17 Disember 2011
Kumpulan Oren Ke Puncak Kinabalu
GUNUNG Kinabalu sememangnya sinonim dengan negeri Sabah. Dengan ketinggian 4,095 meter, ia diiktiraf gunung kelima tertinggi di Asia Tenggara selepas Hkakabo Razi di Myanmar (5,881 meter), Puncak Jaya (4,884 meter), Puncak Trikora (4,730 meter) dan Puncak Mandala (4,700 meter) di Indonesia.
Digelar Aki Nabalu dalam bahasa Kadazandusun yang bermaksud Gunung Nenek Moyang, ia menyimpan pelbagai kisah mistik dan legenda tempatan yang terus menjadi bualan sehingga kini.
Popularitinya menyebabkan saban tahun ia sentiasa menjadi tumpuan pengunjung dan pendaki dari dalam dan luar negara.
Tarikan gunung itu bukan sahaja terletak kepada keindahan flora dan faunanya yang masih kekal terpelihara, malah sajian panorama yang ditawarkan dari puncaknya.
Aku telah Berjaya mendaki ke hingga ke puncak Gunung Kinabalu pada pertengahan tahun 2007 yang tarikhnya aku sudah tak berapa ingat lagi. Ketika itu aku penyertai peserta-peserta pendaki dari Temerloh yang berjumlah 30 orang kesemuanya.
Sebelum memulakan pendakian, semula ahli kumpulan kelihatan bersemangat.
Pendakian bermula pada pukul lapan pagi selepas semua peserta berkumpul di Timpohon Gate, laluan utama pendaki ke Gunung Kinabalu.
Kami dimaklumkan oleh penunjuk arah bahawa pendakian terdiri daripada dua peringkat. Peringkat pertama melibatkan perjalanan sejauh enam kilometer sehingga ke Laban Rata. Manakala peringkat kedua melibatkan pendakian sejauh 2.7 kilometer menuju ke puncak Kinabalu.
Selepas membaca doa, kesemua peserta ekspedisi memulakan pendakian dengan semangat yang membara.
Penat. Itu sudah pasti, apatah lagi apabila melalui laluan curam yang berliku-liku di depan mata.
Sepanjang pendakian, terdapat beberapa pondok rehat yang tersedia. Antaranya ialah Pondok Kandis, Pondok Ubah, Pondok Lowii, Pondok Villosa dan Pondok Paka.
Pendaki bukan sekadar boleh berehat malah boleh melepaskan ‘hajat’ masing-masing kerana ia lengkap dengan kemudahan tandas awam. Paip air juga tersedia untuk menghilangkan dahaga.
Semakin tinggi pendakian, hutan tebal yang pada mulanya menghiasi kiri dan kanan trek semakin berkurangan. Pemandangan itu digantikan dengan pokok-pokok renek dan bonzai.
Aku sampai ke Laban Rata lebih kurang jam 2 petang. Dua orang peserta lelaki termuda di kalangan kami telah sampai ke sini seawal jam 12.00 tengah hari. Peserta terakhir daripada kumpulan kami sampai dalam kumpulan kecil pada jam 6.00 petang.
Bergambar ketika turun dengan latar belakang puncak yang ada dalam duit Seringgit.
Pendakian seterusnya bermula pada tengah malam. Sementara menantikan tempoh tersebut kami semua berehat, makan malam dan tidur. Pada sekitar pukul 1 pagi kami semua dikejutkan untuk bersiap sedia bagi memulakan perjalanan ke Low’s Peak (puncak tertinggi di Gunung Kinabalu.
Kami berkumpul sekali lagi sebelum meneruskan pendakian pada pukul 2.30 pagi.
Keadaan gelap gelita yang hanya disinari cahaya lampu suluh di kepala setiap peserta. Kami terpaksa merempuh ratusan anak tangga yang begitu meletihkan.
Suasana dingin dan laluan berbatu yang basah dan licin juga menyebabkan kesemua peserta lebih berhati-hati. Mujur disediakan tali keselamatan untuk berpaut yang memudahkan sedikit pendakian.
Kami akhirnya tiba di Sayat-Sayat, iaitu pusat pemeriksaan terakhir. Di situ, butiran setiap peserta dicatatkan melalui tanda nama yang dipakai.
Di paras itu, adalah sukar untuk berjalan pantas dengan selesa kerana ketepuan oksigen atmosfera hanya 70 peratus. Tidak hairanlah pendakian terakhir sejauh 1.6 kilometer itu dirasakan begitu mencabar.
Suhu persekitaran sepanjang menuju ke puncak ketika itu sangat sejuk. Sehinggakan air pili yang aku gunakan ketika melepaskan hajat di Sayat-Sayat aku rasakan sesejuk air batu.
Sepanjang pendakian ke puncak, para peserta berpeluang melihat puncak-puncak lain sekitarnya seperti South Peak, St. John Peak, Ugly Sister Peak dan Oyayu Peak.
Peserta terawal di kalangan kumpulan kami sampai ke puncak jam 5.30 pagi. Aku pula merupakan peserta terakhir dalam kumpulan tersebut yang berjaya sampai ke puncak. Aku lihat jam tangan ku pada waktu itu menunjukkan jam 7.00 pagi. Tidak sampai sepuluh orang daripada keseluruhan peserta dalam kumpulan kami yang berjaya sampai ke puncak.
Aku bersyukur kerana hasrat ku untuk menakluk puncak tertinggi di Malaysia dapat kucapai walau pun dengan susah-payah. Aku akui antara punca susah payah tersebut adalah kerana kurangnya persediaan dan latihan kecergasan fizikal yang aku lakukan sebagai persediaan sebelum melalui ekspedisi ini.
Ketika aku sampai ke puncak peserta-peserta lain dalam kumpulan aku telah pun turun daripada puncak yang sempit itu. Oleh kerana itu aku tidak dapat merakamkan gambar aku ketika berada di puncak tersebut kerna selain ruang yang terhad, rakan-rakan yang membawa kamera telah pun menuruni puncak tersebut.
Perjalanan turun dari puncak lebih mudah berbanding pendakian. Aku selamat sampai di Laban Rata pada pukul 12.00 tengah hari dan sampai ke Timpohon Gate bersama beberapa orang ahli kumpulan pada jam 5.30 petang.
Peserta-peserta yang memutuskan untuk tidak meneruskan pendakian ke peringkat kedua kerana mengalami sakit-sakit sendi lutut dan kaki telah sampai ke Timpohan Gate lebih awal.
Ubahsuai Artikel Asal: Kosmo
Kredit Penulis Asal: AMMAR JAZLAN MAD LELA
Labels:
Maklumat Umum,
Masam Manis Payau
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 comments:
fulamak sempoi la
dah gi KK tapi tak berkesempatan nak naik gunung sebab semua semput hahaha
http://ch000tz.blogspot.com/2011/12/aku-hanya-mahu-kamoooooo.html
Catat Ulasan