01 Julai 2011

Sijil Kelahiran Kanak-kanak Bukan Warganegara Berwarna Merah


Sijil Lahir Berwarna Hijau Dikhaskan Hanya Untuk Warganegara.

Mulai Jumaat 1 Julai 2011, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan Sijil Kelahiran berwarna Merah bagi kanak-kanak yang bertaraf bukan warganegara.

Sebelum ini warna sijil kelahiran kanak-kanak warganegara dan bukan warganegara adalah sama iaitu hijau.

Perbezaan warna itu memaklumkan bahawa sijil kelahiran berwarna hijau hanya dikeluarkan kepada kanak-kanak yang bertaraf warganegara Malaysia sementara sijil kelahiran berwarna merah untuk kanak-kanak bukan warganegara.


Ia juga untuk mengelakkan ibu bapa atau warga asing yang melahirkan anak di negara ini beranggapan bahawa dengan memiliki sijil kelahiran Malaysia, anak-anak mereka adalah secara automatik menjadi warganegara.

Ia juga bertujuan memberi makluman awal kepada ibu bapa akan status kewarganegaraan anak yang dilahirkan; mengelakkan sebarang kekeliruan kepada orang ramai dalam mengenalpasti taraf kewarganegaraan seseorang kanak-kanak; dan memudahkan agensi-agensi lain untuk mengenalpasti taraf kewarganegaraan seseorang kanak-kanak apabila berurusan.

Bagi kanak-kanak bertaraf bukan warganegara yang telah memiliki sijil kelahiran yang berwarna hijau sebelum ini, ia dikekalkan dan hanya berubah apabila pemohon membuat Cabutan Sijil Kelahiran di mana-mana pejabat JPN berhampiran.

Sumber: BERNAMA

1 comments:

mykhalis berkata...

takkan la baru perasan..ishh..