14 Jun 2011

Wanita Muda Sedia Bermadu



Berdasarkan kajian soal selidik yang dijalankan terhadap 400 responden berusia 18 tahun ke atas baru-baru ini, ramai di antara mereka bersetuju mengizinkan suami berkahwin lain.

Tanggapan ini diperkuatkan lagi menerusi rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia yang mencatatkan sehingga April 2011 sahaja, sebanyak 286 kes poligami dilaporkan telah didaftarkan.

Daripada jumlah itu pula, 222 permohonan poligami diluluskan atas perintah mahkamah.




Wanita negara ini terutama berusia di bawah 30 tahun lebih terbuka untuk hidup berkongsi kasih atau bermadu berbanding dengan mereka melepasi usia tersebut.

Kaji selidik rambang Utusan Malaysia ke atas 400 responden sekitar ibu kota mendapati, walaupun jumlah yang menentang poligami melebihi daripada kumpulan menerima, namun terlihat perubahan baru apabila golongan wanita muda tidak lagi kisah dengan status bermadu.

Berdasarkan jumlah responden ditemui, sebanyak 46 peratus atau 182 akan membenarkan bakal suami atau suami mereka berpoligami. Daripada 182 responden itu pula, hampir 60 peratus atau 108 orang adalah terdiri daripada wanita muda berusia di bawah 30 tahun.

Sementara itu, sebanyak 53 peratus atau 213 responden, kebanyakannya berumur lebih 30 tahun pula lebih rela bercerai jika suami mereka berkahwin lain manakala satu peratus lagi secara berterus-terang mengatakan tidak berminat untuk mengetahui tindakan suami di belakang mereka.

Antara alasan diberikan mereka yang enggan berpoligami ialah tidak sanggup berkongsi kasih sayang selain mengaitkannya dengan tahap kemampuan kewangan seseorang lelaki itu.

Bagi yang bersedia untuk berpoligami, ia didorong perasaan takut menanggung dosa kerana tindakan itu dibenarkan oleh agama.

Dalam masa sama, mereka lebih menghormati suami yang bertanggungjawab dan jujur.

Berhubung soalan tentang punca wanita muda mudah terpikat kepada lelaki berstatus suami orang, ramai memilih faktor kewangan kukuh dan sikap romantik ditunjukkan mereka.

Sementara itu, berkaitan soalan - jika anda bercinta dengan suami orang, sanggupkah anda bernikah secara senyap-senyap di Thailand, hasil diperoleh ialah sebanyak 89.5 peratus responden memberikan jawapan tidak sanggup manakala 10.5 peratus lagi bersedia menghadapi apa sahaja rintangan.

Sumber: Utusan Online

Rela bermadu kerana kurang lelaki berkualiti

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zawiah Hassan, keterbukaan golongan wanita muda itu ada kaitan dengan kekurangan lelaki bujang yang berkualiti untuk dijadikan calon suami.

Ujarnya, berbanding lelaki berstatus suami orang yang rata-ratanya mempunyai kerjaya tetap dengan kewangan kukuh, kebanyakan lelaki bujang masih 'terumbang-ambing'.

Benarkah kekurangan lelaki bujang yang berkualiti menjadi antara punca golongan wanita muda kini 'merelakan' diri mereka bermadu?

"Sejak akhir-akhir ini memang ketara kecenderungan wanita muda untuk menerima poligami.

"Trend ini barangkali wujud ekoran kestabilan ekonomi golongan lelaki berstatus suami orang berbanding lelaki bujang menyebabkan mereka merasa terjamin seandainya menjadi isteri kedua, ketiga mahupun keempat.

"Apatah lagi, melihat kebahagiaan rumah tangga si lelaki yang sudah berkahwin. Faktor-faktor ini sedikit sebanyak mendorong wanita muda merasakan mereka juga berpeluang untuk hidup bahagia seperti madu-madunya yang lain," katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Sementara itu, seorang pensyarah di Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Khaidzir Ismail berpendapat, pemikiran wanita muda yang semakin terbuka untuk berkongsi suami secara tidak langsung menyebabkan trend berpoligami kian meningkat.

"Trend wanita berkahwin dengan lelaki berstatus suami orang bukan perkara baru. Tetapi ia semakin kerap kita dengar sekarang. Tidak keterlaluan saya katakan, mereka (wanita) kini lebih mudah untuk menerima konsep 'berkongsi' suami berbanding sebelum ini.

"Hal paling ketara, mungkin disebabkan faktor gaya hidup, tahap pendidikan serta pekerjaan.

"Tak hairanlah jika golongan ini dilihat lebih 'lembut hati' untuk berkongsi suami," katanya.

Khaidzir juga tidak menolak kemungkinan seandainya suatu hari nanti isu poligami bukan lagi perkara sensitif yang perlu 'ditakuti' khususnya buat para isteri di negara ini.

"Jika rata-rata wanita mahupun isteri sudah boleh menerima hakikat ini, siapa tahu mungkin pada masa akan datang, orang sudah tidak kisah tentang isu poligami lagi," katanya.

Sumber: Utusan Online

Wanita berhak tolak poligami

Wanita mempunyai hak untuk menolak poligami sekiranya yakin, suami mereka tidak mengikut syarat yang digariskan dalam Islam.

Menurut Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut, seorang isteri berhak berbuat demikian jika suami tidak berkemampuan dari segi ilmu agama mahupun kewangan.

Katanya, realiti hari ini menunjukkan kebanyakan lelaki tidak menilai kemampuan diri sebelum membuat keputusan untuk ‘pasang dua’.

“Hukum berkahwin terbahagi kepada lima iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram.

“Seandainya ketika bermonogami (berkahwin seorang) lagi lelaki itu telah menunjukkan ciri-ciri tidak adil dan tidak berkemampuan baik dari segi kewangan dan kesihatan, maka hukumnya untuk berkahwin lagi adalah haram,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Nooh, wanita yang menolak poligami tanpa alasan kukuh juga dibimbangi akan terpesong akidahnya daripada ajaran Islam.

Kata beliau, poligami adalah hukum Allah SWT yang termaktub dalam al-Quran dan mesti diterima oleh umat Islam keseluruhannya.

“Golongan yang mempertikaikan kebenaran berpoligami, bermakna mereka menolak ajaran Islam,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pula berkata, walaupun poligami dibenarkan dalam Islam, namun, ia sering kali disalahgunakan oleh lelaki.

“Kebenaran tersebut sering menjadi ‘tiket’ kebanyakan lelaki untuk membuka ‘cawangan baru’ sewenang-wenangnya.

“Islam tidak menggalakkan poligami apatah lagi, penceraian,” katanya.

Kata Harussani lagi, tiada siapa suka untuk berkongsi kasih kerana itu lumrah manusia.

Maka, tidak dinafikan katanya, penceraian sering sahaja menjadi pilihan wanita daripada memilih untuk hidup bermadu.

Beliau menasihatkan golongan lelaki supaya menilai kemampuan diri terlebih dahulu dan bukan berkahwin mengikut hawa nafsu semata-mata.

Utusan Online

Firman Allah Ta'ala,
"Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): Dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman." (Surah An-Nisaa’: Ayat 3).

Firman Allah Ta'ala,
“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya), oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (diawang-awangan).” (Surah An-Nisa’:129)

Baca juga Selamat Pengantin Baru Buat Salih Yaacob.

4 comments:

kiwi berkata...

tak semua..

scya lollita berkata...

cik scya sudiii keh99
aslkan ckop sifat n prmpuan tu dtg dr ktrunan yg baek2 .

ApiH berkata...

satu info menarik.. hehee..

Rawkzell berkata...

yea :P