14 Jun 2011
Pemain, Pegawai Dan Pengurus Skuad Penyu Terima Ganjaran
KUALA TERENGGANU, 14 Jun: Pemain bola sepak pasukan Terengganu, pengurus dan pegawai menerima durian runtuh apabila kerajaan negeri memberikan ganjaran berupa wang tunai RM10,000 seorang.
Lebih istimewa, skuad penyu akan dibawa ke London dan penaja utama skuad penyu iaitu Top IT turut menghadiahkan komputer riba kepada pasukan itu.
Ganjaran berkenaan diberikan setelah skuad penyu berjaya meraih gelaran juara pada perlawanan akhir Piala FA, setelah menumpaskan Kelantan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu 11 Jun 2011 (Rujuk: Keputusan Perlawanan Akhir Piala FA 2011)
Berita gembira itu diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said ketika berucap pada majlis meraikan Skuad Penyu dan wira-wira Sukan Malaysia ke-14 di Dataran Shahbandar malam tadi yang dihadiri kira-kira 10,000 penyokong.
Pada majlis yang sama, sekali lagi Piala FA dan Piala Sukan Malaysia diarak dan dipamerkan kepada orang ramai.
Sementara itu Ahmad mengingatkan para pemain agar tidak leka dan lalai dengan ganjaran yang diberikan kepada mereka.
Katanya dengan ganjaran yang diberikan kepada pemain diharap dapat menyuntik semangat para pemain untuk terus memburu kejayaan dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.
Sementara itu bagi atlet Sukan Malaysia yang berjaya membawa pulang pingat emas, kerajaan negeri memberi ganjaran wang tunai masing-masing sebanyak RM5,000, perak RM3,000 dan RM2,000 bagi pemenang pingat gangsa.
Dalam pada itu Menteri Besar itu turut mengumumkan cuti umum bagi seluruh negeri itu Ahad ini sempena kemenangan membawa pulang Piala FA dan juga sempena kejayaan kontinjen Terengganu menjuarai Sukan Malaysia ke-14 di Kuala Lumpur, buat kali ketiga berturut-turut.
Sumber: BERNAMA
Labels:
Sukan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 comments:
best nye duk ganu.. boleh cuti..
...bereh ganu! ganu hebak!
Catat Ulasan