19 Mei 2013

Tabiat Makan Yang Baik Bagus Untuk Semua Warga Malaysia

Artikel Ini Disiarkan Sempena Hari Sarapan Malaysia Pada 19 Mei.


Tabiat Makan Yang Baik Bagus Untuk Semua Warga Malaysia ~ Gambar Hiasan

Tabiat mengambil sarapan pada waktu pagi adalah antara amalan pemakanan yang baik dan sepatutnya disemai dalam kalangan generasi muda negara ini.

Bahkan ia perlu dijadikan budaya untuk semua warga Malaysia tidak kira peringkat umur.

Semua anggota masyarakat perlu makan 'secukupnya' setiap hari tanpa mengira dari segi kuantiti, jelas Pengurus Pemasaran Milo, Ng Su Yen.

"Semuanya bermula dengan mengambil sarapan yang baik dan berkhasiat," jelas beliau dan menambah kata, pengambilan sarapan memberi setiap individu tenaga yang amat diperlukan untuk memulakan aktiviti harian.


"Pelajar sekolah rendah yang mengambil bahagian dalam kajian dijalankan oleh Nestle dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) beberapa tahun lepas mengakui mereka akan rasa letih jika tidak mengambil sarapan," kata Ng.

Kajian berkenaan mendapati bahawa 33 peratus daripada pelajar sekolah rendah atau nisbah satu daripada tiga pelajar tidak mengambil sarapan sebelum ke sekolah.

Kajian itu meliputi 10,000 murid di seluruh negara.

HARI SARAPAN KELUARGA

Tahun ini, Milo, satu jenama minuman di bawah Nestle, menganjurkan satu aktiviti khas bagi warga Malaysia terutama mereka yang mempunyai keluarga untuk menjelaskan mengenai usaha gigih syarikat itu dalam menggalakkan rakyat Malaysia mengambil sarapan sebagai makanan 'pertama' mereka sebelum memulakan aktiviti harian.

"Kami sedar akan perlunya mencapai peratusan yang lebih baik bagi kanak-kanak dan orang dewasa dalam pengambilan sarapan pagi. Kami juga menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia bersarapan bersama Milo.

"Terdapat beberapa resipi sarapan pagi untuk dikongsi bersama dalam portal kami," kata Ng.

Pada Hari Sarapan Malaysia, yang dianjurkan Universiti Putra Malaysia (UPM), produk Milo akan diagihkan untuk dinikmati oleh semua peserta.

"Kami berharap mendapat penyertaan 10,000 orang di UPM Ahad ini (19 Mei) dan menyaksikan janji mereka untuk bersarapan dengan baik serta menjalankan satu aktiviti sihat setiap sahari," menurut Ng.

LARIAN

Antara acara yang disediakan ialah 'Larian Sarapan Milo', yang mana 7,000 orang mengesahkan penyertaan sehingga kini.

Kata Ng, 500 orang akan menyertai larian sejauh 3.0 km manakala selebihnya 6,500 orang akan menyertai larian sejauh 7.0 km.

"Kita ada kategori untuk empat orang sekeluarga dan berharap lebih ramai warga Malaysia menyertai larian untuk tujuan kesihatan ini. Sehingga kini, responnya amat menggalakkan," jelas Ng.

Larian keluarga ini akan diadakan setiap tahun selepas pelancarannya Ahad ini dan Milo berharap dapat menganjurkannya serentak di beberapa lokasi pada masa akan datang.

Pemeriksaan kesihatan dan permainan untuk seisi keluarga akan turut diadakan.

Keterangan lanjut boleh layari www.milo.com.my/breakfast.

Oleh Hazlinda Hamzah
Sumber: BERNAMA

1 comments:

Bunda_nora berkata...

assalam,

diri kita adalah apa yang kita makan...