22 November 2012

Pemandu Teksi Singapura Pulangkan Wang RM2.7 Juta

Semua rakyat Malaysia juga sepatutnya mempunyai sikap jujur seperti ini.


WANG kertas berjumlah RM2. 7 juta yang ditemui Ka Tian di dalam teksinya selepas ditinggalkan sepasang pelancong warga Thai.

Seorang pemandu teksi di Singapore dijulang sebagai wira kerana memulangkan wang tunai berjumlah S$1.1 juta atau bersamaan AS$900,000 (RM2.7 juta) milik pasangan pelancong Thailand yang tertinggal di dalam teksinya.

Pemandu berusia 70 tahun itu, Sia Ka Tian berkata, dia terkejut menemui wang tersebut di dalam sebuah beg kertas berwarna hitam di tempat duduk belakang selepas menurunkan mereka di sebuah pusat beli-belah di republik itu.

"Apabila saya melihat wang itu, saya berfikir masalah sudah datang. Saya pasti terdapat sekurang-kurangnya AS$200,000 (RM612,800) di dalam beg itu," katanya yang sudah 31 tahun memandu teksi.


Namun, apabila dia membawa beg kertas itu pulang ke syarikat pengangkutan teksi ComfortDelGro di tempat dia bekerja, rakan-rakannya (di bahagian 'hilang dan jumpa') yang mengira wang itu terkejut kerana beg itu mengandungi wang sebegitu banyak.


Ka Tian di sisi teksinya.

Beg tersebut mengandungi sejumlah wang kertas bernilai seribu dolar Singapura.

"Duit itu tidak penting buat saya. Ia bukan milik saya, jadi bagaimana saya hendak gunakannya?" katanya.

Pasangan warga Thai tersebut melaporkan kehilangan tersebut kepada syarikat ComfortDelGro dan Ka Tian siap sedia menunggu apabila mereka tiba untuk menuntut kembali wang itu.

Bagaimanapun, akhbar berkenaan tidak menyatakan tujuan pasangan itu membawa wang dalam jumlah yang begitu banyak.

Ka Tian pula menerima sejumlah ganjaran daripada pasangan tersebut tetapi jumlahnya tidak didedahkan. Pihak syarikat turut merancang untuk memberikan anugerah kepada Ka Tian kerana sikap jujurnya itu.

"Kami amat berbangga dengannya (Ka Tian) dan lega kerana penumpang tersebut menemui semula wang mereka," tambah jurucakap syarikat penghantar itu, Tammy Tan.

Pada 2009, seorang pemandu teksi lain mengembalikan beberapa jongkong emas seberat lima kilogram bernilai 377,000 dolar Singapura (RM942,807) yang ditemui di dalam teksinya. - AFP

Sumber: Kosmo dan Utusan

1 comments:

EH - Ekslamasi Holistik berkata...

Sikap jujur akan mendapat ganjaran daripada-Nya...