10 September 2013

Keunikan Masjid Cina Ipoh


MASJID Muhammad mula dibuka pada 4 Ogos lepas.

Sekali pandang, bangunan ini tidak ubah seperti sebuah istana lama yang banyak terdapat di negara China lantaran tertancap motif Cina pada keseluruhan konsep binaannya.

Namun, selepas menjengah seketika struktur dan reka bentuknya, bangunan tersebut sebenarnya merupakan sebuah masjid baharu dikenali sebagai Masjid Muhammadiah atau kini mula popular dengan gelaran Masjid Cina. Masjid ini dibina di atas tanah seluas 0.4 hektar dan menelan kos sebanyak RM6.8 juta.

Ketika sambutan Aidilfitri yang lalu, Masjid Muhammadiah di Ipoh telah melakar satu peristiwa bersejarah bagi penganut agama Islam apabila bukan sahaja masyarakat Islam setempat malahan masyarakat Cina yang beragama Islam dari seluruh negara berkunjung ke masjid ini, yang mempunyai persekitaran unik dan indah untuk menunaikan solat.


Masjid Muhammadiah di Taman Tasek Jaya ini, yang dibina dengan konsep seni bina dan budaya Cina dan melalui proses ubahsuai, juga dikenali sebagai 'Masjid Cina' dalam kalangan penduduk tempatan di samping mencatat satu lagi mercu tanda baru di sekitar bandaraya Ipoh ini.

Masjid yang mengambil nama sempena masjid lamanya, berasal daripada Madrasah Muhammadiah yang didirikan oleh Allahyarham Abdul Latif Mohd. Kassim bersama tujuh rakannya pada tahun 1973.

Timbalan Pengerusi Persatuan Cina Muslim Ipoh, Hafiz Ng Abdullah dalam satu temu bual berkata, masjid itu kini diurus tadbir oleh gabungan dua buah jawatankuasa iaitu jawatankuasa Masjid Muhammadiah yang lama dan Persatuan Cina Muslim Cawangan Ipoh.

Konsep pembinaan masjid ini mengambil sepenuhnya idea seni bina tradisional dan budaya Cina. Ia kemudian diterjemahkan di keseluruhan bangunan termasuk bumbung, pagar, dinding serta dewan solat menerusi prinsip simetri.

STRUKTUR BINAAN YANG UNIK

Reka bentuk binaan lantai yang lebih tinggi daripada paras tanah, tiang-tiang besar berwarna merah tanpa dinding di samping sebuah menara berbumbung yang dihiasi motif Cina berwarna hijau menambah keunikan struktur binaan masjid ini.

Pintu masuk utama berwarna merah yang dihiasi tulisan Cina di bahagian kanan dan kiri dan perkataan 'Masjid Muhammadiah' dengan tulisan Melayu di bahagian atas seolah-olah mencerminkan perjalanan sejarahnya yang tersendiri.

"Bagaimanapun jika diperhatikan dengan lebih teliti, sebenarnya kita ubah seni hiasan bumbung kerana jika di China, mereka menggunakan motif bunga Teratai tetapi di masjid ini kita gunakan bunga Raya yang berwarna merah, melambangkan bunga kebangsaan," katanya.


RUANG solat utama boleh menampung jemaah seramai 800 orang.

PERBEZAAN

Ketika ditanya mengenai perbezaan dengan masjid Cina yang ada di negeri lain, Hafiz Ng berkata jika membuat perbandingan, perbezaan Masjid Muhammadiah dengan masjid Cina lain yang sedia ada akan dapat dilihat secara jelas seperti masjid di Rantau Panjang, Kelantan, seni binanya sedikit bercampur dengan budaya masyarakat Thailand.

Hafiz Ng, yang juga timbalan pengerusi masjid berkenaan, berkata ruang aktiviti dengan konsep terbuka di masjid itu membolehkan umat Islam mengadakan majlis ceramah, forum dan aktiviti budaya yang menepati syariat Islam.

Masjid Muhammadiah yang menempatkan dewan solat dan ruang aktiviti itu adalah fasa pertama daripada keseluruhan kompleks dengan keluasan 0.4 hektar yang turut terdiri pusat dakwah dan rumah perlindungan.

Beliau berkata warna cat yang dipilih bagi menghiasi keseluruhan bangunan masjid juga adalah berdasarkan warna utama yang sering dilihat dalam budaya masyarakat Cina iaitu merah, hijau dan putih.

Ruang solat terbuka masjid berkenaan juga dihiasi dengan taman-taman kecil yang dipisahkan oleh laluan ke dewan solat dan ruang aktiviti di bahagian dalam masjid.

"Rumah perlindungan itu bertujuan memberi dan menyediakan tempat tinggal sementara terutama kepada saudara baharu yang mungkin disisih oleh keluarga," katanya.

Selain itu, katanya dewan solat wanita di bahagian atas boleh menempatkan 200 anggota jemaah manakala ruang solat di bahagian bawah mampu memuatkan 800 orang.

IDEA PEMBINAAN

Pembinaan bangunan unik itu sebenarnya dicetuskan oleh bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Sheikh Mohamah Nor Mansor dan mula dibina pada 24 November 2011 sebelum mula beroperasi pada 4 Ogos 2013 lalu.

Selain itu, peruntukan pembinaan masjid tersebut juga diperoleh melalui bantuan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1 juta dan sumbangan orang ramai termasuk Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) yang juga mencecah RM1 juta.

Katanya, masjid itu boleh memuatkan kira-kira 1,300 jemaah pada satu-satu masa dengan tingkat atas dikhususkan untuk jemaah wanita.

''Idea membangunkan sebuah masjid bercirikan sedemikian bermula sejak saya menjawat jawatan sebagai Pengarah JAIPk. Ketika itu, kita melihat di Perak terdapat Masjid India dan Masjid Pakistan sedangkan tidak ada Masjid Cina Muslim.

heikh Mohamah berkata, bagi menzahirkan imej sebuah Masjid Cina Muslim di bandar raya ini, pihak jawatankuasa masjid bersetuju agar masjid ini dibina dengan seni bina Cina sepenuhnya.

Katanya, atap masjid itu diimport dari China, manakala kerja-kerja pemasangan atap tersebut diketuai oleh seorang juruteknik dari negara tersebut.

''Tujuan utama seni bina ini ialah untuk memperjelaskan kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini bahawa Islam tidak menghalang budaya kaum selama mana perkara tersebut tidak bercanggah dengan Islam,'' katanya.

KUTIPAN DERMA

Hafiz Ng, yang juga seorang pendakwah aktif itu berkata kos bagi peringkat fasa pertama iaitu pembinaan bangunan masjid bernilai RM4 juta manakala fasa kedua merangkumi pembinaan pusat dakwah serta rumah perlindungan memerlukan belanja sebanyak RM2.8 juta.

Pembinaan masjid tersebut mendapat peruntukan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak. Pada 8 Okt, 2009 Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), berkenan menyampaikan geran pelancaran bernilai RM2 juta bagi tujuan membina masjid berkenaan di samping memberi perkenan terhadap pelan dan senireka bentuk masjid berkenaan.

"Bagi tujuan pembinaan fasa kedua, kutipan derma dan sumbangan mana-mana pihak masih berjalan. Alhamdulillah, semasa kutipan untuk pembinaan masjid semua pihak memberi sokongan yang kuat untuk merealisasi masjid ini dan begitu juga bagi fasa kedua," katanya.


TIANG bulat berwarna merah sangat sinonim dengan seni bina di negara China.

Beliau turut menjelaskan, cadangan pembinaan Masjid Muhammadiah ini dibincangkan oleh kedua-dua jawatankuasa pada November 2008 dan dimulakan pembinaannya pada Disember 2011.

“InsyaAllah fasa pertama ini akan sempurna dalam tempoh sebulan lagi. Sekarang kita sedang melaksanakan kerja-kerja bagi perincian terakhir,” katanya.

Beliau berkata, tujuan pembinaan masjid baharu ini adalah bagi menampung kapasiti umat Islam yang semakin bertambah di kawasan sekitar khususnya bagi keperluan solat Jumaat.

TEMPAT DAPATKAN MAKLUMAT

“Ia juga bagi menghimpunkan saudara seagama daripada masyarakat Cina yang segan dan malu untuk pergi ke masjid biasa. Masjid Muhammadiah ini juga membuka peluang kepada orang bukan Islam untuk mendapatkan maklumat mengenai Islam,” katanya.

Hafiz Ng berkata, sesiapa sahaja boleh datang ke masjid ini untuk merujuk atau bertanya mengenai agama Islam tanpa sebarang halangan dan ia adalah satu tarikan kepada orang bukan Islam untuk lebih mengenali Islam.

“Kita juga mahu menjadikan masjid ini sebagai satu tarikan pelancongan di Perak. Ramai saudara baru Islam dan bukan Islam dari Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur hadir semasa masjid ini dibuka pada 4 Ogos lepas,” katanya. – Bernama

Beliau berkata pihaknya hanya mengadakan majlis pembukaan secara kecil-kecilan dengan pelbagai program antaranya gotong-royong, tazkirah, solat maghrib dan Isyak serta solat sunat Tarawih.

Walaupun pembinaan masjid masih belum sempurna, jawatankuasa masjid telah bersetuju membukanya untuk memberi kemudahan beribadah kepada umat Islam beribadah semasa bulan Ramadan, katanya.

Oleh Zuhafizah Ahmad Zaki
Sumber: Kosmo, BERNAMA, Utusan

1 comments:

Unknown berkata...

xpernah pergi lg ni...mmg unik sekali