18 Oktober 2011

Biasiswa MyBrainSc Untuk Pelajar Cemerlang Sains Tulen

Diharap berita ini akan menjadi suatu motivasi kepada pelajar-pelajar bidang Sains Matematik .....
Agar menumpukan lebih perhatian kepada pengajian mereka ......
Untuk mendapatkan pencapaian yang cemerlang ....
Semoga Berjaya ....



Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperkenalkan biasiswa baru, MyBrainSc kepada pelajar cemerlang dalam usaha memastikan negara mempunyai bekalan tenaga akademik yang mencukupi dalam bidang sains tulen seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, biasiswa berkenaan yang menggantikan Program Biasiswa Khas Tenaga Akademik (BKTA) ditawarkan kepada pelajar yang layak mulai tahun 2012.

Beliau berkata, RM9.5 juta diperuntukkan bagi program biasiswa itu yang menawarkan 200 permohonan membabitkan 50 kuota luar negara dan 150 kuota dalam negara.

“Biasiswa ini dibuka kepada pelajar cemerlang lepasan Asasi, Matrikulasi, Program Persediaan, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan lepasan diploma.

“ Ia terbuka kepada pelajar ijazah pertama yang cemerlang dalam bidang sains tulen dengan mendapat purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.75 ke atas serta bagi pelajar yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam negara atau universiti terkemuka dunia.

“Kita berhasrat meningkatkan bilangan penyelidik, saintis dan jurutera (RSE) dalam negara kepada nisbah 100 RSE bagi setiap 10,000 tenaga kerja dan melahirkan Nobel Laurette suatu masa nanti,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, biasiswa itu memberi peluang pelajar cemerlang bidang sains tulen menjadi tenaga akademik dan ia tidak sama dengan biasiswa sedia ada seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menumpukan pada bidang seperti perubatan, pergigian dan farmasi.

Beliau berkata, KPT akan mengiklankan biasiswa itu bagi memudahkan pelajar cemerlang memohon untuk menyertai program terbabit.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, PTPTN akan memberi peluang peminjam menukar pinjaman pendidikan masing-masing kepada kaedah pinjaman Islam atau Ujrah mulai 1 Januari 2012.

Beliau berkata, peluang itu wajar dimanfaatkan sepenuhnya peminjam kerana tawaran bertukar kepada sistem Ujrah sepatutnya berakhir 30 September 2011.

“Bagi yang membuat penyelesaian penuh sebelum 31 Disember ini, akaun mereka akan dilaraskan secara tunggakan mulai 1 Jun 2008 dan PTPTN akan mengembalikan lebihan kepada peminjam.

“Sehingga bulan lalu, 1,518 peminjam sudah melunaskan bayaran penyelesaian penuh dan layak diberi bayaran balik dengan jumlah keseluruhan RM1.2 juta,” katanya.

Sumber: BHarian

0 comments: