19 Januari 2014

Terowong Lombong Bijih Timah Sungai Lembing


Tarikan terbaru lombong Sg. Lembing

Sebelum ini, umum hanya mengetahui tentang lombong bijih timah di Sungai Lembing yang mempunyai terowong terpanjang dan terdalam di dunia suatu ketika dulu melalui penceritaan dan maklumat yang diperoleh daripada sumber bacaan atau internet.

Namun kini, impian orang ramai khususnya generasi muda untuk memasuki kawasan tinggalan sejarah itu menjadi realiti apabila Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menaik taraf lombong berkenaan untuk memberikan peluang kepada pengunjung merasai pengalaman yang menarik itu.

Untuk itu, pembukaan semula lombong tersebut mencatat sejarah tersendiri dan menjadi sesuatu yang amat istimewa terutama kepada bekas pekerja lombong dan penduduk Sungai Lembing yang pernah mencari rezeki di situ.


Terowong yang suatu ketika dahulu digunakan untuk kegiatan melombong itu telah diubah suai bagi membolehkan pengunjung merasai sendiri suasana sebenar dan mengetahui bagaimana operasi untuk mengeluarkan bijih timah dijalankan.

Dengan bayaran berpatutan, RM30 untuk dewasa dan RM15 kanak-kanak manakala RM60 dewasa dan RM30 kanak-kanak bagi pelancong luar negara, pembukaan semula terowong berkenaan selepas ditutup sepenuhnya pada 1986, bakal menjadi daya penarik terbaharu kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

Untuk memasuki lombong itu, pengunjung akan dibawa menaiki lokomotif yang terletak di pintu masuk utama melalui landasan kereta api yang dibina sepanjang 80 meter bagi memulakan perjalanan meneroka kawasan khazanah berharga itu.

Lombong yang telah diubah suai serta dijamin keselamatannya akan memberikan pengembaraan yang menyeronokkan apabila di kiri kanan terowong terdapat pelbagai paparan maklumat secara terperinci.

Maklumat yang dipaparkan bermula daripada lombong itu ditemui dan beroperasi sehingga penutupannya menerusi alat-alat interaktif, paparan audio visual, replika peralatan melombong, simulator dan pelbagai lagi cukup bermanfaat kepada pengunjung.

Menyusuri terowong sepanjang 600 meter itu, pengunjung tentunya akan membayangkan suasana yang gelap dan panas serta kekurangan oksigen.

Namun, sebaliknya apabila sepanjang berada di dalam lombong, pengunjung akan menikmati suasana yang nyaman hasil daripada sistem pengudaraan unik yang telah dicipta oleh pengusaha lombong ini sejak dari dahulu lagi.

Pelbagai pengalaman menarik akan ditempuhi sepanjang pengembaraan termasuklah mengunjungi Lubang Sejuta, Kiew, laluan ke Lombong Myah, selain dapat mencuba alatan interaktif yang ada serta memperoleh maklumat terperinci melalui paparan-paparan visual yang disediakan.

Sepanjang perjalanan meneroka 'dunia bawah tanah zaman silam' itu, pengunjung diberi penerangan oleh kakitangan bertugas bagi memudahkan mereka memperoleh maklumat lebih lengkap.

Terdapat sebanyak 12 patung pelombong lengkap dengan peralatan ditempatkan di sepanjang terowong berkenaan bagi memberikan gambaran kepada pelancong kaedah melombong yang digunakan pada zaman dulu.

Terowong asal di lombong tersebut adalah sepanjang 322 kilometer dengan kedalaman antara 610 hingga 700 meter, namun kerja-kerja pengubahsuaian hanya dapat dilakukan sebahagian sahaja memandangkan membabitkan kos yang besar, selain faktor keselamatan.

Selain informasi, pengunjung berpeluang melihat tapak peninggalan sejarah tersohor seperti Lubang Sejuta yang sering menjadi sebutan penduduk setempat kerana dikatakan menjadi tumpuan pelombong haram menggali bijih besi selepas ditutup pada 1986.

Pembukaan semula lombong itu bertujuan menarik kedatangan ramai pelancong ke pekan Sungai Lembing, yang sebelum ini turut dikenali sebagai 'El Derado Timur'.

Oleh SITI NORIZAT SHIKH ABDUL JALIL
Sumber: Utusan


Terowong Bijih Timah Sungai Lembing pernah memasyhurkan nama Sungai Lembing sehingga dikenali dalam peta dunia kerana memiliki lombong yang terpanjang dan terdalam di dunia iaitu sepanjang 320 kilometer dan 700 meter dalam.

Mendamaikan

Sebelum memasuki terowong tersebut, mungkin ada yang mula merasa nafas mereka seakan-akan tersangkut di kerongkong kerana rasa gementar untuk masuk ke dalam lombong bijih timah tersebut. Terbayang betapa sempit, panas dan sesaknya keadaan di dalam lombong tersebut ditambah pula dengan terowong-terowong bawah tanah yang berselirat.

Perasaan sebegini disebut sebagai klaustrafobia, Klaustrafobia ialah perasaan panik akibat ketakutan berada di tempat yang tertutup dan bimbang tidak dapat keluar dari lokasi tersebut.


SELAIN terowong, Jambatan Sungai Lembing juga merupakan tarikan utama kepada pengunjung.

Sebaik sahaja pengunjung tiba di hujung landasan sejauh kira-kira 80 meter itu, segala tanggapan negatif mengenai keadaan lombong yang kononnya daif dan menyeramkan itu ternyata tidak benar. Bahkan, mereka disambut hawa dingin di dalam lombong berkedalaman kira-kira 900 meter ke dalam perut bumi.

Dinding dan lantai lombong berkenaan yang dahulunya dipenuhi dengan bijih ibarat diukir dengan mesin berteknologi tinggi bagi membentuk laluan seakan-akan terowong bersaiz kira-kira dua meter persegi. Sekali pandang, pengunjung berasa seolah-olah dikelilingi oleh arca-arca batu yang indah.

Segala yang dibayangkan pada peringkat awal ternyata tidak benar sama sekali, suasana di dalam terowong tersebut yang kelam, sejuk dan sunyi begitu mendamaikan. Bagaikan berada di dalam sebuah bilik yang berhawa dingin.

Anda pasti berasa kagum melihat ruang di dalam lombong berkenaan yang berbeza dari segi saiz. Ada yang sebesar padang bola dan ada juga yang terlalu kecil sehingga seseorang itu perlu merangkak untuk melaluinya.

Walaupun sudah hampir 26 tahun memberhentikan operasi, terowong sepanjang 1.5 kilometer itu bukan sahaja terjaga rapi, malah telah dibaik pulih bagi memberi keselesaan kepada pengunjung yang ingin merasai suasana bekerja di dalam lombong bijih timah.

Dengungan enjin

Ratusan mentol yang mengeluarkan cahaya berwarna oren dipasang di sepanjang terowong bagi memberi sedikit pencahayaan. Mentol tersebut menyerupai tona warna obor yang pernah digunakan untuk menerangi terowong sejauh lapan kilometer itu.

Sesekali, terdengar dengungan enjin kereta api pengangkut bijih yang dijadikan kereta api transit bagi membawa pengunjung ke dalam lombong. Walaupun hanya sekadar replika, ia sudah cukup untuk membawa pengunjung merasai suasana zaman kegemilangan lombong terbabit sekitar tahun 1940-an hingga 1950-an.


PENGUNJUNG akan dibawa ke dalam Terowong Sungai Lembing dengan menggunakan replika kereta api pengangkut bijih.

Muhammad Amri Mohd Zaki, 25, berkata, salah satu kepuasan yang dikecapinya sepanjang setahun berkerja sebagai pekerja am di lombong berkenaan ialah melihat keterujaan wajah pengunjung apabila diberitahu mengenai sejarah dan latar belakang lombong yang berusia kira-kira 150 tahun itu.

Mula diteroka secara komersial sekitar tahun 1920-an, Sungai Lembing yang dahulunya merupakan kawasan penempatan masyarakat British berubah wajah menjadi salah sebuah lokasi perlombongan bijih timah terbesar di dunia di bawah usaha sebuah syarikat British iaitu Pahang Consolidated Company Limited (PCCL).

Ketika itu, tiada teknologi moden digunakan dalam proses melombong bijih timah sebaliknya, para pekerja terpaksa menggunakan gerudi dan bahan letupan untuk memecahkan bongkah-bongkah batu pada dinding terowong.

Selepas dipecahkan kepada ketulan-ketulan kecil, batuan berisi timah itu kemudiannya dihantar menggunakan sebuah lokomotif berkuasa bateri ke kilang berhampiran untuk diproses.

Timah mentah

Dalam tempoh 100 tahun, lombong bijih timah Sungai Lembing ditadbir pihak pengurusan PCCL, lombong ini telah mengeluarkan kira-kira 13 juta tan metrik bijih timah kasar yang boleh menghasilkan 150,000 tan metrik timah dengan nilai sebanyak hampir RM2 bilion.

Kata anak jati Sungai Lembing itu, kebanyakan pengunjung tidak pernah melihat rupa sebenar bijih timah yang belum diproses. Justeru, apabila diberi peluang untuk melihat sendiri bahan mentah itu dalam keadaan asalnya, mereka teruja.

"Di dalam terowong ini terdapat beberapa lubang yang masih mempunyai sisa-sisa bijih timah. Jika mereka bernasib baik, mereka juga berpeluang untuk melihat bahan mineral lain yang berada di dalam lombong berkenaan contohnya emas.

"Bagaimanapun, lubang-lubang ini sentiasa dikawal rapi kerana kita mahu memelihara segala bahan mineral yang terdapat di dalamnya selama mungkin supaya generasi akan datang dapat melihatnya," ujarnya yang petah bercerita mengenai keistimewaan lombong yang menjadi salah satu lokasi pelancongan utama di daerah Kuantan itu.

Sejak penutupan lombong tersebut pada tahun 1987, ia telah diserahkan kepada kerajaan negeri Pahang sebelum dibaik pulih dan dibuka kepada pengunjung pada awal tahun 2013.


Merasai suasana bekerja di dalam lombong timah. Patung-patung digunakan untuk memberi gambaran aktiviti seharian para pelombong kepada pengunjung.

Kini, setelah setahun beroperasi sebagai pusat pelancongan, populariti lombong bijih timah Sungai Lembing semakin meningkat. Dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2013 sahaja, seramai 32,000 pengunjung dari dalam dan luar negara telah meneroka khazanah lombong tersebut.

Menurut Penolong Pegawai Tadbir (Pelancongan), Jabatan Pembangunan Sukan dan Perlancongan, Majlis Perbandaran Kuantan, Norzatil Othman, 32, peningkatan jumlah pengunjung ke lokasi berkenaan saban hari bukan sahaja menjadikan ia lebih dikenali malah secara tidak langsung membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat.

"Kita perhatikan semakin ramai penduduk kampung yang mengambil keputusan untuk berniaga. Daripada membuka gerai makan sehinggalah kedai menjual cenderamata.

"Bahkan, para petugas yang bekerja di lombong bijih timah tersebut kebanyakannya adalah penduduk sekitar," ujarnya.



Selain lombong bijih timah, terdapat beberapa tarikan lain yang terdapat di kawasan Sungai Lembing antaranya ialah Muzium Sungai Lembing dan Jambatan Gantung Sungai Lembing.

Sebuah bengkel penghasilan sampul surat oleh golongan orang kelainan upaya (OKU) yang terletak di lokasi yang sama turut menjadi lokasi kunjungan wajib para pelancong di Sungai Lembing.

Sumber: Kosmo
Untuk Maklumat Lanjut Sila Klik: Sungai Lembing Mines

0 comments: