03 Mei 2012

Aktiviti Keselamatan Jalan Raya Di Sekolah

Jika anda seorang guru, bagaimanakah cara anda menguji kefahaman pelajar tentang keselamatan jalan-raya? Apakah aktiviti yang sesuai dilaksanakan dalam perjumpaan ahli Kelab Keselamatan Jalan Raya?

Aktiviti sekolah berikut ini mungkin boleh dijadikan contoh.



DENGAN wisel di bibir, gaya kanak-kanak berusia 10 tahun itu seolah-olah seperti anggota polis trafik yang sedang bertugas. Meskipun dibakar terik matahari sambil pen di tangan, dia tidak teragak-agak mengeluarkan saman kepada rakan yang melanggar peraturan lalu lintas.

Setiap kesalahan itu dicatat dan dimaklumkan agar ia tidak diulangi. Pelbagai aksi dapat dilihat apabila mereka yang melanggar peraturan menerima surat saman. Ada yang menepuk dahi dan ada pula yang hanya mampu tersengih apabila menyedari kesilapan yang dilakukan.

Senario itu mungkin kelihatan sama seperti keadaan sebenar di jalan raya, namun ia hanyalah latihan amali pendidikan keselamatan jalan raya melalui Ops Sikap 2 yang dijalankan oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasik, Bandar Tasik Permaisuri, Cheras.


Penganjuran Ops Sikap itu bertujuan menguji pemahaman pelajar akan keselamatan jalan raya yang dipelajari dalam subjek Bahasa Melayu. Ia lanjutan penganjuran Ops Sikap kali pertama yang diadakan pada 2010 yang mencapai objektifnya untuk menyemai minat serta menanam pemahaman pelajar mengenai keselamatan jalan raya.

Kali ini, Ops Sikap 2 SK Seri Tasik melibatkan kira-kira 30 pelajar tahun empat yang terpilih untuk menguji kemahiran dan pengetahuan mereka di jalan raya.

Ia selaras dengan hasrat kerajaan bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat tentang aspek keselamatan jalan raya bermula dari kanak-kanak. Program ini bertujuan melahirkan pengguna jalan raya yang berhemah dan berdisiplin serta mencapai matlamat mengurangkan kadar kemalangan.

Bermula pada tahun 2008, pendidikan keselamatan jalan raya diajar dalam subjek Bahasa Melayu untuk murid tahun satu hingga enam. Ia kemudiannya dilanjutkan ke peringkat sekolah menengah bermula tahun 2012 ini.

Menggunakan tapak tempat letak kereta di luar kawasan sekolah yang diubahsuai menjadi litar jalan raya, pelajar yang menjadi pengguna jalan raya perlu mengikut aturan yang ditetapkan. Ada yang menunggang basikal dan ada sebagai pejalan kaki.


PELAJAR yang menjadi pengguna jalan raya perlu mengikut aturan yang ditetapkan.

Selain guru, Ops Sikap 2 itu juga melibatkan kerjasama anggota dan pegawai dari Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Wilayah Persekutuan yang memantau perjalanan latihan amali yang memakan masa kira-kira setengah jam. Murid diajar teori dalam kelas sebelum menjalani latihan di lapangan.

Menggunakan buku dan bahan pengajaran yang disediakan oleh JKJR, guru Bahasa Melayu turut diberi latihan secukupnya oleh JKJR tentang setiap topik keselamatan jalan raya bagi memudahkan mereka mengajar.

Terima saman

Topik tentang menunggang basikal dibincangkan di dalam kelas sebelum dipraktikkan di lapangan. Pelajar perlu melaksanakan aktiviti dengan berhati-hati kerana setiap pergerakan akan dinilai. Pelajar juga harus peka dengan papan tanda keselamatan selain tahu apa yang perlu dilakukan ketika berada di simpang jalan, lampu isyarat, bulatan dan lintasan zebra. Jika tidak berhati-hati, bersiap sedialah untuk menerima saman bagi setiap kesalahan yang dilakukan.

Menjadi antara sekolah yang paling aktif dalam pendidikan keselamatan jalan raya di Wilayah Persekutuan, SK Seri Tasik boleh berbangga dengan kemudahan yang disediakan di sekolah tersebut bagi memudahkan pelajar-pelajar menghayati keselamatan jalan raya dengan lebih berkesan.


PEMAHAMAN yang mendalam mengenai keselamatan jalan raya mampu mengelakkan kemalangan jalan raya yang tidak diduga.

Guru Besar sekolah tersebut, Misman Mostam mengakui terdapat kesan positif daripada pendidikan keselamatan jalan raya dalam kalangan para pelajarnya.

"Para pelajar ini sudah kenal papan tanda jalan raya, tahu secara asas aspek keselamatan dan mereka aplikasikan ketika menunggang basikal, turun dari bas dan melintas jalan," katanya aspek keselamatan jalan raya antara perkara yang amat dititikberatkan di sekolah itu kerana kebanyakan pelajar-pelajarnya berjalan kaki dan menggunakan basikal untuk ke sekolah.

Kebanyakan pelajar sekolah terbabit datang daripada keluarga yang berpendapatan sederhana dan rendah serta taraf pendidikan keluarga yang sederhana.

Mereka tinggal di kawasan perumahan flat, pangsapuri, dan kondominium yang memenuhi kawasan di Tasik Permaisuri. Jalan raya di kawasan itu sering berdepan dengan kesesakan lalu lintas, sekali gus meningkatkan risiko terhadap kemalangan.

"Atas faktor-faktor itulah mereka memerlukan lebih pendedahan dan pengetahuan tentang keselamatan jalan raya," katanya.

Aspek keselamatan

Penubuhan Kelab Keselamatan Jalan Raya (Kejara) yang aktif di sekolah itu turut memberi pendedahan dan maklumat keselamatan jalan raya terutama di sepanjang ruang pejalan kaki di sekolah.

Mohd. Faheem Haikal Abdul Rahman, murid tahun empat, yang terlibat dalam Ops Sikap 2 berkata, banyak perkara baharu yang dipelajari dan dipraktikkan tentang aspek keselamatan jalan raya dalam kehidupannya. Sebagai pelajar katanya, penting mempelajari keselamatan di jalan raya dan perlu mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Perlu lihat kiri dan kanan sebelum melintas, pastikan basikal berada dalam keadaan baik, mesti ikut peraturan. Jika tidak, boleh bahayakan diri," ujarnya.

Hanya menerima satu saman atas kesalahan tidak berhenti di simpang jalan, Mohd Faheem berkata, latihan ini memudahkannya untuk memahami apa yang dipelajari selama ini.

Amirul Saifudin Ibrahim, 10, pula menerima lima saman atas pelbagai kesalahan. Antara kesalahan yang dilakukannya ialah melanggar lampu merah, tidak berhenti di persimpangan jalan serta tidak berhenti di petak kuning.

"Saya tidak ingat peraturan, sebab tu saya tak berhenti. Tapi sekarang dah tahu tak boleh berhenti di petak kuning, nak lintas kena tengok kiri kanan dulu," katanya yang seronok mengikuti latihan amali melalui Ops Sikap itu.

Itu merupakan sebahagian daripada realiti yang perlu dipelajari pelajar-pelajar mengenai peraturan di jalan raya. Dijangka pada tahun 2013, setiap pelajar dari tahun satu hingga tingkatan tiga akan mempelajari pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah. - Bernama

Sumber: Kosmo

10 comments:

teha berkata...

bagus jugak ade aktiviti gini kan :)

Si Matatajam berkata...

Teringat zaman sekolah dulu. Tp masa tu pak cik yg jaga jln tu tak pakai uniform pun.

Cikra berkata...

Bagus ada aktviti macam ni. budak-budak diasuh sejak sekolah rendah bila masuk sekolah menengah harap mereka praktikkan jugak la

caliph shuriken berkata...

aktiviti yg menarik.. smoga ia berterusan ^^

Karen Monica berkata...

aktiviti yang memang bagus :)

Tanpa Nama berkata...

hehe dulu masa sis sekolah jadi ahli kelab keselamatan jalan raya jgak :D

nasir hamzah berkata...

fist time dengar ada aktiviti mcm ni, terbaiklah..

Kasih Salina berkata...

salam kenal..ok jugak xtvt camtu..teringat zaman seklolah dulu..anak2 kena bagi pendedahan awal..

ch000tz berkata...

tak merasa semua ni.....sebab pegi balik bhantar. tak sempat lintas jalan ponnn

waddeen berkata...

Info bmanfaat untuk semua, terima kasih...