Mulai tahun 2013 pelantikan guru besar dan pengetua akan melalui proses penapisan teliti, bukan lagi disandang secara automatik seperti sekarang.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu selaras matlamat dan transformasi Sistem Pendidikan Negara untuk memastikan guru besar dan pengetua berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.
“Mereka harus melalui proses penilaian tahap kepemimpinan dan yang berkaitan kemampuan melaksanakan tanggungjawab, kreativiti, inovatif, dan inovasi di samping rekod cemerlang dalam kerjaya guru, selain menjalani latihan dan bimbingan yang komprehensif.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, proses pelantikan itu akan dibuat berdasarkan latihan dan penilaian yang dilaksanakan untuk bakal pengetua dan guru besar melalui Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) yang dijalankan oleh Institut Aminuddin Baki (IAB).
“Syarat utama adalah mengikuti Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL). Seramai 1,000 pendidik akan mengikuti kursus lima bulan di Institut Aminuddin Baki (IAB) tahun depan,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri.
Pengetua, guru besar dimantap
Beliau berkata, selain itu, penilaian akan turut dibuat berdasarkan kemampuan bakal guru besar dan pengetua melaksanakan tanggungjawab mereka, sifat kreativiti dan inovasi mereka di samping mempunyai rekod cemerlang dalam kerjaya mereka sebagai guru.
"Tahun depan, pelantikan guru besar dan pengetua adalah berdasarkan penilaian, bila ada kekosongan, jawatannya akan diisi oleh guru yang terbaik, kita akan ambil kira soal ujian dan pencapaian yang dicapai oleh guru ini berdasarkan kursus yang mereka jalani.
"Tujuan kita supaya kita menempatkan kepimpinan sekolah iaitu pengetua dan guru besar yang terbaik daripada kalangan terbaik, bermakna mereka haruslah melalui proses penilaian dari segi tahap kepimpinan dan perkara lain yang berkaitan dengan kemampuan mereka melaksanakan tanggungjawabnya," katanya.
Muhyiddin berkata ia dapat meningkatkan kualiti pendidikan negara ini selaras dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia di mana antara anjakan paling penting dalam pelan itu ialah keupayaan guru dan kepimpinan di sekolah.
"Kalau sekolah itu berjaya, antara faktor utama ialah daya kepimpinan di sekolah itu, iaitu pengetua dan guru besar, latihan sudah bermula tetapi proses penilaian itu akan dibuat berdasarkan kursus yang telah mereka lalui dan pencapaian yang lain," katanya.
Syarat utama ikuti program NPQEL
Muhyiddin turut melancarkan Repositori IAB di mana semua hasil karya penulisan dan penyelidikan sarjana institut itu dikumpul, disusun, dipelihara dan disebarkan melalui satu pusat menggunakan pendekatan terkini dunia teknologi maklumat.
Ketika ini, pencalonan bagi mengisi jawatan pengetua dan guru besar berdasarkan cadangan Pengarah Bahagian dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan persetujuan Ketua Pengarah Pendidikan.
Calon yang boleh dicadangkan adalah mereka yang diluluskan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP). Guru penolong kanan termasuk dalam senarai yang diluluskan LKPPP, boleh dicalonkan untuk mengisi jawatan pengetua.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, proses pemilihan calon untuk kedua-dua jawatan berkenaan sedang dilaksanakan dan diikuti penilaian tahap kepemimpinan, sebelum pelantikan bermula 2014.
Guru paling cemerlang
“Apabila ada kekosongan ia akan diisi guru terbaik. Walaupun sebelum ini sudah dibuat begitu tetapi kali ini kita ambil kira ujian dan pencapaian guru untuk pastikan hanya yang terbaik dalam kalangan yang terbaik menjawat jawatan guru besar dan Pengetua,” katanya.
''Sudah sampai masanya jawatan pengetua dan guru besar tidak boleh lagi disandang secara automatik tetapi perlu melalui suatu proses penapisan yang teliti dan melalui program latihan serta bimbingan yang komprehensif.
''Ini bermakna mereka (guru) harus melalui proses penilaian dari segi tahap kepemimpinan dan perkara lain berkaitan dengan kemampuan melaksanakan tanggungjawab. Kita nak menekankan soal kepimpinan sekolah untuk bukan hanya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) kementerian tetapi meningkatkan kualiti pendidikan negara,'' katanya.
“Tiada kompromi dalam hal ini kerana sekolah yang berjaya adalah faktor kepemimpinan guru besar dan pengetua,” katanya.
Muhyiddin berkata, pemantapan proses pelantikan pengetua dan guru besar dilakukan berdasarkan rekod beberapa sekolah yang mencapai status cemerlang atas faktor daya kepimpinan sekolah berkenaan.
Sumber: BHarian [2013/07/03] Oleh Norfatimah Ahmad, Utusan [2 Julai 2013], Utusan Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
0 comments:
Catat Ulasan