16 November 2011
Istana Negara Di Jalan Istana Tinggal Kenangan
Istana Negara lama di Jalan Istana yang telah menjangkau usia 83 tahun akan ditutup secara rasmi setelah selesai Istiadat Menurunkan Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di istana itu pada 15 November 2011.
Istana Negara baharu bernilai RM800 juta yang terletak di Jalan Duta pula akan menjadi kediaman rasmi baharu bagi Yang di-Pertuan Agong yang seterusnya setelah tamat tempoh jawatan yang kini dipegang oleh Tuanku Mizan Zainal Abidin.
SEJARAH negara dan Bangunan kemegahan negara.
Tersergam indah di tepi Bukit Petaling, pelbagai peristiwa telah berlaku di istana lama itu yang pada asalnya sebuah banglo yang dibina pada 1928 oleh pemilik asalnya iaitu seorang jutawan dari China, Chan Wing.
Bagaimanapun, sejak tercetusnya Perang Dunia Kedua yang menyaksikan negara ini ditawan Jepun, banglo yang telah ditinggalkan jutawan berkenaan digunakan sebagai mes Pegawai Tentera Jepun selama empat tahun bermula 1942 sehinggalah 1945.
Sejurus tamatnya perang itu, banglo tersebut telah bertukar tangan kepada British Military Administration (Malaya) yang menjadikannya sebagai mes pegawai kanan British pada 1946.
Kemudian ia bertukar milik kepada Kerajaan Negeri Selangor apabila dibeli dan diubahsuai sebagai sebuah istana untuk Sultan Selangor ketika itu, Sultan Hisamuddin Alam Shah.
Istana itu kemudian bertukar milik sekali lagi apabila kerajaan Persekutuan membelinya pada harga RM1.4 juta pada tahun 1957 untuk dijadikan tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad beberapa minggu sebelum pengisytiharan kemerdekaan.
Oleh LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR
Sumber: Kosmo
PASUKAN pancaragam RAMD berarak keluar selepas istiadat menurunkan bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Jalan Istana sebagai simbolik berpindah ke Istana Negara baru di Jalan Duta.
Istana Negara Di Jalan Istana, Kini Tinggal Kenangan
Selepas mencatat 83 tahun sejarah yang indah berwarna-warni dan menyaksikan pertabalan tujuh daripada 13 Yang di-Pertuan Agong, kini sampailah sudah masanya untuk melabuhkan tirai penutupan Istana Negara pada Selasa 15 November 2011.
Bangunan berwarna putih, yang ditandai dengan dua kubah emas tersergam indah dan tidak asing kepada setiap pengguna jalan raya yang melepasi Jalan Syed Putra, akan secara rasmi menyaksikan satu Istiadat Menurunkan Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 15 Nov.
TENGKU FAROK HUSIN ABDUL JALIL (dua dari kiri) menerima Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong pada Istiadat Penurunan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Jalan Istana.
Pada masa yang sama, Istana Negara yang baru di Jalan Duta akan secara rasmi menjadi istana bagi Yang di-Pertuan Agong yang seterusnya.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin, yang akan tamat tempoh jawatannya, mencatat sejarah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang terakhir mendiami istana di Jalan Syed Putra.
Di sinilah berlangsungnya pelbagai istiadat merangkumi upacara mengangkat sumpah jawatan dan taat setia oleh Perdana Menteri, para menteri dan ketua hakim.
Istana ini juga menyaksikan beratus-ratus diplomat Malaysia menerima suratcara perlantikan untuk berkhidmat di luar negara dan menerima mengadap Perdana Menteri negara serta Pesuruhjaya Tinggi dan duta dari negara asing yang ditauliahkan ke Malaysia.
Manakala beribu-ribu rakyat Malaysia berkongsi kenangan hidup apabila menghadiri upacara pengurniaan bintang dan darjah kebesaran di Istana Negara.
ISTANA LAMA
Berdiri teguh di kawasan seluas 11.34 hektar di tepi Bukit Petaling mengadap Jalan Syed Putra, yang sebelum ini dikenali sebagai Lornie Drive, bangunan di tengah ibu kota yang menggamit perhatian sesiapa sahaja ini bukanlah bangunan biasa.
Sesungguhnya, ia adalah satu bangunan yang menjadi lambang keagungan rakyat negara ini kerana ia tempat bersemayam Ketua Negara Malaysia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
Itulah, Istana Negara, yang menjadi bangunan kebanggaan rakyat dan lambang kedaulatan negara.
Sebagai sebuah Istana Negara yang pertama sebelum wujudnya pembinaan istana baru di Jalan Duta, mungkin masih ramai yang belum mengetahui akan cerita di sebalik bangunan itu.
Istana Negara di Jalan Duta Kuala Lumpur
DARI SEBUAH BANGLO MENJADI ISTANA
Sebuah banglo (pada asalnya) yang dibina pada tahun 1928 dengan harga RM150,000 di kawasan seluas 11.34 hektar, ia menjadi rumah kediaman seorang jutawan dari China, iaitu Chan Wing.
Mendapat cetusan daripada kepakaran firma senibina terkenal, Swan & McLaren untuk mereka banglo berkenaan, ia diduduki oleh jutawan itu bersama keluarganya sehinggalah tercetus Perang Dunia Kedua, menurut majalah Tell.
Banglo yang kosong sebaik sahaja keluarga jutawan itu melarikan diri, telah digunakan sebagai mes Pegawai Tentera Jepun selama empat tahun pemerintahan mereka di Tanah Melayu bermula sejak tahun 1942 sehinggalah 1945.
Namun begitu, pemerintahan Jepun tidak bertahan lama. Sebaik sahaja Jepun tidak lagi berkuasa di Tanah Melayu, keluarga Chan Wing telah kembali pada tahun 1946.
Bagaimanapun, mereka tidak menduduki banglo itu sebaliknya ia menjadi milik kepada British Malayan Administration (BMA) untuk digunakan sebagai mes pegawai kanan.
Kemudian, banglo itu bertukar milik apabila Kerajaan Negeri Selangor membelinya dan selepas diubahsuai ia dijadikan tempat bersemayam Sultan Selangor, Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah.
Bangunan yang dijadikan sebagai istana kepada Sultan Selangor itu kemudian bertukar milik sekali lagi apabila Kerajaan Persekutuan membelinya dengan harga RM1.4 juta pada tahun 1957 untuk dijadikan tempat bersemayam Yang Di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad, beberapa minggu sebelum pengisytiharan kemerdekaan.
Bagi mengangkat martabat bangunan itu sebagai sebuah kediaman rasmi pemerintah tertinggi negara, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan RM328,000 untuk menjadikannya istana yang sesuai sebagai tempat bersemayam raja bagi sebuah negara merdeka yang baru.
Dengan menggunakan kepakaran arkitek Jabatan Kerja Raya, E.K. Dinsdale dari sudut rekaan, sementara pengubahsuaian pula dilakukan oleh kontraktor tempatan, proses kerja-kerja menaiktaraf itu tidak mempengaruhi struktur utama bangunan itu.
Pengubahsuaian yang hanya mengambil masa selama empat bulan sahaja menyaksikan jumlah penambahan bilik yang sebelum ini 13 kepada 20 bilik, dengan dapur bagi 100 orang, balai mengadap, empat bilik tetamu, dua balai kemasukan dan satu dewan santapan.
Sebaik menjelang tahun 1980-an, Istana Negara telah mengalami pengubahsuaian besar-besaran dengan penambahan Balairong Seri Utama yang menempatkan singgahsana. Ini adalah kali pertama singgahsana diletakkan di Istana Negara di mana sebelum ini pertabalan Yang di-Pertuan Agong diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman terletak di Jalan Ampang.
Proses penambahan singgahsana baru ini yang bertujuan mengangkat martabat Istana Negara telah dibina di bawah pengelolaan arkitek Jabatan Kerja Raya, Kapt David Wee dengan berasaskan kepada alat kebesaran diraja.
Dibina tujuh tingkat dan bertiang tujuh, ia melambangkan alam semesta yang mempunyai tujuh lapisan langit dan tujuh lapisan bumi dan diperbuat daripada kayu cengal yang diukir indah dan halus.
Sebaik sahaja Balairong Seri Utama ini siap, pertabalan Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Sultan Abu Bakar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-tujuh telah diadakan di sini pada 1980.
Istana Negara baharu di Jalan Duta, Kuala Lumpur dirakamkan dari Menara Kuala Lumpur.
BILIK-BILIK PENTING ISTANA NEGARA
Istana Negara, bukanlah sekadar tempat bersemayam pemerintah tertinggi negara. Malah, ia juga memainan peranan penting sebagai sebuah bangunan yang melambangkan kedaulatan negara.
Untuk tujuan itu, Istana Negara diperuntukkan beberapa bilik penting khusus bagi upacara tertentu merangkumi bilik Singgahsana Kecil, Dewan Mengadap, Bilik Duta, Bilik Permaisuri dan Balairong Seri.
Bagi bilik Singgahsana Kecil, ia digunakan apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menghadiri Istiadat Pengurniaan Suratcara Perlantikan sebagai TYT Yang di-Pertua Negeri, Istiadat Mengadap dan Menerima Watikah Perlantikan TYT Duta Besar atau Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Luar Negara.
Selain itu, ia digunakan semasa Istiadat Menerima Suratcara Perlantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia oleh Ketua Hakim Negara serta Istiadat Pengurniaan Suratcara Perlantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Menyimpan Rahsia oleh menteri dan timbalan menteri.
TUANKU MIZAN ZAINAL ABIDIN (kanan) berkenan menerima menghadap penerima-penerima anugerah selepas majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Persekutuan di Istana Negara lama pada Oktober 2011.
Untuk bilik yang telah dikhususkan sebagai 'Dewan Mengadap', ia merupakan tempat bagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menerima mengadap tetamu kehormat seperti ketua-ketua negara dan lain-lain tetamu kenamaan.
Merupakan dewan yang kedua di tingkat bawah, Dewan Mengadap juga digunakan sebagai ruang rehat oleh Sultan-sultan, Raja-raja dan Tuan-tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-yang di-Pertua Negeri semasa persidangan Majlis Raja-raja diadakan di Istana Negara.
Istana Negara juga turut mempunyai Bilik Duta di mana ia merupakan tempat bagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menerima mengadap Perdana Menteri negara serta Pesuruhjaya Tinggi dan duta dari negara asing yang ditauliahkan ke Malaysia.
Sementara itu, Bilik Permaisuri merupakan tempat di mana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menerima mengadap tetamu-tetamu kehormat.
Bagi bilik yang menempatkan Balairong Seri pula, ia digunakan bagi menjalankan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran Bintang-bintang dan Pingat-pingat Persekutuan, Hari Keputeraan dan acara berkaitan dengannya.
Selain itu, ia juga digunakan sebagai Dewan Santapan semasa Majlis Santapan Negara meraikan Ketua Asing yang membuat lawatan negara, Majlis Santapan Memuliakan Mesyuarat Raja-Raja dan sebagainya.
BENDERA Peribadi Yang di-Pertuan Agong dinaikkan di pekarangan Istana Negara di Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 15 Nov. 2011
ISTANA NEGARA DALAM KENANGAN
Istana Negara yang baru di Jalan Duta akan menyaksikan pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 - Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dari Kedah - pada Disember ini.
Istana baru bernilai RM800 juta ini mempunyai keluasan yang lebih besar, jelas bakal menjadi mercu dan simbol kebanggaan sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan negara ini.
Biarpun sudah ada Istana Negara yang baru, namun bangunan di Jalan Istana ini akan terus diingati sebagai sebuah tempat yang menyaksikan kelahiran tradisi diraja dan peranan pentingnya dalam sejarah negara ini.
Oleh Sakini Mohd Said
Sumber: BERNAMA dan Kosmo
Istana Negara Baru Di Jalan Duta
PELANCONG tidak melepaskan peluang mengambil gambar di pintu hadapan Istana Negara baru di Jalan Duta.
Istana Negara telah berpindah dan mula beroperasi di kompleks baharu di Jalan Duta secara berperingkat mulai 19 Oktober lepas manakala penugasan kepada anggota pengawal daripada ATM bermula 15 Nov. 2011.
Istana Negara baru yang dibina dengan ciri-ciri binaan Islam dan tradisional Melayu terletak di kawasan seluas 96.52 hektar dan akan menjadi lokasi pertabalan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 Disember 2011 ini.
Meskipun Istana Negara sudah memiliki bangunan baharu, nilai sentimental dan nostalgianya tidak akan pudar. Adalah sesuatu yang wajar sekiranya istana yang terletak di Jalan Istana ini diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan. (Utusan).
Istana Negara lama dijadikan Muzium Diraja
Buat pertama kalinya, rakyat dibolehkan melawat bilik-bilik di Istana Negara lama yang pernah menjadi penginapan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berikutan bangunan lama itu dijadikan Muzium Diraja dan dibuka kepada umum mulai 1 Februari 2013. Pembukaan muzium itu akan dirasmikan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Ibrahim Ismail berkata, sebelum ini Balairong Seri di istana itu telah dibuka kepada umum sebagai medan Pameran Raja Kita mulai April 2012.
"Kita menerima respons daripada orang ramai yang mahu melawat ke dalam Istana Negara, akhirnya kerajaan memutuskan untuk membuka istana itu sebagai sebuah muzium,” katanya.
Pada 22 januari 2013, kira-kira 40 anggota media dan wakil agensi pelancongan dibawa melawat selama dua jam dan buat pertama kalinya memasuki Istana Negara setinggi dua tingkat dengan 22 bilik termasuk bilik beradu, pejabat, dewan, ruang makan dan istirehat.
"Kita akan buka setiap hari mulai jam 9 pagi hingga 5 petang, pada peringkat awal, orang ramai akan diiringi oleh pegawai kita yang akan memberikan taklimat mengenai setiap bilik dan ruang yang pernah digunakan.
"Pada masa akan datang, kita akan gunakan kemudahan multimedia," katanya.
Sejarah Istana Negara bermula sebagai rumah agam yang dibina pada 1928 dan penggunaannya berakhir pada November 2011 apabila Istana Negara baharu didirikan di Kompleks Istana Negara di Jalan Duta.
Sumber: Bernama, Kosmo [22/01/2013]
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan