18 Oktober 2011

Tugas Unik Polis Westports

Adakah anda mengetahui bahawa wujud unit polis bantuan di Pulau Indah, yang digelar sebagai Polis Westports? Unit ini dianggap unik kerana menjalankan fungsi yang pelbagai.



POLIS Westports merupakan satu-satunya pasukan polis pelabuhan yang dilengkapi sistem laporan polis (PRS) secara dalam talian terus ke ibu pejabat PDRM di Bukit Aman.

PENDUDUK Pulau Indah di Klang Utara tahu pihak yang mereka harus hubungi jika berlaku kecemasan. Panggilan kecemasan itu pasti sampai kepada pihak Polis Pelabuhan Westports.

Diwujudkan di bawah Akta Polis 1994, tanggungjawab utama pasukan dengan kekuatan 196 anggota itu adalah untuk menjamin segala aspek keselamatan di premis pelabuhan itu.

Bagaimanapun, sebagai antara unit pasukan polis bantuan terbesar di negara ini, ia turut membantu keperluan kawalan dan keselamatan penduduk pulau sehinggakan ia adakalanya melayan panggilan kecemasan daripada penduduk di luar kawasan tugas.

Tidak seperti unit polis bantuan lain, Polis Westports mengendalikan aliran trafik pada waktu puncak, memadamkan kebakaran, mengendalikan khidmat ambulans, menangani ancaman material berbahaya (hazmat), mengendalikan usaha menyelamat di bawah air dan mengekalkan kedalaman serta keselamatan laluan air di pelabuhan.

Bebanan kerja tambahan itu sedikitpun tidak menjejaskan keberkesanan pasukan itu dalam memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam mencegah jenayah.

“Sejak ditubuhkan pada 1994, unit ini berjaya menyelesaikan antara 20 hingga 25 kes jenayah indeks setiap tahun. Polis Westports mencatatkan kadar penyelesaian jenayah yang mengagumkan iaitu sebanyak 90 peratus pada 2010,” kata Ketua Polis Klang Selatan, ACP Mohamad Mat Yusop.

Jenayah indeks adalah jenayah yang dilaporkan kerap berlaku. Ia digunakan oleh Polis Diraja Malaysia sebagai kayu pengukur dalam menentukan kadar jenayah negara. Jenayah indeks terbahagi kepada dua kategori iaitu jenayah ganas dan jenayah harta.

Prestasi membanggakan ini menyebabkan Polis Westports mengambil alih tugas menjaga segala aspek keselamatan di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) daripada Polis Klang Selatan.

Ketua Polis Selangor pada masa itu ialah Tan Sri Ismail Omar (kini Ketua Polis Negara) juga pernah meminta Ketua Polis, Bomba dan Penyelamat Westports, T. Tamil Selvan, untuk memberi taklimat kepada 22 ketua daerah polis di negeri itu tentang penguatkuasaan undang-undang yang cekap.

Ciri unik

Polis Westports adalah satu pasukan yang unik kerana ia mempunyai kuasa untuk menyiasat, menangkap, menyoal siasat dan mendakwa pesalah bagi kesalahan yang dilakukan di Pulau Indah.

Para pegawai boleh mengumpul bukti dan membuat tangkapan walaupun mereka yang melakukan kesalahan melarikan diri jauh ke tempat lain. Tiada unit polis bantuan yang lain memiliki kuasa seluas itu.


KES yang melibatkan ancaman material berbahaya turut menjadi kendalian polis Westports.

Ia juga adalah satu-satunya pasukan polis pelabuhan yang dilengkapi sistem membuat laporan polis (PRS) secara online iaitu menghubungkan pusat kawalan pasukan itu terus ke ibu pejabat PDRM di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Unit itu turut mengadakan taklimat dan seminar secara berjadual mengenai prosedur keselamatan pelabuhan, mengadakan latihan dalam mengumpul bukti, menyiasat, prosedur menangkap dan mendakwa dan juga menjalankan sesi perbicaraan olok-olok di pusat latihannya di Pulau Indah.

Sesi-sesi pendedahan seperti itu turut disertai anggota polis pelabuhan lain dan agensi lain pelabuhan.

Anggota terlatih

Banyak kali anggota polis bantuan Westports membuktikan kelebihan dan dedikasi dalam menyediakan standard perkhidmatan yang terbaik.

Lebih mengejutkan, menurut Ketua khidmat Korporat Westports, Mejar (B) V. Manisegaran, kira-kira 90 peratus kakitangan Westports tidak pernah menjejakkan kaki di pelabuhan itu sebelumnya. Mereka mula mendalami kerja mereka di Westports.

“Kakitangan baharu disediakan dengan latihan menyeluruh yang sesuai dengan tugas mereka sebelum dibenarkan untuk melaporkan diri di tempat kerja masing-masing,” katanya.

Berbekalkan pengalaman kerja lebih 25 tahun dengan PDRM, Ketua Unit, Tamil Selvan tidak asing dengan tugas penguatkuasaan undang-undang. Beliau menyelaraskan modul-modul latihan bagi lelaki dan wanita di bawah jagaannya. Buat masa ini, terdapat lapan anggota wanita dalam pasukan itu.

Para pengajar dari PDRM, bomba, dan angkatan tentera dijemput secara berjadual untuk menjalankan sesi latihan. Rekrut-rekrut juga dihantar menjalani latihan bersama PDRM dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, untuk menimba pengalaman bernilai dan meningkatkan keyakinan diri.

Muka-muka baharu menjalani latihan dalaman selama empat setengah bulan di Pusat Latihan Polis Pelabuhan Westports. Mereka kemudian melapor diri di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Kuala Lumpur bagi program latihan intensif selama sembilan minggu diikuti penempatan selama dua minggu di pelbagai jabatan PDRM.

Rekrut-rekrut juga perlu menjalani dril lasak selama satu setengah bulan dalam melawan kebakaran, pengurusan hazmat, rawatan kecemasan dan gerakan menyelamat di bangunan tinggi, ruang terhad, kapal, laut serta di dasar laut. Semua latihan itu dikendalikan oleh anggota bomba, tentera laut dan pasukan SMART.

Selepas menamatkan latihan, setiap anggota pasukan sudah bersiap sedia untuk bertindak semasa kecemasan selain terbabit dalam usaha menyelamat dan mencegah.

Pengiktirafan antarabangsa

Westports turut menjadi anggota Inisiatif Keselamatan Kontainer Amerika Syarikat dan Inisiatif Pematuhan Pelabuhan Mega. Polis pelabuhan turut dilatih dalam teknik antikeganasan dan pengesanan radioaktif.


POLIS Westports berkebolehan bertindak dalam kes kecemasan dan memberi rawatan awal terhadap trauma.

Dalam mengiktiraf kemahiran itu, Perkhidmatan Siasatan Jenayah Tentera Laut Amerika Syarikat (NCIS) telah mengesahkan Westports sebagai sebuah ‘Pelabuhan Selamat’ untuk kapal perang Amerika Syarikat berlabuh.

Selain itu, Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat juga memperakui Westports sebagai mematuhi inisiatif Pakatan Kastam-Perdagangan Menentang Keganasan (C-TPAT) selepas audit bebas dilakukan oleh dua pegawainya.

Ini bermakna langkah-langkah keselamatan di Westports memenuhi keperluan kerajaan Amerika Syarikat. Ia adalah pelabuhan keempat di bawah Hutchinson Port Holdings (HPH) daripada lebih 50 pelabuhan dalam kumpulan itu yang telah diaudit melalui program C-TPAT.

Para pegawai CBP begitu kagum dengan langkah-langkah keselamatan yang telah diambil dan mencatatkan sembilan Amalan Terbaik di Westports dalam laporan mereka.

Melihatkan kepada laporan memberangsangkan itu, kumpulan HPH seterusnya melantik Mej (B) V. Manisegaran sebagai pegawai keselamatan serantau untuk menangani hal-hal berkaitan keselamatan di kesemua pelabuhan Asia kecuali China dan Hong Kong.

Bersama reputasi yang disegani itu, tidaklah mengejutkan bahawa pasukan tersebut menjadi ikon industri yang patut dicontohi pihak pengurusan pelabuhan dan unit polis bantuan lain di negara ini.

Khidmat dihargai

Untuk mencegah jenayah dan mengekang tingkah laku tidak baik, Polis Westports telah menempatkan 22 kamera keselamatan litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik di seluruh pulau. Unit tersebut juga mengendalikan kawalan 24 jam dan tujuh hari seminggu di empat buah kampung yang terletak di pulau itu.

“Kawalan ketat mengekang tingkah laku kurang baik – khasnya dalam kalangan muda-mudi tempatan. Penduduk kampung menghargainya kerana ia membolehkan mereka berasa selamat,” jelas Penghulu Pulau Indah, Mohd. Halil Selamat.

Hairani Salip, yang mengusahakan kedai runcit di pulau itu, turut berterima kasih kepada pasukan polis Westports kerana perkhidmatan yang dihulurkan.

“Tindak balas pantas mereka membantu memadamkan kebakaran di rumah saya suatu masa dahulu juga mengelakkan kemusnahan yang lebih besar,” katanya.

Penyelaras Khidmat Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Mohan Chitran juga memandang tinggi kemampuan polis Westports.

“Kesemua mereka berkebolehan dalam bertindak menghadapi kecemasan dan rawatan awal terhadap trauma. Ini sesuatu yang penting dalam sektor khidmat perubatan kecemasan (EMS) dan perkongsian sinergi adalah aset besar bagi hospital,” kata Mohan.

Penduduk Pulau Indah boleh tidur lena pada malam hari kerana mengetahui polis Westports sentiasa bersiap sedia menghulurkan bantuan.

Boleh saja dirumuskan, Pasukan polis Westports boleh diibaratkan ‘Pembanteras Jenayah dengan Pelbagai Tugas di Pulau Indah’. – Bernama

Sumber: Kosmo

5 comments:

Farhana al Hedrah berkata...

Fuyooo~ baru tau ni :)

Nonie berkata...

bgusnya ade unit keselamatn kt pelabuhan cmni...biasa drg,tp nw baru jelas sket.tq ^_^

Nurul Ashikin berkata...

oooooooo baru tau... lain kejanya

Unknown berkata...

cam best je keje nie....

Ayien Ocaca berkata...

sumpah bru thu....
tenz for the info...
:)