29 Jun 2015

China Mengaktifkan Laluan Sutera Abad ke-21


Laluan Sutera Moden yang menghubungkan Asia dan Eropah.

APABILA menyebut mengenai Laluan Sutera, perkara pertama yang tergambar dalam ingatan ialah laluan darat yang menghubungkan Eropah, Afrika dan Asia sehingga ke negeri China, digunakan oleh pedagang pada zaman dahulu.

Umumnya Laluan Sutera itu bukanlah jalan atau lebuh raya dalam erti kata yang sebenar, tetapi adalah laluan pedagang yang bertukar-tukar barang dan berjual beli antara benua terbabit.

Pada masa sama, tidak ramai yang mengetahui atau mungkin bercakap mengenai Laluan Sutera maritim sedangkan perdagangan pada zaman dahulu dengan pedagang China sebahagian besarnya melalui laluan maritim.



MERCU TANDA dan Masjid Tua Xi An gabungan seni bina Islam-China yang di bina pada kurun ketujuh semasa kegemilangan Dinasti Tang (618-907). Kota purba ini merupakan permulaan Laluan Sutera di antara China dengan negara Arab dan senantiasa menjadi tumpuan pelancong di sini.


MASYARAKAT di Kashgar , Xinjiang , China masih mengamalkan sistem perniagaan ala barter melibatkan haiwan ternakan , pakaian dan barangan kraf.

Pengembara Islam, Ibnu Batuta dari Maghribi yang merantau sejauh 120,000 kilometer merentasi 44 negara, tiba di Quanzhou, China pada 1346 dan dalam catatannya menyebut masyarakat Cina mempunyai tamadun dan kebudayaan yang tinggi selain mengendalikan pelabuhan terbesar yang pernah dilihatnya.

Ini memperlihatkan betapa pedagang China pada ketika itu menguasai jalan perdagangan maritim di rantau Asia Tenggara untuk ke seluruh dunia memasarkan hasil dagangan.

Perdagangan dengan China ketika itu sebahagiannya tertumpu kepada kain sutera dan barangan porselin atau tembikar yang mendapat permintaan tinggi di seluruh dunia.

Kini dalam abad ke-21, gergasi ekonomi di dunia, China sedang mengambil inisiatif untuk mengaktifkan semula laluan-laluan sutera darat dan maritim yang mahu dikenali sebagai satu jalur dan satu laluan (one belt one road).

Merancang untuk membina dan menyambungkan landasan kereta api ke negara-negara Asia Timur, China juga sedang berusaha keras untuk menarik lebih banyak negara jirannya meningkatkan infrastruktur pelabuhan masing-masing untuk misi Laluan Sutera maritimnya.

Dari China, laluan ini menjangkau ke seluruh dunia sehingga ke Eropah, Afrika, Negara-negara Arab melalui Asia Tenggara. Idea bagi pembangunan satu jalur dan satu laluan ekonomi ini diilhamkan oleh Presiden China, Xi Jinping pada 2013 yang menganggapnya simbol saling mempercayai, perpaduan dan kerjasama bagi menghasilkan situasi menang-menang untuk semua.

Untuk itu, China menganggap negara-negara Asia Tenggara boleh menjadi pintu masuk kepada laluan maritim ini selain berkongsi faedah dan kemakmuran ekonomi daripada apa yang dirancangnya.

China juga mengumumkan penubuhan Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB) pada bulan November 2014, dengan dana berjumlah AS$40 bilion khusus untuk negara-negara yang menyokong usaha meningkatkan infrastruktur masing-masing bagi membolehkan China disambungkan dengan negara terbabit dengan hasrat menjayakan matlamat satu jalur satu laluan ini.

Nadi kepada aktiviti perdagangan ini ialah pengwujudan sebuah bandar pelabuhan dan perindustrian ultra moden di Qianhai, Shenzhen, yang akan bergandingan dengan Hong Kong yang terletak di bahagian pulau di sebelahnya.

Kawasan ini akan menjadi pusat pertumbuhan baharu China menjelang tahun 2020 dan ia akan disambungkan ke seluruh dunia melalui jalan laut, udara dan darat.

Sumber: Utusan [18 Jun 2015]

0 comments: