31 Oktober 2011

Rumah 'Jelatong' Di Tasik Bakun



JULAU, Rumah-rumah yang menjadi sebahagian pemandangan indah sebuah tasik di Empangan Hidro Bakun di Belaga, Kapit lambat laun perlu dirobohkan, demikian menurut Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (SRB).

Ini akan dikuatkuasakan sebaik sahaja tasik berkenaan secara rasmi diwartakan sebagai kawasan larangan seperti Empangan Hidro Batang Ai di Sri Aman, kata Pemangku Pengawal SRB Teo Swee Ann.

SRB, sebuah jabatan kerajaan negeri, bertanggungjawab melindungi semua sungai dan menyelaraskan serta mengawal sistem pengangkutan sungai, ketika itu pasti akan mempunyai peranan tambahan apabila ini dikuatkuasakan.

Rumah-rumah terapung atau yang dinamakan "jelatong" oleh penduduk setempat ialah rumah hinggap yang terapung kerana binaannya dipateri terus ke tong-tong minyak atau dipaku kepada kayu balak.

Sementara pemiliknya biasa menggunakan rumah terapung untuk menjadi tempat tinggal sementara ketika memancing atau menternak ikan sangkar di tasik, ada juga yang membuat keuntungan dengan menyewakannya kepada pelancong.

Baru-baru ini, Anggota Parlimen Hulu Rajang Datuk Billy Abit Joo meminta pihak berkuasa berkaitan untuk mengawal rumah terapung, yang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan, atas alasan masalah pencemaran alam sekitar dan keselamatan.

"Pada akhirnya, saya fikir semua ini tidak seharusnya dibenarkan kerana adalah sukar untuk mengawal selia terutamanya daripada segi air sisa buangan tandas dan dapur.

"Ia akan menjadi lebih sukar akan mustahil untuk mengadakan kawalan apabila lebih banyak rumah seumpamanya didirikan," kata beliau.

Teo berkata adalah lebih mudah bagi binaan seumpamanya di atas tanah namun segala air sisa dan bahan buangan perlu diurus dengan betul.

Namun, kata beliau jika terdapat cadangan daripada pertubuhan tertentu yang mahukan rumah seumpamanya dibina, resort atau rumah rehat bagi mempromosikan pelancongan di tasik itu, ia tertakluk kepada Kementerian Pelancongan.

"Begitupun, beberapa syarat dan kawalan tertentu perlu diwujudkan. Mereka harus menangani bagaimana air sisa dan bahan buangan tandas dan dapur akan dipungut dan disalirkan ke tempat lain dan bukannya terus dilupuskan ke dalam tasik itu," katanya.

Beliau berkata ini sangat penting untuk mencegah sebarang penularan, terutamanya ketika berlaku wabak penyakit bawaan air.

"Seperkara lagi, wujud isu keselamatan yang perlu ditangani... sama ada mereka yang bercuti di jelatong layak menuntut insurans jika suatu kemalangan berlaku," katanya.

Beliau berkata pada kebanyakan waktu, air tasik mungkin kelihatan tenang tetapi apabila berangin, air tasik boleh mewujudkan gelombang dan ombak kuat terutamanya ketika cuaca kurang baik seperti yang pernah kita lihat di tasik Batang Ai.

Setiap individu mestilah sentiasa peka bahawa keseluruhan kawasan tasik berkeluasan kira-kira 700 kilometer persegi yang saiznya adalah sebesar pulau Singapura.

Teo berkata atas alasan yang sama, semua bot perlu mematuhi syarat SRB seperti mendapatkan lesen, mempunyai permit operasi dan dilengkapi dengan peralatan keselamatan.

"Pegawai kami akan sentiasa melakukan pemeriksaan. Kami akan mengawal selia mereka tentang apa yang perlu digunakan sama ada bot berkenaan milik penghuni atau yang dimiliki rumah panjang ataupun resort pelancongan," katanya.

Pegawai Publisiti Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Sarawak Danny Bungan ketika dihubungai Bernama, berkata dianggarkan lebih 100 buah rumah terapung dibina di tasik berkenaan.

Danny berasal dari Uma Belor, satu daripada 15 rumah panjang yang terletak dalam kawasan Penempatan Semula Sungai Asap.

Kebanyakan jelatong berkenaan dimiliki penghuni rumah panjang, yang terjejas ekoran pelaksanaan Empangan Hidro Bakun bernilai RM7 bilion.

"Saya pastinya mahu alam sekitar dipelihara dan pertimbangan keselamatan mengenai jelatong tetapi pada masa yang sama kami berharap Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan agensi berkaitan lain dapat memberi garis panduan sekiranya ada yang berhasrat mengekalkan jelatong mereka.

"Kebanyakan jelatong turut menjadi rumah perlindungan bagi mereka yang menternak ikan dalam sangkar dan kini menjadi sumber pendapatan utama mereka," katanya.

Oleh Edward Subeng Stephen
Sumber: BERNAMA

1 comments:

Unknown berkata...

kerja sampai mati