22 Mei 2013

Kaji Semula Tegahan Koperasi Sekolah Jual Makanan



Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) memohon Kementerian Pelajaran mengkaji semula penguatkuasaan larangan menjual makanan dan minuman di 2,216 koperasi sekolah.

Timbalan Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata penguatkuasaan serta merta larangan dikeluarkan kementerian menerusi pekeliling bertarikh 15 April lalu itu didakwa akan menjejaskan pendapatan koperasi terbabit.

Beliau berkata, alasan diberikan bagi melaksanakan peraturan itu yang antaranya membabitkan aduan pendapatan pengusaha kantin yang dikatakan terjejas dan kebimbangan berlakunya keracunan makanan perlu dikaji semula.


Apa yang kita khuatir dua juta ahli koperasi sekolah yang terdiri daripada guru dan pelajar ini akan mengalami kemerosotan keuntungan ketara berikutan produk makanan dan minuman adalah antara yang mendapat permintaan tinggi di koperasi sekolah.

Kementerian perlu menyedari saham koperasi sekolah dimiliki pelajar dan guru dengan setiap keuntungan diagihkan kembali kepada setiap ahlinya sedangkan pengusaha kantin memperoleh faedah untuk diri mereka saja, katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutupan Kursus Induksi Koperasi Anggota Baru ANGKASA (Zon Selatan) di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ANGKASA, Nasir Khan Yahaya.
Abdul Fattah berkata, sehubungan itu pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud berhubung peraturan itu dalam tempoh terdekat bagi mencari jalan penyelesaian.

Elak kerugian

Kita tidak mahu koperasi sekolah kerugian berikutan manfaatnya kepada warga sekolah dan negara begitu besar. Pada 2011 saja, koperasi sekolah mencatatkan perolehan terkumpul RM263.5 juta dengan nilai aset sebanyak RM225 juta bersama keuntungan berjumlah RM34 juta, katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, satu jawatankuasa ditubuhkan baru-baru ini bagi mengkaji undang-undang dan peraturan sedia ada yang tidak mesra koperasi sehingga mengekang usaha menggerak serta mengembangkan perniagaan dalam kalangan ahlinya.

Langkah menggerakkan perniagaan itu penting bagi mencapai sasaran ditetapkan kerajaan supaya sektor koperasi di negara ini mampu menyumbang sekurang-kurangnya lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini dan 10 peratus KDNK pada 2020, katanya.

Oleh Nurhasyima Hasim
Sumber: BHarian [2013/05/20]

p/s: Pelajar tidak akan setiap hari membeli buku dan alat tulis. Tetapi mereka akan sentiasa setiap hari membeli makanan. Orang berbiaga semestinya mahukan untung. Adalah sesuatu yang pelik apabila produk yang memberikan keuntungan dihalang daripada dijual.

Dengan sekatan sedemikian bagaimana pihak sekolah hendak menunjukkan kepada pelajar mereka bahagia perniagaan adalah suatu bidang yang membawa keuntungan. Sedangkan pelajar-pelajar ini, terutamanaya jawatan kuasa koperasi setiap hari melihat koperasi sekolah mereka yang hidup segan mati tak mahu serta dilihat sentiasa sepi dari kunjungan pelanggan.

Dalam perniagaan memang akan wujud persaingan. Tidak timbul isu koperasi untung manakala kantin rugi. Terserah kepada kebijaksanaan pihak-pihak yang berniaga untuk menarik perhatian pelanggan mengunjungi pusat perniagaan mereka.

1 comments:

MyFreeMinded berkata...

Yang pasti kementerian ni buat kajian apa agaknya... dedulu nasi lemak dihalang dijual dikantin sekolah.. ni makanan di kperasi pulak.. diaorang ni buat kajian ikut kepala yang anti koperasi ke apa.. hal2 tu serah ajelah ke kementerian kesihatan yang boleh menentukan jenis makanan2 yang boleh di jual dikantin mahupun dikoperasi.. yang duduk dikementerian pelajaran tu buat lah kajian tentang pelajaran, banyak lagi isu pembelajaran yang kita ni ketinggalan dibandingkan dengan beberapa negara maju tu.. baru betul.. tak paham apa agenda Kementerian Pelajaran Malaysia ni sebenarnya.. banyak isu mengarut dari isu yang boleh menambah naikkan tahap pembelajaran kita..