21 Mei 2013

Guna Facebook Kongsi Ilmu



Laman Facebook menjadi aset penting empat penerima Anugerah Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) kerana sering digunakan untuk berbincang secara berkumpulan serta menghantar tugasan kepada pensyarah.

Bagi graduan Diploma Pelancongan, Nurul Syafiqah Tanwir, Nur Liyana Anas, Nabila Adnan dan Zarina Raif, mereka menganggap laman sosial berkenaan satu keperluan kerana menjadikan ia medium pembelajaran dan menghantar tugasan kepada pensyarah, bukannya untuk berbual kosong dan berkenalan.

Mereka yang berusia 22 tahun, mengakui perkongsian idea dan maklumat melalui Facebook adalah lebih pantas dan berkesan, berbanding mengadakan perjumpaan di luar.


Pilihan tepat

Nur Liyana berkata, dengan jadual kuliah yang padat serta aktiviti kokurikulum yang perlu dipenuhi, Facebook adalah pilihan tepat dalam mengatasi masalah kesuntukan masa kerana perbincangan berkumpulan itu boleh diadakan di mana-mana lokasi mengikut keselesaan masing-masing.

"Sewaktu zaman sekolah dulu Facebook kita gunakan untuk berkenalan cari kawan. Tidak pernah terfikir ia akan menjadi medium penting sepanjang pengajian di universiti. Kini Facebook saya gunakan sepenuhnya untuk belajar," kata Nur Liyana.

"Hampir setiap hari saya menghabiskan masa melayari laman sosial ini, tetapi bukan untuk berkenalan, sebaliknya mengadakan kerja berkumpulan," katanya lagi ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Ke-78, UiTM di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) pada 18 Mei, 2013.

Oleh Ahmad Isyafiq Mad Desa
Sumber: BHarian [2013/05/19]

p/s: Semoga apa yang dilakukan oleh graduan dalam laporan berita ini menjadi panduan kepada semua golongan pelajar tanpa mengira mereka yang belajar di bangku sekolah, lebih-lebih lagi mereka yang sedang belajar di menara gading.

Lakukan suatu perubahan ke arah kebaikan dan manfaat kepada diri sendiri. Manfaatkan ICT untuk kebaikan dan kemajuan diri. Kurang-kurangkanlah cakap-cakap kosong di dalam laman sosial termasuk Facebook. 

Anda fikirlah sendiri, adakah ada insan yang akan ambil kisah jika setiap hati anda menyuarakan rasa bosan anda sebagai status Facebook? Sudah tentu tiada bukan? Kecuali insan-insan yang ingin mengambil kesepatan di atas kebosanan anda itu.

Berkongsilah sesuatu yang boleh membuka minda anda dan rakan-rakan. Gunakan facebook untuk memperkembangkan potensi kemampuan akal anda untuk berbincang dan mendalami ilmu.

Kurang-kurangkanlah kegemaran anda yang menggunakan laman sosial untuk menampilkan keanggunan diri dengan bergaya ala artis. Hentikan tabiat suka menghina dan mengeji pihak-pihak tertentu dalam laman sosial.

Semoga anda semua berjaya di dunia dan akhirat. insyaAllah.

2 comments:

Bunda_nora berkata...

assalam,

begitulah yg sepatutnya...teknologi moden ni kalau disalah gunakan salahlah ilmu yg kita dapat...tak boleh nak salahkan teknologi..

MyFreeMinded berkata...

betul pun cam tu... memandangkan anak2 sekolah pun teror guna FB ni, apa kata masa pembelajaran ICt geguru tambah point untuk mengingatkan budak2 sekolah untuk melayarinya bagi berkongsi ilmu, bukan mereport entah apa2... sampai tak leh tido malam pun nak distatuskan..
pening2 tul nak mengikuti perkembangan IT dikalangan anak2 sekolah ni.. advance diaorang ni.. so kita pun kena seiring untuk memantau geraklaku diaorang... :)