22 Oktober 2012

Pendidikan Berkualiti Untuk Pelajar OKU


Kanak-Kanak OKU Tidak Terpinggir Daripada Ilmu Pendidikan Berkualiti

Seiring dengan perubahan dan kemajuan yang dikecapi negara, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) terus mendapat perhatian khususnya daripada kerajaan bagi membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih selesa.

Memastikan golongan ini tidak dipinggirkan, Belanjawan 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Sep 2012 lepas membawa sinar baru kepada golongan kanak-kanak OKU bagi mendapat pendidikan sewajarnya tanpa dinafikan hak mereka.

Melalui belanjawan mesra rakyat yang memenuhi kehendak semua golongan, kerajaan antara lain mencadangkan projek perintis untuk melaksanakan Taska OKU bagi membela nasib golongan itu di peringkat lebih awal.


Guru Besar Sekolah Kebangsaan (Felda) Bandar Baru Serting (SKFBBS), Jempol, Mohmad Sabere Zakaria berkata projek Taska OKU bagi enam kategori iaitu sindrom down, autisme, masalah penglihatan, pekak dan bisu, masalah fizikal serta masalah pembelajaran adalah langkah positif kerajaan membantu golongan itu.

Belanjawan yang disifatkannya kasih sayang kerajaan kepada rakyat itu, kata beliau bakal memberi pendedahan pendidikan awal kepada kanak-kanak OKU sekaligus menjadikan mereka lebih bersedia apabila memasuki alam persekolahan.

"Sudah tentu saya melihat ini (projek Taska OKU) sebagai suatu perkara positif dan membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kanak-kanak OKU di negara ini.

"Ini membuktikan kerajaan bertanggungjawab dalam menyediakan pendidikan untuk semua tanpa mengira bangsa, keturunan atau siapa individu itu," katanya.

Beliau berkata penubuhan taska ini dapat mendidik kanak-kanak OKU agar lebih berdikari dan mendedahkan mereka kepada persekitaran yang boleh membantu mereka bergaul dan bersosial apabila memasuki alam persekolahan.

Mohmad Sabere turut memuji usaha kerajaan menyediakan geran pelancaran kepada penyedia Pusat Pendidikan Awal Kanak-Kanak swasta berjumlah RM10,000 selain peruntukan RM1.2 bilion untuk pendidikan prasekolah kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Kementerian Pelajaran dan Permata Negara.

Beliau berkata SKFBBS akan memulakan sesi pendidikan prasekolah kanak-kanak OKU pada awal tahun 2013 depan bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat yang mahukan anak-anak mereka mendapat pendidikan seawal mungkin.

"Sebelum ini orang pandang rendah dengan kebolehan golongan OKU, tapi dengan wujudnya sekolah dan kelas pendidikan khas, masyarakat mula buka mata. Melalui saringan di peringkat awal, kanak-kanak yang berhadapan masalah pembelajaran dapat dikesan dan ditempatkan di kelas pendidikan khas.

"Tujuan kita bukanlah untuk merendah-rendahkan dan menidakkan mereka daripada terus menerima pendidikan cuma kita menempatkan mereka dalam kelompok sesuai dengan tahap pemikiran serta penerimaan mereka terhadap sesuatu pembelajaran seiring dengan kebolehupayaan mereka," katanya.

Mengenai pendidikan khas di sekolah itu, Mohmad Sabere berkata terdapat 60 kanak-kanak OKU terdiri daripada mereka yang menghadapi masalah pembelajaran, autisme, sindrom down, masalah pembelajaran lembap dan hyperaktif mengikutinya.

Terdapat lapan kelas pendidikan khas diwujudkan di sekolah itu, yang masing-masing menempatkan hanya lima atau enam kanak-kanak OKU.

"Mereka ini tidak boleh diletakkan beramai-ramai dalam satu kelas kerana guru perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada setiap orang murid semasa mengajar bagi memastikan mereka memahami apa yang diajarkan," katanya.

Beliau berkata kelas pendidikan khas SKFBBS mempunyai 14 guru berijazah dan terlatih, terdiri daripada guru akademik, guru agama termasuk guru Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (J-QAF).

Melalui pendidikan berkualiti yang diberikan tenaga pengajar pendidikan khas di sekolah itu, kata beliau beberapa kanak-kanak berjaya dipindahkan untuk mengikuti kelas aliran perdana (kelas murid normal).

Katanya pemindahan kelas dibuat apabila guru dapat mengesan kebolehan dan perkembangan positif murid-murid OKU dan ini sekaligus memberi khabar gembira kepada ibu bapa yang teruja dengan kemajuan anak mereka.

Secara peribadi, Mohmad Sabere berpendapat peluang yang diberi kepada murid pendidikan khas adalah lebih banyak berbanding pelajar di aliran perdana kerana banyak program disediakan seperti lawatan sambil belajar ke sesebuah tempat yang turut mendapat peruntukan Kementerian Pelajaran.

Peruntukan yang disediakan kerajaan untuk SKFBBS menjalankan aktiviti dan program tertentu bagi murid-murid OKU turut meliputi pemberian elaun RM150 sebulan bagi setiap murid OKU, banyak membantu.

Mohmad Sabere berkata SKFBBS juga sudah memohon peruntukan untuk membina bangunan baru bagi menjalankan kelas pendidikan khas, sekaligus memberikan keselesaan murid selain menampung jumlah pelajar OKU yang meningkat di sekolah ini.

Seorang guru pendidikan khas di sekolah itu, Faiza Abdu Rahman berkata pendekatan yang digunakan bagi mendidik murid-murid OKU jauh berbeza daripada aktiviti pembelajaran dan pengajaran murid-murid di aliran perdana.

Faiza, yang sudah berkhidmat selama lima tahun sebagai guru pendidikan khas, mengakui bahawa kesabaran dan kecekalan dalam mendidik kanak-kanak istimewa merupakan kunci utama yang perlu ada bagi seorang guru pendidikan khas.

"Dalam mendidik murid-murid pendidikan khas, kita terlebih dahulu perlu menarik minat mereka dan ada masanya kita perlu ikut apa yang mereka buat supaya mereka menganggap kita seperti kawan.

"Apabila sudah sampai satu tahap (secara perlahan dan berperingkat), kita akan cuba mengawal perbuatan mereka dengan mengajar dan memberitahu mereka apa yang boleh dan apa yang tidak boleh mereka buat," katanya.

Merujuk kepada kemudahan yang disediakan untuk murid OKU di SKFBBS, beliau berkata kemudahan yang disediakan mencukupi namun dalam masa sama masih mengalu-alukan lebih banyak alat bantuan mengajar dan terapi bagi merangsang perkembangan minda dan fizikal murid OKU di sekolah itu.

Ibu kepada seorang murid OKU, Normah Osman, 47, berkata anaknya yang mesra disapa Amira menghadapi masalah pembelajaran telah mula menunjukkan perubahan positif sejak dimasukkan ke SKFBBS awal tahun 2012 ini.

"Sejak anak saya bersekolah dia dah berubah... dah pandai bergaul dengan orang, percakapan dia pun kita dah faham dan dah mampu menulis abjad ABC.

"Saya bersyukur dan gembira dengan perubahan yang anak saya tunjukkan dan dalam masa sama berterima kasih pada kerajaan, pihak sekolah dan guru-guru yang banyak membantu memberi peluang kepada kanak-kanak OKU seperti Amira untuk belajar di sekolah," katanya.

Ismail Daud, 46, bapa kepada Aiman Hafiz yang menghidap masalah autisme berkata meskipun jadual hariannya lebih sibuk berbanding menguruskan anak normal yang lain, dia bersyukur dengan segala kemudahan dan bantuan yang disediakan kerajaan bagi menguruskan anaknya.

"Dengan adanya pendidikan khas, guru-guru terlatih sentiasa memberi tumpuan kepada murid-murid dan elaun yang diberikan kerajaan setiap bulan. Saya berterima kasih kerana ia banyak membantu saya menguruskan Aiman," katanya.


JOHAN FESTIVAL NASYID PENDIDIKAN KHAS PERINGKAT KEBANGSAAN 2012

Oleh Erda Khursyiah Basir
Sumber: BERNAMA [17/10/2012]

0 comments: