaan itu, terdapat sebuah kiub berukuran 3,000 meter persegi yang dibina untuk memenuhi ruang kosong dalam bangunan itu. Kiub yang dianggap sebagai nadi kepada perpustakaan itu merupakan antara kawasan tumpuan pengunjung untuk membaca kerana persekitaran yang tenang.
Di bahagian atas kiub itu terdapat lampu yang menerangi lokasi menarik berkenaan dan sebuah corong galeri buku sastera.
Pengunjung luar negara tidak perlu bimbang kerana perpustakaan yang menggunakan warna putih sebagai tema itu menyediakan bahan bacaan daripada 25 bahasa di dunia.
Menurut salah satu risalah yang diterbitkan oleh pihak berkuasa tempatan Stuttgard, pihaknya tidak menolak teknologi dan akan menyediakan segala keperluan multimedia untuk membantu pembangunan pengetahuan masyarakat.
Oleh itu, perpustakaan itu juga merupakan antara pusat maklumat terbaik dunia yang menyediakan perkhidmatan digital yang memudahkan para pengunjung mendapatkan bahan bacaan yang diingini.
Sistem rel yang dikawal oleh sistem pengkomputeran juga memudahkan pengunjung memulangkan bahan bacaan yang dipinjam. Sistem rel seperti sebuah troli elektrik itu akan terus menghantar buku ke rak asal.
Laman web Perpustakaan Perbandaran Stuttgart juga menawarkan perkhidmatan memuat turun buku elektronik (e-Book), akhbar elektronik (e-Paper) dan fail audio dengan kadar bayaran yang berpatutan kepada pengunjung.
Sumber: Kosmo
Labels:
Luar Negara
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan