09 Julai 2013
Tempoh Maksima Pinjaman Peribadi dan Perumahan Dikurangkan
Bank Negara Malaysia (BNM) pada 5 Julai 2013 menetapkan tempoh pinjaman peribadi maksimum dihadkan selama 10 tahun manakala pinjaman pembelian rumah dihadkan selama 35 tahun. Sebelum ini, had tempoh pinjaman peribadi ialah 25 tahun manakala pinjaman pembelian rumah ialah 45 tahun.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, langkah itu bertujuan mengekang hutang isi rumah ketika ini berada pada paras 83 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Katanya, paras tersebut adalah yang tertinggi di Asia daripada kalangan negara-negara ekonomi berkembang pesat. Malah meningkat 12 peratus daripada 70 peratus pada 2009.
Selain memendekkan had tempoh pinjaman peribadi dan pembelian aset, larangan turut dikenakan bagi menawarkan produk pembiayaan peribadi yang diluluskan terlebih dahulu.
"Langkah yang berkuatkuasa serta-merta bagi melengkapkan langkah terdahulu yang dilaksanakan sejak tahun 2010 untuk mengawal perbelanjaan isi rumah. Isi rumah perlu memikirkan kemampuan mereka sebelum berbelanja. Sebagai contoh, jika tidak mampu membeli rumah, mereka boleh menyewa.
"Malah terdapat pinjaman peribadi dilakukan semata-mata bagi menanggung kos perkahwinan yang tinggi," katanya.
Bagaimanapun, had bagi tempoh pembiayaan itu tidak melibatkan permohonan yang dibuat sebelum hari ini.
Langkah ini dilaksanakan menurut seksyen 31(1)(a) Akta Bank Negara Malaysia 2009 dan terpakai pada semua institusi kewangan yang dikawal selia oleh BNM, serta koperasi kredit yang di bawah kawal selia Suruhanjaya Koperasi Malaysia, dan Malaysia Building Society Bhd. dan AEON Credit Service (M) Bhd.
Sehingga Mac 2013, hutang isi rumah Malaysia berjumlah RM784 bilion yang mana 44.6 peratus daripadanya merupakan hutang membeli kediaman. Diikuti hutang membeli kenderaan (17.6 peratus) dan pinjaman peribadi (16.8 peratus).
Tambah Zeti Akhtar, langkah itu tidak dilihat menjejaskan permintaan domestik yang selama ini pendorong utama pertumbuhan ekonomi negara.
"Ekonomi negara sepatutnya disokong oleh peningkatan pendapatan serta kadar pengangguran yang rendah," katanya.
Gabenor itu berkata, perbincangan mengenai had baharu pinjaman tersebut telah dibincangkan dengan perbankan dan pemberi kredit tempatan, dan mereka menyokong langkah berkenaan dalam usaha mengawal hutang isi rumah negara.
Bagi menambah baik pengurusan hutang yang bertanggungjawab oleh isi rumah, BNM akan mempergiat usahanya dalam menyediakan pendidikan kewangan kepada semua segmen masyarakat, termasuk mereka yang masih muda dan peminjam kali pertama daripada institusi kewangan.
Di samping itu, rangka kerja perlindungan pengguna akan terus diperkukuh di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam.
Oleh FADZIL ZAINOL
Sumber: Utusan [5 Julai, 2013]
Tempoh maksimum pinjaman tak jejas ekonomi
Pertumbuhan ekonomi domestik tidak akan terjejas walau pun Bank Negara Malaysia (BNM) mengehadkan tempoh maksimum pinjaman peribadi dan pembiayaan pembelian hartanah kediaman kerana pertumbuhan dalam negara mempunyai asas utama yang disokong oleh pelbagai sektor.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pertumbuhan ekonomi negara turut bergantung kepada perbelanjaan dan pelaburan swasta di samping perbelanjaan kerajaan.
"Asas utama pertumbuhan dalam negara sudah ada. Kita mahu sektor perbankan yang berkualiti tinggi, yang bermakna kecairan sektor perbankan tidak akan terjejas."
"Pelabur, sektor korporat dan usahawan akan lebih mudah mendapat pinjaman. Apabila kita tingkatkan kualiti perbelanjaan rakyat dan sektor perbankan, ia juga menyumbang kepada pembangunan negara," katanya.
Katanya, dengan langkah baharu BNM itu, pengeluaran pinjaman dijangka berkurangan, namun ia tidak akan menjejaskan keseluruhan perbelanjaan dan pelaburan swasta serta belanjawan kerajaan yang mempunyai asas kepada keseluruhannya.
"Dalam sektor perbankan, dasar pinjaman pada masa sekarang tinggi. Kita lihat dalam konteks pembayaran, Sistem Bayaran Minimum (MPS) begitu rendah serta mahu menuju ke arah penggunaan isu rumah yang mesti ada daya mampu yang tinggi," katanya.
Jika mempunyai daya mampu yang rendah, Ahmad Husni berkata, ada yang akan meminjam dari institusi yang berada di luar kewangan formal dan ia bukan satu amalan yang baik di samping berdepan kesukaran kerana kerajaan mahu mengukuhkan sistem ekonomi formal pada masa kini.
Katanya, langkah BNM yang berkuat kuasa serta merta itu juga mampu mengubah budaya berbelanja yang lebih positif.
Adalah menjadi kebimbangan apabila kajian BNM mendapati rakyat Malaysia yang meminjam akhir membawa pulang gaji bersih yang sedikit akibat begitu mudah mendapat pinjaman peribadi dan tempoh pembayaran yang begitu panjang, katanya.
"BNM berharap bahawa pinjaman peribadi itu mestilah ke arah yang produktif kerana terdapat ramai individu yang meminjam untuk perkara yang tidak penting. Jadi perbelanjaan luar kawalan itu yang kita mahu elakkan," katanya.
Selain kualiti pinjaman yang tinggi, langkah BNM itu juga dapat mewujudkan rakyat berpendapatan pendapatan tinggi untuk kehidupan mereka, katanya.
"Bagi jangka panjang, kita melihat aspek tahap gaji rakyat dan di sinilah pentingnya kita pastikan pertumbuhan ekonomi yang disasarkan dapat dicapai."
"Ini bermakna apabila pertumbuhan yang disasarkan menuju kepada negara berpendapatan tinggi dengan pertumbuhan Pendapatan Negara Kasar (GNI) tinggi, ini akan membolehkan agihan pendapatan kepada pekerja sektor swasta dan awam untuk meningkatkan pendapatan rakyat," katanya. - BERNAMA
Sumber: Utusan [7 Julai 2013]
Peraturan bakal diperketatkan
Sebelum itu pada 3 Julai, 2013 Bank Negara Malaysia (BNM) dikatakan sedang melihat kemungkinan untuk mengetatkan pengeluaran kad kredit dan pinjaman peribadi bagi memastikan hutang isi rumah dapat dikawal dengan baik bagi mengelakkan kesan negatif terhadap sektor perbankan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, hutang isi rumah Malaysia yang mencecah kira-kira 83 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang merupakan antara yang tertinggi di dunia.
Ahmad Husni berkata, hutang isi rumah yang majoritinya terdiri daripada pinjaman perumahan dan kenderaan masih terkawal kerana dua jenis pinjaman tersebut disokong oleh aset yang membawa kecairan tinggi kepada sektor perbankan.
Beliau bagaimanapun berkata, kategori pinjaman yang perlu diberi perhatian dalam soal hutang isi rumah ialah hutang kad kredit dan pinjaman peribadi yang mana BNM sedang meneliti cara mengetatkan kelulusan permohonan pinjaman.
''Kita beri tumpuan kepada kad kredit dan pinjaman peribadi yang turut melibatkan kakitangan sektor awam, kerajaan sudah meminta Bank Negara melihat perkara ini terutama daripada segi pinjaman peribadi. Kita perlu melihat apakah kedudukannya dan bagaimana cara untuk memperketatkan proses (kelulusan)," katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Husni berkata, keadaan hutang kad kredit dan pinjaman peribadi belum mencapai tahap membimbangkan kerana pinjaman tidak berbayar (NPL) yang dicatatkan masih dianggap rendah.
''Walaubagaimanapun dua bentuk pinjaman ini perlu diteliti kerana kita mahu memastikan gaji rakyat yang boleh digunakan tidak sampai tahap terlalu rendah," katanya.
Beliau berkata, BNM pada tahun lalu telah mengetatkan syarat pinjaman yang mana bank komersial diminta menyemak pendapatan bersih dan bukannya pendapatan kasar peminjam sebelum meluluskan pinjaman.
''Pendapatan kasar pengguna mungkin tinggi tetapi pendapatan bersihnya adalah lebih rendah," katanya.
Oleh THOMAS CHONG
Sumber: Utusan [3 Julai, 2013]
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan