11 Jun 2015

Royal Belum Kekal Indah Tidak Terusik

Royal Belum
Royal Belum: Permata Gerik ini menyimpan segala khazanah alam flora dan fauna.

GERIK, satu daerah di Perak sememangnya terkenal dengan pelbagai khazanah yang mungkin sampai ke hari ini tidak pernah terusik.

Begitulah Royal Belum yang menjadi ‘permata’ Gerik , selain khazanah alam  flora dan fauna, Royal Belum juga ‘menyimpan’ masyarakat yang mungkin sehingga kini tidak pernah terdedah ke dalam dunia moden.

Kompleks Hutan Hujan Simpan Royal Belum-Temengor yang terletak di Gerik, Perak ini berusia lebih 130 juta tahun dan merupakan salah satu hutan tertua di dunia.

Saiznya juga adalah empat kali ganda keluasan Singapura dan menjadi warisan alam semula jadi negara yang masih terpelihara dengan baik dan tidak tercemar membuatkan hutan ini antara tarikan alam semula jadi.


Menurut Pengerusi Persatuan Anak Gerik Di Perantauan (Pagar), Tajuddin Mohd Ali, 33, berkata, satu ketika dahulu Royal Belum didiami oleh orang Melayu dan masyarakat asli, namun setelah empangan dibuat, kerajaan menggesa agar penduduk di kawasan itu untuk berpindah.

“Sebahagian Temengor tenggelam, Royal Belum tidak tenggelam, jadi ‘perkampungan’ Royal Belum di tinggal sehingga ratusan tahun.

“Di perkampungan itu, ada ladang buah-buahan, mereka juga menternak haiwan, bayangkan peninggalan mereka itu telah menyebabkan ‘hasil’ menjadi luar biasa.

“Ternakan mereka (kerbau, lembu)  ‘berubah’ menjadi Seladang , dan sehingga kini masih ada pokok teh gergasi, pokok durian juga bersaiz besar seolah-olah ada orang yang menjaganya.

Ada lagi orang Malaysia tinggal atas pokok?

“Dan di situ juga menurut cakap orang asli di sana mereka pernah terjumpa dengan ‘spesies’ manusia yang memang jarang dijumpai, menurut cakap mereka, mereka ini tinggal di atas pokok, dan hampir mustahil dijumpai kini kerana kehebatan mereka dalam ‘menjejaki’ orang luar.

“Masyarakat ini pernah ditemui pada tahun 2000, mereka ini bercawat, namun tidak mustahil mereka masih wujud kerana, mereka ini beranak-pinak,” katanya.

Berbicara lanjut, Tajuddin berkata ada pihak yang cuba menyelongkar misteri ‘masyarakat’ ini namun sehingga kini masih gagal untuk dilakukan.

“Ada pihak luar datang untuk jejak, tetapi masih gagal untuk didokumentasikan,” katanya.



Royal Belum terletak di bahagian utara Tasik Temengor, Ia diwartakan sebagai Taman Negeri Royal Belum pada 3 Mei 2007, ia meliputi kawasan seluas 117,500 hektar dengan hampir 90 peratus daripadanya adalah Hutan Simpan Belum (132,000 hektar) yang bersempadan dengan Thailand.

Manakala di sebelahnya terbentang Hutan Simpan Temengor yang mempunyai keluasan lebih 200,000 hektar.

Biarpun lokasinya agak jauh dan terpencil, ia langsung tidak menjejaskan kedatangan pelancong untuk menikmati dan menyelongkar rahsia alam yang masih suci daripada pencemaran.

Ini kerana, untuk menyingkap rahsia alam yang masih tersimpan rapi di sini, hanya pengangkutan air sahaja boleh membawa pelancong ke Royal Belum.

Laluan darat hanya dapat dihubungkan sehingga ke jeti awam, Pulau Banding iaitu lokasi terakhir sebelum ekspedisi seterusnya mengguna bot laju menyusuri Tasik Temengor menuju taman negeri ini.

Usia Royal Belum dipercayai berusia lebih 130 juta tahun, lebih tua daripada hutan hujan Amazon di Amerika Selatan dan hutan Congo di Afrika Tengah.

Dianggarkan terdapat 3,000 spesies flora, 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 jenis ikan sungai yang hidup bebas dan liar, sekali gus menjadikan Royal Belum, khazanah negara tidak ternilai harganya.

Oleh: MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
Sumber: Sinar Harian



Royal Belum Dikawal Ketat

Hutan Simpan Negeri Perak atau Royal Belum akan sentiasa dikawal ketat bagi mengelak khazanah alamberusia lebih 130 juta tahun itu dirosakkan.

Tindakan tegas perlu diambil pihak berwajib bagi memelihara keindahan hutan tersebut dan membendung penerokaan serta pembalakan haram.

Pihak Taman Negeri sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan dan beberapa agensi lain dalam mengawal pencerobohan terhadap hutan simpan berkenaan.

Kerajaan negeri menggazet hampir 19,000 hektar hutan berhampiran Royal Belum sebagai hutan simpan. Langkah ini dapat memastikan peneroka haram sentiasa berada jauh dengan hutan ini.

Jumlah pelancong yang mengunjungi hutan tropika itu meningkat setiap tahun. Walaupun kerajaan negeri mengehadkan jumlah pelancong yang dibenarkan masuk ke Royal Belum pada satu-satu masa.

Hanya 250 pelancong dibenarkan masuk ke hutan ini pada satu-satu masa. Peraturan ini diwujudkan kerana pihak kerajaan negeri tidak mahu jumlah pelancong yang terlalu ramai menyebabkan hutan ini rosak.

Kemasukan pelancung dapat dikawal melalui satu-satunya laluan masuk ke Royal Belum iaitu menggunakan laluan Tasik Banding.

Oleh: RIDAUDDIN DAUD
Sumber: Sinar Harian

0 comments: