26 Februari 2012
Rahsia Peribadi: Pendam atau Dedah
Benarkah wanita paling suka simpan rahsia berbanding lelaki
BERAHSIA demi kepentingan sendiri atau mendiamkan diri untuk menjaga hati pasangan anda? Apa juga alasan, pastinya setiap individu mempunyai sebab tersendiri berbuat begitu.
Biarpun kasih yang sudah lama terjalin atau cinta baru berputik, setiap orang menyimpan kisah tersendiri baik manis atau pahit. Kajian juga menunjukkan manusia tidak meluahkan rahsia hati kerana mereka malu dan bimbang jika luahannya tidak diendahkan.
Sesetengah individu berpendapat menyimpan rahsia adalah tindakan selamat bagi memperbaiki masalah dengan pasangan mereka kerana khuatir ikatan romantis yang terjalin bakal terputus akibat kisah silam selain ada juga yang enggan dilabelkan sebagai penipu.
Tahukah anda sebenarnya rahsia boleh menyebabkan anda rasa cemas, tertekan dan membuatkan anda tidak selesa memandangkan perkara yang disembunyikan asyik timbul di kotak fikiran, lebih-lebih lagi bila menghabiskan masa bersama tersayang.
Sehubungan itu, pakar kekeluargaan yang juga Pensyarah Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal, berkata lebih baik pasangan bersikap jujur dan mengambil pendekatan berbincang sebelum benar-benar ingin menjalinkan hubungan ke peringkat lebih serius.
“Dalam ikatan yang serius, kita seharusnya jujur, yakin dan sentiasa menerima untuk mendapatkan hubungan kukuh. Jika salah seorang menyimpan rahsia atau memendam rasa, ia akan mengundang kekeruhan dalam hubungan mereka.
“Kita harus bersikap lebih terbuka dalam soal penerimaan atau ketika menjalani sesi perbincangan untuk mendapat keputusan lebih mantap. Malangnya, setiap insan berbeza pendapat dan ada juga boleh terima keadaan dengan fikiran rasional,” katanya.
Sikap lebih terbuka membincangkan sejarah diri kepada pasangan baru dikenali juga cara terbaik agar tiada kekesalan atau perbuatan mengungkit pada masa masa depan. Namun, tegasnya, kejujuran meluahkan rahsia diri bergantung kepada keadaan dan seberat mana rahsia dan keupayaan pasangan untuk menerima kenyataan bakal diceritakan.
Bagi pasangan yang sudah berkahwin, mereka perlu sentiasa meyakini dan belajar menjalankan tanggungjawab masing-masing dan bijak mengatasi pelbagai cabaran dalam rumah tangga.
“Jika pasangan ikhlas berkongsi hidup, seharusnya lebih bersikap terbuka dan sudi melupakan perkara lampau dan belajar menerima seadanya pasangan masing-masing,” katanya.
Prof Noor Aziah turut menyifatkan, berbanding wanita, lelaki sebaliknya lebih bersikap terbuka kerana ia adalah fitrah dan sikap semula jadi mereka untuk melupakannya berbanding wanita lebih banyak mengenangkan cerita silam untuk dijadikan senjata merintih.
“Wanita, berjiwa halus mudah tercalar dan mereka lebih suka memendam rasa. Oleh itu, kita harus buang sikap suka mengungkit supaya ikatan perhubungan dapat diteruskan dengan lebih harmoni,” katanya.
Mengulas tindakan ramai remaja suka mendedahkan hubungan cinta mereka bersama pasangan di laman web sosial dan mereka tidak menjaga batasan terlarang yang akhirnya menghantui diri sendiri selepas hubungan itu tamat.
“Ramai remaja sedang ‘mabuk bercinta’ suka menghebahkan hubungan mereka pada rakan menerusi laman sosial dan merakam gambar keintiman mereka dan merekod perilaku yang tidak sepatutnya dibuat sedang hubungan belum tentu hujung pangkalnya.
“Mereka tidak sedar hubungan sosial itu semua sebenarnya menjadi alat mengaib dan memudaratkan jika hubungan terputus di tengah jalan. Jadi, adalah eloknya jika mereka menghindari perkara yang tidak elok sebelum berkahwin jika tidak mahu dihantui pengalaman yang lampau,” katanya.
Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar
Sumber: BHarian ( 2012/02/25 )
Koding Berkata:
Untuk mengurangkan beban perasaan yang ditanggungnya, kita biasa mendengar seseorang akan menceritakan hal rahsia peribadinya kepada seseorang yang dipercayainya...
"Syyyyhhhh… Rahsia ni tau… Jangan Cakap Kat Orang Lain... Malu Aku nanti…" kata Si A kepada rakannya Si B.
Bagaimanapun kemudiannya Si B tercerita kisah Si A kepada rakannya Si C.
"Syyyyhhhh… Rahsia ni tau… Jangan Cakap Kat Orang Lain... Malu Si A nanti…" kata Si B kepada rakannya Si C.
Begitulah seterusnya perkara yang serupa berulang apabila Si B dan Si C berjumpa dengan rakannya yang lain.
"Syyyyhhhh… Rahsia ni tau… Jangan Cakap Kat Orang Lain... Malu Si A nanti…" kata Si C kepada rakannya Si D.
Maka dengan itu fikirkanlah, adakah perlu anda mendedahkan rahsia peribadi anda. Apabila anda sendiri tidak mampu menyimpan rahsia peribadi anda sendiri apalagi orang lain yang mendengar rahsia peribadi anda.
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
5 comments:
ermmmm....kene jujur la nmpknya kalo ade rhsia2 lama kan...huhu
Salam Koding...
Kata pepatah... (pepatah ke?) : Jangan buka aib orang, jangan dedah aib sendiri.
Saya pernah baca, sejarah silam peribadi hendaklah disimpan dengan kemas, tak perlu dikongsi dengan sesiapapun...
"Jauhilah perkara-perkara keji yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah. Ini kerana jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla." (Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: “Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya.” Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.)
Wallahu'alam.
hurm..mmg ssh nk simpan rahsia..klau boleh elakkn dpd tau rahsia org..so xkn penig kepala nk smpan nnti..hahah
mg tertekan taw..pernah rasa bende2 lah neh..fuhhhhhh serius penat !
Kadang kadang lelaki banyak secret juga.
Catat Ulasan