27 Disember 2013
Tsunami Bukan Sekadar Bencana
Anggota penyelamat mengalihkan mayat-mayat mangsa tsunami di kawasan perkarangan Masjid Baiturrahman di Banda Aceh, pada 29 Disember 2004. - Reuters
''Dari jauh aku melihat seperti ada asap hitam yang tinggi dan tebal. Asap itu rasanya berjalan ke arah kami, makin lama asapnya makin tinggi sampai pohon kelapa. Tidak lama setelah itu asapnya turun dan merobohkan semua bangunan di depannya. Setelah itu aku baru sedar bahawa itu bukan asap, itu gelombang air laut besar, TSUNAMI namanya."
Demikianlah yang dicoretkan oleh Nelva Amelia, seorang gadis Aceh berhubung peristiwa Tsunami yang melanda wilayah itu pada 26 Disember 2004.
Pada 26 Disember, 2013, genaplah sembilan tahun bencana alam yang melanda Asia Tenggara itu berlaku, bukan sahaja Aceh malah beberapa negara lain turut menerima hempasan ombak besar sehingga meragut ribuan nyawa.
Aceh paling teruk menerima kesannya apabila bukan sahaja ribuan rumah dan bangunan ranap, malah dianggarkan sekitar 220,000 rakyat wilayah itu terkorban.
Untuk rekod, tsunami terburuk sebelum ini berlaku di Jepun pada 15 Jun 1896 yang menyaksikan 21,000 orang terbunuh.
Walaupun kini Aceh dan beberapa negara yang dilanda tsunami sudah hampir pulih dari segi infrastruktur, namun dari segi kesan psikologi ia masih lagi menghantui mangsa-mangsa yang terlibat khususnya di Aceh.
Bayangkanlah ada antara mereka hanya mengunjungi kubur-kubur besar yang menempatkan mangsa-mangsa yang terkorban tanpa mengetahui sama ada di dalam liang lahad itu ahli keluarga mereka berada di situ atau tidak.
Tetapi itu sahaja yang mampu mereka lakukan kerana tsunami menghanyutkan apa sahaja yang berada di hadapan arus deras yang mengalir.
Penduduk Aceh menggambarkan, tsunami itu adalah ombak besar setinggi bangunan lima tingkat dan mengalir dalam kelajuan 500 kilometer hingga 600 kilometer sejam. Arus tersebut dikatakan hanya mengalir perlahan apabila melintasi perkarangan Masjid Baiturrahman di Banda Aceh.
Penduduk di sebuah kawasan pendudukan di Kaju, memaklumkan di situ sahaja lebih 50,000 orang terkorban dan ribuan rumah hancur berkecai dihempas tsunami.
Bagaimanapun apa yang menarik dan menjadi ingatan untuk kita semua sehingga ke hari ini ialah hujah alim ulama Aceh terhadap kejadian tsunami itu. Sementara pakar sains dan geologi menganggap ia berpunca fenomena alam dengan memaparkan pelbagai teori, alim ulama dan penduduk Aceh mempunyai pandangan mereka sendiri.
Ada antara mereka menyatakan ia pembalasan Allah SWT terhadap satu kemungkaran yang berlaku sehari sebelum tsunami melanda. Ia dikaitkan dengan pesta mungkar yang dianjurkan oleh sekumpulan anggota keselamatan di pantai berhampiran makam ulama terkenal Aceh, Syiah Kuala.
Ada pula yang mengatakan ia sebagai pembalasan Allah terhadap kegagalan pemerintah Aceh melaksanakan syariat Islam seperti mana mereka uar-uarkan sebelum ini.
Tidak kiralah apa pun hujahnya yang pasti bencana tsunami tidak harus dilupakan begitu sahaja dan bukan sekadar dicatatkan dalam sejarah bencana dunia semata-mata.
Sebaliknya, sebagai manusia khususnya umat Islam, tragedi sembilan tahun lalu perlu dijadikan peringatan tentang kekuasaan Allah dengan sentiasa mengikut perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya serta jangan sesekali melakukan kerosakan di muka bumi Allah ini.
Allah SWT berfirman dalam surah Ar-Rum ayat 41 bermaksud:
''Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).''.
Tetapi mungkin ada yang akan bertanya tidakkah bencana besar seperti tsunami itu turut mengorbankan mereka yang tidak berdosa.
Dalam soal ini Allah SWT telah memberi peringatan melalui firman-Nya dalam surah Al-Anfal ayat 25 yang bermaksud:
''Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras seksaan-Nya.''
Atas sebab itulah, sebagai hamba-Nya dan bersempena peringatan bencana tsunami yang berlaku sembilan tahun lalu, marilah kita menginsafi dan menyedari siapakah diri kita sebenar.
Sentiasa menjadi insan yang tahu bersyukur dengan segala nikmat yang diperolehi dan bukannya sering sahaja mahu memuaskan kehendak sendiri dengan melakukan pelbagai tindakan yang boleh mendatangkan kerosakan.
Bagaimanapun puak seperti ini sering sahaja menafikan dakwaan itu dan menggambarkan seolah-olah merekalah kelompok terbaik di muka bumi Allah ini.
Kelompok seperti ini sudah dinyatakan oleh Allah SWT melalu firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 11 dan 12 yang bermaksud:
''Dan bila dikatakan kepada mereka, janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, mereka menjawab,''Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan perbaikan.'' Ingatlah sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan tetapi mereka tidak sedar.''
Tsunami Aceh adalah peringatan Allah kepada seluruh umat manusia. Mungkin selama ini, ada antara kita lalai dan merasakan kita boleh melakukan apa sahaja di alam fana ini.
Dalam al-Quran telah dinyatakan dengan jelas bahawa bencana itu merupakan teguran atau bala' (malapetaka) yang diberikan Allah SWT kepada kita yang ingkar akan petunjuk-Nya.
Sememangnya, kita bersyukur biarpun tempias tsunami turut melanda negara ini, namun kesannya tidaklah seteruk Aceh atau beberapa negara lain. Namun ini tidak bermakna kita harus melihat ia dari sudut bencana alam semata-mata tetapi kaji juga dari sudut Islam.
Atas sebab itulah, sementara Allah mengurniakan pelbagai rahmat dan nikmat kepada negara ini sehingga memungkinkan kita hidup aman dan damai, maka belajarlah mensyukuri semua itu dan bukannya melakukan tindakan sehingga kita termasuk dalam golongan yang tidak tahu bersyukur.
Mereka yang melakukan kemungkaran, sentiasa bergelumang dengan kepalsuan dan bersedia membuat apa sahaja demi memenuhi tuntutan nafsu diri sendiri, pasti akan menempah kebinasaan.
Apa yang berlaku dalam peristiwa tsunami sepatutnya memberikan pengajaran bahawa muka bumi ini bukan milik kita, ia adalah persinggahan sebelum kita melangkah ke alam lebih kekal iaitu akhirat.
Justeru jadikan peringatan tsunami kali ini sebagai titik permulaan agar kita tidak menjadi kelompok yang mengundang kemurkaan Allah.
Semoga dengan cara itu bumi bernama Malaysia ini jauh daripada segala bencana dan mala petaka akibat perbuatan kita sendiri.
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
Sumber: Utusan
Labels:
Tazkirah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan