23 November 2012

Usah Bertangguh Beribadah Ketika Hidup



Rasulullah SAW mengingatkan kita kepentingan menggunakan peluang yang diberikan Allah SWT dalam hidup. Kita diingatkan supaya memanfaatkan waktu sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati.

Ternyata kurniaan hidup adalah peluang paling bernilai bagi hamba Allah di dunia ini. Sesungguhnya kematian adalah penamat segala ruang dan peluang bagi kita membuktikan pengabdian kepada Allah SWT.

Hendaklah diingat peluang hidup di dunia hanya datang sekali saja sama ada kita menikmati hidup ini dengan sempurna atau tidak, jangka hayat kita setakat mana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Apabila sampai waktunya, malaikat maut akan datang menjemput untuk dikembalikan kepada Maha Pencipta. Di sana kita akan ditanya bagaimana kita mengisi peluang yang telah diberikan oleh-Nya.


Manusia dijadikan untuk beribadat kepada-Nya, diberi amanah dan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi. Ibadat dan tanggungjawab ini mesti dilaksanakan berdasarkan syariat dan perintah-Nya.



Seseorang yang melakukan amalan baik kerana mentaati perintah Allah dianggap telah melakukan ibadat kepada Allah SWT. Sifat orang beriman adalah melakukan amalan baik secara berterusan malah ada ke tahap berlumba-lumba melakukan kebaikan selagi nyawa di kandung badan.

Mereka tahu kiamat diri boleh berlaku pada bila-bila masa atau di mana saja. Imam Ghazali berkata, mati itu ada kalanya berlaku serta-merta. Andainya anda tidak mati serta-merta, anda harus ingat bahawa sakit itu selalu datang dengan serta-merta. Apabila anda sakit, nescaya anda tidak akan berdaya lagi untuk mengerjakan amalan soleh, sedangkan amalan soleh itu pula adalah bekalan akhirat.

Usah kita bertangguh untuk melakukan ibadah dengan memberi alasan belum dapat hidayah kerana jika kiamat diri terjadi ketika kita masih sedang menunggu hidayah, bagaimana kita ingin mencium syurga.



Hidayah perlu dicari dan bukan ditunggu. Janganlah menanti masa lapang untuk beribadah kerana hal ini akan memutuskan kita daripada kewajipan menunaikan hak terhadap apa yang telah ditetapkan Allah pada masa lapang itu.

Justeru, umat Islam diingatkan berjaga-jaga serta mempersiapkan diri dengan ibadah supaya beroleh kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Allah SWT telah menurunkan al-Quran dan mengutuskan Rasulullah SAW untuk membimbing manusia berjaya di dunia dan akhirat. Jadikanlah perintah dan pengajaran itu sebagai sandaran dalam kehidupan seharian kita.

Oleh Dr Mohammad Zain
Sumber: BHarian [2012/11/20]

0 comments: