20 Julai 2015

Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) ~ Bullet Train Malaysia

Perkhidmatan ETS KL-Padang Besar bermula esok
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika lawatan kerja di stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad Batu Gajah. - Foto Bernama

Perkhidmatan ETS KL-Padang Besar bermula 11 Julai, 2015

AKHIR-akhir ini ramai yang teruja dengan perkembangan kereta api elektrik baharu dari KL Sentral ke Padang Besar.

ETS atau Perkhidmatan Tren Elektrik telah dilakukan perjalanan percubaan oleh pengendalinya, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di beberapa laluan berkembar sejak enam bulan lalu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada 9 Julai, 2015 mengumumkan perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Gold dari Kuala Lumpur ke Padang Besar akan bermula pada 11 Julai, 2015.


Beliau berkata perkhidmatan itu dijalankan dua kali sehari iaitu untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar dan Padang Besar ke Kuala Lumpur.

"Perkhidmatan ini dijangka ia mendapat sambutan orang ramai kerana perjalanan lebih cepat dan selesa. Perkhidmatan ini juga akan dijalankan secara tetap," katanya.

Tiong Lai berkata, perkhidmatan itu akan dikenakan bayaran sebanyak RM81 dan mengambil masa selama empat jam 45 minit untuk sampai ke destinasi.
 
"Kita telah mendapat kelulusan daripada SPAD untuk melakukan perkhidmatan ini. Perjalanan perkhidmatan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar akan melalui 28 stesen. Perkhidmatan itu akan berhenti di semua stesen utama termasuk Ipoh dan Butterworth dengan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar mengambil masa anggaran empat jam 45 minit.
 
"Pada masa hadapan, kita juga berharap dapat memberikan perkhidmatan komuter Sungai Siput-Kuala Kangsar-Ipoh-Kampar bagi penduduk yang duduk berhampiran Lembah Kinta," katanya sambil menambah tren ETS yang mempunyai enam gerabak itu boleh memuatkan 312 penumpang untuk satu perjalanan.

Katanya, 10 tren ETS baharu akan digunakan melibatkan kos sebanyak RM506 juta.
 
Perkhidmatan ETS pertama negara, yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Ipoh, mula beroperasi 12 Ogos 2010.

Tren pertama buatan Korea Selatan yang mempunyai enam gerabak setiap unit itu mampu bergerak 160 kilometer sejam serta hanya mengambil masa dua jam bagi perjalanan antara Kuala Lumpur dan Ipoh. - Bernama

Sumber: Sinar Harian [9 Julai, 2015]

ETS: Teruja naik bullet train Malaysia

Perkhidmatan ETS Ekspres KL-Padang Besar dilancar

Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Ekspres Kuala Lumpur (KL)-Padang Besar oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dilancarkan pada Sabtu 11 Julai, 2015.

Perjalanan pertama perkhidmatan ETS untuk jajaran itu berlepas dari stesen KL Sentral tepat 9.30 pagi dengan membawa kira-kira 80 orang penumpang.

“Tren berlepas tepat pada masanya, pintu masuk dalam keadaan terkawal, penumpang juga masuk dan duduk di tempat duduk masing-masing dengan tertib. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik," kata Ketua Unit ETS, Azizullah Kinayatullah,

“Mengambil kira notis pendek yang dikeluarkan berhubung perkhidmatan ini, saya kira setakat ini pengguna dan penumpang memberi maklum balas yang sangat baik”, katanya.

ETS Ekpsres KL-Padang Besar sepatutnya dijadualkan untuk memulakan perkhidmatannya pada September, namun diawalkan atas permintaan tinggi oleh pengguna menjelang perayaan Aidilfitri.

Perkhidmatan kereta api elektrik itu sebagai menggantikan kereta api lama yang digerakkan oleh diesel, dilancarkan pada Ogos 2010 untuk jajaran KL-Ipoh.

Setakat ini, ETS jajaran KL-Ipoh mencatat jumlah purata penumpang sekitar 5000 orang setiap hari.

Dalam pada itu, Azizullah turut memberi jaminan bahawa ETS memberikan perkhidmatan yang lebih cepat, tepat dan selamat.

“Oleh kerana ia digerakkan tenaga elektrik, perjalanan menjadi lebih lancar, selesa dan lebih cepat jika dibandingkan dengan perjalanan menaiki tren jenis lama. Pencemaran udara juga dapat dikurangkan.

Tren jenis lama yang digerakkan diesel memakan masa kira-kira 12 jam untuk perjalanan KL-Padang Besar.

Dengan kelajuan 160 kilometer sejam, tren elektrik ini mampu mencatat masa perjalanan jauh lebih pendek iaitu kira-kira empat hingga ke lima jam sahaja.

“Kami juga jamin penumpang akan berlepas dan tiba ke destinasi masing-masing tepat pada waktu sepertimana yang dimaklumkan," ujarnya.

Selain itu katanya, ETS Ekspres turut menjanjikan pengalaman perjalanan yang berbeza kepada setiap penumpang.

“Keunikan perkhidmatan dalam ETS ini adalah wujudnya kru kabin sepertimana perkhidmatan pengangkutan udara.

“Setiap penumpang ETS Ekspres akan mendapat layanan kru kabin yang sedia membantu apa sahaja berkaitan perjalanan dan keadaan dalam gerabak bermula daripada penumpang masuk ke dalam tren sehinggalah mereka tiba ke destinasi masing-masing.

“Fasiliti yang disediakan seperti cafe mini, soket elektrik, tempat duduk boleh laras, skrin LCD yang menayangkan filem untuk hiburan penumpang selain persekitaran gerabak yang bersih turut melengkapkan perkhidmatan istimewa yang disediakan," katanya.

Dengan bermulanya operasi ETS Ekspres, pengguna tidak lagi perlu menukar tren di Ipoh dan kemudiannya Butterworth untuk ke stesen terakhir di utara iaitu stesen Padang Besar.

Perkhidmatan ETS Ekspres akan berjalan dua kali sehari dengan harga tiket RM80 untuk dewasa sementara RM40 untuk kanak-kanak bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar, Perlis dan sebaliknya.

Projek landasan berkembar elektrik Ipoh-Padang Besar bermula pada 2008 yang memakan belanja kira-kira RM13 bilion itu turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan kargo.

KTMB turut merancang untuk memanjangkan laluan tersebut sehingga ke Johor Bahru.

Oleh: Israr Khalid
Sumber: Astroawani [11 Julai, 2015]

ETS KL-Padang Besar berhenti di 15 stesen

Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Kuala Lumpur ke Padang Besar dan Padang Besar ke Kuala Lumpur akan berhenti di 15 hentian.

Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad dalam satu kenyataan pada 11 Julai, 2015 berkata 15 hentian itu ialah KL Sentral, Tanjung Malim, Tapah Road, Kampar, Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping, Parit Buntar, Bukit Mertajam, Butterworth, Bukit Mertajam, Sungai Petani, Alor Star, Arau dan Padang Besar.

Kenyataan itu berkata harga tiket sehala dari Kuala Lumpur-Padang Besar atau Padang Besar-Kuala Lumpur ialah RM80.

Tren dari Kuala Lumpur ke Padang Besar, akan berlepas pada pukul 9.30 pagi dan tiba pada pukul 3 petang manakala dari Padang Besar ke Kuala Lumpur pada pukul 4 petang dan tiba pada 9.15 malam.

Bagi perkhidmatan tren ETS Transit Ipoh-Butterworth-Padang Besar dan sebaliknya yang telah bermula pada 10 Julai 2015 akan berhenti di kesemua 24 stesen.

Sepuluh stesen hentian baharu diperkenalkan iaitu Anak Bukit, Bukit Ketri, Bukit Tengah, Kamunting, Kobah, Kodiang, Padang Rengas, Simpang Ampat, Tasek dan Tasek Gelugor.

Tiket tren Ipoh ke Butterworth adalah RM23 manakala Butterworth ke Padang Besar adalah RM21.

Waktu laluan Ipoh-Butterworth adalah 5 pagi dan tiba 6.50 pagi, Butterworth-Padang Besar (7.30 pagi-9.15 pagi), Padang Besar-Butterworth (2 petang-3.45 petang) dan Butterworth-Ipoh (5 petang-6.50 petang).

Buat permulaan, KTM Berhad hanya menyediakan satu perkhidmatan tren untuk setiap arah bagi kedua-dua perkhidmatan ETS dan kekerapan tren akan ditambah apabila tren-tren ETS yang baharu mula beroperasi.

Para penumpang boleh mula membuat pembelian dan tempahan tiket atau sebarang maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang www.ktmb.com.my atau menghubungi pusat panggilan di talian 1-300-88-5862. - Bernama

Sumber: Astroawani [11 Julai, 2015]

Jadual perjalanan dan senarai tambang tren ETS

Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Ekspres Kuala Lumpur (KL)-Padang Besar oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah dilancarkan pada Sabtu 11 Julai 2015.

Perjalanan pertama perkhidmatan ETS untuk jajaran itu berlepas dari stesen KL Sentral tepat 9.30 pagi dengan membawa kira-kira 80 orang penumpang.

Perkhidmatan kereta api elektrik itu sebagai menggantikan kereta api lama yang digerakkan oleh diesel, dilancarkan pada Ogos 2010 untuk jajaran KL-Ipoh.

Perkhidmatan ETS Ekspres akan berjalan dua kali sehari dengan harga tiket RM80 untuk dewasa sementara RM40 untuk kanak-kanak bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar, Perlis dan sebaliknya.

Infographic Kadar Perjalanan ETS

Infographic Kadar Perjalanan ETS

Oleh: Firanah Anuar
Sumber: Astroawani [14 Julai, 2015]

0 comments: