Terkini 19/11/2011: Pemansuhan Projek Rintis Pengajaran 9 jam Sehari.
(Skroll ke bawah untuk maklumat lanjut)
Dulu orang kata kerja cikgu seronok, waktu bekerja tidak panjang. Masuk kerja waktu pagi, tengah hari sudah boleh balik, tidak sampai pun 8 jam sehari.
Bagaimana komen cikgu agaknya dengan projek rintis ini, di mana cikgu bekerja 9 jam sehari ....
Kira-kira 5,000 guru dari hampir 104 buah sekolah di seluruh negara akan menjadi perintis kepada sistem waktu bekerja sembilan jam mulai Januari tahun 2012 depan, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
Presidennya, Hashim Adnan berkata, pihaknya difahamkan sistem waktu bekerja baharu itu akan dilaksanakan di empat buah negeri iaitu Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak dengan tempoh percubaan selama enam bulan sebelum diperhalusi oleh Kementerian Pelajaran.
Katanya, pihak NUTP bagaimanapun berpendapat waktu bekerja tersebut tidak sesuai diamalkan di sekolah.
Jelas beliau, pihaknya menerima maklum balas daripada guru terlibat yang bimbang dan tertekan ekoran perubahan waktu kerja baharu itu.
"NUTP berpendapat sistem bekerja sembilan jam seperti penjawat awam lain di pejabat tidak boleh diguna pakai dalam pendidikan sekolah.
"Selain bertugas sebagai pendidik, guru juga dibebani dengan tugas perkeranian termasuk mengisi data dan sebagainya. Malah, ada masanya guru terpaksa bertugas Sabtu dan Ahad untuk aktiviti badan beruniform, sukan dan kelas tambahan," katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, kata Hashim, tempoh percubaan waktu berkerja sembilan jam sehari di sekolah terpilih itu akan dilaksanakan dua sesi iaitu 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan 1.30 petang hingga 6.30 petang selama enam bulan.
"Kesatuan dimaklumkan bahawa para guru di sekolah terlibat sudah diberikan taklimat berhubung perkara ini.
"Walaupun ia tempoh percubaan sebelum diperhalusi pelaksanaannya oleh Kementerian Pelajaran, ramai guru sudah merasa tertekan dan kita bimbang perkara ini akan menganggu tugas mereka di sekolah," katanya.
Sehubungan itu, kata Hashim, NUTP menggesa kerajaan supaya mengkaji semula perkara tersebut.
Sumber: Utusan
Guru-guru jangan panik
Projek perintis yang mewajibkan guru bekerja sembilan jam sehari masih di peringkat kajian dan belum ada sebarang keputusan untuk memperluaskannya ke seluruh negara tahun depan 2012.
Justeru itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, para guru diminta tidak panik dengan percubaan projek itu di empat negeri kerana kementerian juga menyedari terdapat beberapa kekangan untuk ia dilaksanakan di semua negeri.
"Sebagai contoh, masih terdapat sekolah yang guru-gurunya berkongsi meja di bilik guru iaitu apabila guru sesi pagi balik, maka guru sesi petang pula akan gunakan meja berkenaan.
"Jadi, kalau guru sesi pagi balik lewat bagaimana pula guru sesi petang hendak menggunakan meja bilik guru," katanya.
Menurut Ka Siong, kementerian sentiasa sedar bahawa tugas guru melebihi masa bekerja di sekolah bahkan terpaksa menghadiri majlis dan program pada musim cuti sekolah selain menjadi rujukan para pelajar tanpa mengira waktu.
Sumber: Utusan.
Terkini 19/11/2011: Pemansuhan Projek Rintis Pengajaran 9 jam Sehari.
Projek perintis guru-guru bertugas selama sembilan jam sehari yang dicadangkan untuk dilaksanakan di Melaka, Sarawak, Pahang dan Johor tidak akan diteruskan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu diambil bagi memberi ruang kepada kerajaan menilai dan meneliti terlebih dahulu hasil laporan kajian daripada projek yang dimulakan di Melaka. Timbalan Perdana Menteri berkata, ketetapan itu dibuat bagi mengelak kekeliruan di kalangan guru, selain tidak mahu menambah beban sedia ada.(Bernama).
0 comments:
Catat Ulasan