26 Disember 2013

Pengembaraan Universiti Terbaik Bagi Keluarga Jamalullail


Jamalulail Ismail (dalam karavan) ketika bergambar dengan pengembara motosikal di Laos ketika dalam pengembaraan dari United Kingdom ke Malaysia.

SEMANGAT kental luar biasa enam sekeluarga mengharungi perjalanan darat sejauh 25,500 kilometer dari United Kingdom untuk pulang ke tanah air dalam tempoh 155 hari, wajar dicontohi rakyat negara ini.

Pengembaraan merentasi 26 negara yang dilalui Jamalullail Ismail, 44, dan isterinya, Sofinee Harun, 38, serta anak mereka, Puteri Sabeera, 17, Muhammad Syameem, 16, Sumrah, 13, dan Ahmad Seif, 10, ternyata memberi pengalaman berharga kepada keluarga berkenaan malahan turut mengharumkan nama Malaysia.

Jamalullail bersama keluarganya yang telah menetap di Seaham, Sunderland, UK sejak 15 tahun lalu, memulakan perjalanan 'By Road to Malaysia' itu menggunakan kenderaan karavan Mercedes Sprinter 1998 pada 13 Julai 2013 lalu iaitu hari keempat umat Islam menyambut puasa.


Pengembaraan bersejarah yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana keluarga itu, akhirnya tiba di sempadan Malaysia di Bukit Kayu Hitam pada pukul 12.30 tengah hari, Sabtu 21 Disember, 2013 lalu.

Dengan purata pemanduan pada kelajuan 80 kilometer sejam, karavan seberat kira-kira empat tan itu bergerak sejauh dalam lingkungan 300 ke 400 kilometer sehari yang mengambil masa antara enam hingga lapan jam sehari untuk meredah benua ke benua beriklim ekstrem sejuk mahupun panas melampau.

Bagi Jamalullail yang merupakan jurutera mekanikal, pengembaraan adalah universiti terbaik bagi menimba pengalaman, ilmu pengetahuan, menyaksikan situasi dan pemandangan dalam keadaan sebenar depan mata dan pada masa yang sama mendidik dan membentuk jiwa agar hampir kepada Allah.

Menurutnya, sepanjang perjalanan, mereka menimba pelbagai pengalaman indah dan peristiwa menarik, melalui saat getir, detik cemas dan mencabar, menyaksikan pemandangan indah dan juga melihat tanda-tanda kebesaran Allah pada alam ciptaan-Nya.

“Ini kerana pengembaraan memberi peluang untuk kita belajar banyak perkara dengan lebih real lagi, kalau kita setakat membaca sahaja mungkin maklumat itu tidak seperti yang digambarkan.

“Contohnya, sebelum kami masuk sesuatu negara, apa yang kita banyak tahu melalui pembacaan dengan apa yang kita lihat sendiri ialah dua perkara berbeza sebab kebanyakannya berunsur propaganda, andaian dan bukan suatu yang betul," katanya.

Lelaki berasal dari Teluk Intan, Perak itu berkata, pengembaraan mengajar sifat lebih bersyukur, sabar, tabah dan banyak bertawakal kepada Allah selain mengeratkan hubungan sesama manusia dan ukhuwah Islam di negara asing.

“Kalau duduk di rumah sahaja kita tak rasa perkara ini, memang pengembaraan nampak susah terutama semasa mula-mula perjalanan.

“Macam anak-anak pun mula-mula rasa macam hukuman tetapi bila dah sampai, anak saya cakap apa kata kita mengembara ke Afrika Selatan pula," ujarnya.


Jamalulail Ismail dan keluarganya bergambar bersama Jalur Gemilang ketika berada di Tembok Besar China dalam pengembaraan dari United Kingdom ke Malaysia.

Di setiap tempat yang dilalui atau kawasan tempat berhenti, mereka akan berjumpa dan bergaul dengan pelbagai orang dan mempelajari pelbagai budaya, makanan, layanan mesra dan menikmati keindahan pemandangan ciptaan Allah.

“Setiap satu negara ada kelebihan dan kekurangannya. Kalau kita berjalan dengan membawa sifat seperti lebah iaitu mengutip madu atau yang manis maka kita dapat belajar banyak perkara kebaikan.

“Sebaliknya jika kita berjalan membawa sifat lalat menghurung benda busuk iaitu mengambil cerita tidak baik maka 1,001 macam keburukan kita dapat," jelas Jamalullail.

Lebih istimewa, tambahnya, kebesaran Allah cukup dirasai apabila melihat keunikan sesuatu tempat contohnya, di setiap 100 kilometer mereka bergerak maka akan kelihatan pemandangan dan cuaca berbeza manakala arah kiblat mula berubah dengan ketara.

“Menikmati keindahan alam pun sudah cukup dianggap anugerah atau reward bagi kami," katanya.

Bagaimanapun, tidak dinafikan mereka turut menghadapi beberapa kesukaran seperti kesulitan kerenah birokrasi beberapa negara, perubahan cuaca yang ekstrem, pengalaman disamun dan kewangan yang terhad.

Beliau mengambil contoh, di Turmenistan ada tempat dipanggil neraka dunia manakala di Krygyzstan ada tempat minyak diesel menjadi gel akibat suhu terlalu rendah manakala musim panas di Itali mencecah 50 darjah Celsius.

Walaupun di Iran mereka dirompak sebanyak dua kali dan hampir diculik namun peristiwa itu dilihat memberi pengajaran berguna agar lebih berhati-hati pada masa depan.

“Kami bersyukur kepada Allah kerana memelihara keselamatan malahan kami tidak mengalami masalah kesihatan sepanjang perjalanan," katanya yang turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu khususnya Kedutaan Malaysia di negara-negara dilawati.

Mengimbas semula permulaan idea pengembaraan itu, Sofinee berkata, ia adalah idea Jamalullail pada 2010 dan ketika itu walaupun kebanyakan rakan memberi sokongan namun ada yang tidak begitu percaya sama ada mereka mampu melakukannya atau tidak.

“Saya dan anak-anak sendiri pada mulanya rasa seperti suami saya bergurau bila memberitahu idea projek pengembaraan ini, tetapi kami tetap membuat persiapan dari segi semua perkara termasuk persediaan mental," katanya.

Persiapan awal sebelum memulakan perjalanan antaranya dari segi teknikal, laluan perjalanan, sistem navigasi, mempelajari birokrasi permohonan visa negara-negara dilawati, tukaran wang asing, promosi dan sebagainya.

Apa pun, bagi Sofinee, pengembara Islam mempunyai banyak kelebihan kerana ikatan persaudaraan di mana-mana negara cukup erat dan ia banyak membantu memudahkan urusan. “Kami rasa berbangga kerana di mana-mana tempat ada orang Islam dan masjid.

“Bila kita sebut kita orang Islam dari Malaysia maka mereka sangat hormat... mereka akan peluk, cium dan jemput datang rumah menjamu makanan," katanya yang menyifatkan kejayaan pengembaraan itu adalah berkat doa ramai orang dan bantuan Allah SWT.

Oleh SAHBULAH DARWI
Sumber: Utusan

Pandu karavan 25,500 kilometer



CUACA panas pada pagi Sabtu itu tidak sedikit pun mematahkan semangat keluarga Jamalulail Ismail untuk meneruskan perjalanan pulang ke tanah air.

Pemanduan dari Songkhla, Thailand ke Bukit Kayu Hitam, Kedah bersama isteri, Sofinee Harun, 38, serta empat orang anak mereka, Puteri Sabeera, 17, Muhammad Syameem, 16, Sumrah, 13, dan Ahmad Seif, 10, seolah-olah tidak terasa.

Menelusuri Phetkasem Road, perjalanan sejauh kira-kira 87 kilometer itu lebih lancar sementelah karavan jenis Mercedes Sprinter yang dipandu Jamalulail turut diiringi polis trafik dari negara Gajah Putih tersebut.

Kurang dari satu jam setengah lagi, enam sekeluarga itu akan tiba di Malaysia selepas mengharungi perjalanan darat selama 155 hari dari bandar raya Sunderland, England.

Pengembaraan bersejarah sejauh kira-kira 25,500 kilometer yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana keluarga itu akhirnya tiba di sempadan Malaysia-Thailand pada pukul 12.30 tengah hari, 14 Disember 2013 lalu.

Ketika dihubungi kru Jurnal baru-baru ini, Jamalulail memberitahu, siri jelajah yang bermula pada 13 Julai 2013 lepas itu merentasi 26 buah negara termasuk Perancis, Belanda, Jerman, Switzerland, Itali, Turki, Bulgaria, Slovenia, Laos dan China.

Mengimbas kembali memori ekspedisi tersebut, lelaki yang berasal dari Hutan Melintang, Perak itu mengakui mengembara ke seluruh dunia memang menjadi impiannya sejak kecil lagi.

Menurutnya, dia berhijrah ke England bersama isteri dan dua orang anaknya pada tahun 1999 selepas menerima tawaran melanjutkan pelajaran dalam jurusan Reka Bentuk Kejuruteraan Automatif di Universiti Coventry, England.

"Ketika itu isteri sedang sarat mengandung anak ketiga. Hanya Sumrah dan Ahmad Seif sahaja yang lahir di sana.

"Kami menetap di negara itu hampir 15 tahun dan dalam tempoh itu anak-anak hanya belajar di rumah dengan tunjuk ajar daripada isteri yang juga pernah berkhidmat sebagai guru sementara di Jitra, Kedah," jelasnya.


EKSPEDISI keluarga Jamalulail tiba di sempadan Wilayah Naryn, Kyrgyzstan dan Xinjiang, China.

Jurutera berusia 44 tahun itu berkata, kerinduan terhadap kampung halaman mula menebal dan bertitik tolak daripada situ, dia dan isteri mula merangka pelan untuk pulang ke tanah air menerusi projek pengembaraan jalan darat.

Jadi, bagi merealisasikan impiannya, beliau sanggup berhenti kerja sebagai jurutera di syarikat perusahaan multinasional, Caterpillar pada tahun 2007.

"Idea untuk melakukan ekspedisi itu tercetus sekitar tahun 2002 namun hasrat itu terpaksa dilupakan kerana keadaan anak-anak yang masih kecil.

"Sehinggalah pada tahun 2010, kami mula serius memikirkan mengenai trip ini," jelasnya .

Tambah Jamalulail, mereka sekeluarga terpaksa membelanjakan £60,000 (RM320,000) untuk membiayai kos perjalanan itu termasuk membeli sebuah karavan.

"Karavan terpakai dengan nombor plat R984 HNS itu dibeli pada harga £15,000 iaitu lebih kurang RM75,000," ujarnya.

Jamalulail berkata, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan ketika memilih kenderaan yang sesuai lebih-lebih lagi untuk perjalanan darat yang memakan masa panjang.

Paling jauh

"Selepas mencari beberapa kenderaan yang bersesuaian dengan bajet, kami sepakat untuk membeli karavan ini," ujarnya.

Bertutur lanjut, Jamalulail berkata, beliau dan isterinya turut merangka enam pelan secara keseluruhan bagi mengenal pasti jalan darat yang sesuai, selamat serta boleh dimasuki tanpa sebarang kerenah birokrasi.

"Persiapan lain dari aspek teknikal, laluan perjalanan, sistem navigasi, tukaran mata wang asing dan visa juga perlu dibuat lebih awal bagi memastikan kelancaran perjalanan," jelasnya.

Cerita Jamalulail, laluan perjalanan yang paling panjang dalam ekspedisi itu ialah negara China dengan jarak sejauh 8,000 kilometer (km).


RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengucapkan tahniah kepada keluarga Jamalulail di atas kejayaan menaiki karavan untuk pulang ke tanah air dari England.

Menariknya, beliau perlu mengambil lesen memandu dan menukar nombor plat kenderaan mengikut undang-undang negara tersebut.

Namun, katanya, mereka menghadapi kekangan kewangan kerana terpaksa membayar kos perkhidmatan pemandu pelancong sebanyak £10,000 iaitu kira-kira RM50,000.

"Kerajaan China mewajibkan pembayaran caj perkhidmatan ke atas pemandu pelancong yang dilantik khas.

"Jadi, kami terpaksa mengeluarkan sejumlah wang bagi membayar servisnya selama 24 jam sehari untuk tempoh 24 hari.

"Visa juga diperlukan bagi membolehkan kami masuk ke negara berkenaan," jelasnya.

Minyak gel

Tambah Jamalulail, pelbagai peristiwa menarik serta memori indah mewarnai pengembaraan karavan yang digelar 'By Road to Malaysia' itu.

Katanya, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah ketika menempuh detik-detik sukar ekoran masalah perubahan cuaca yang ekstrem.

"Semasa di Krygyzstan, minyak diesel yang digunakan bertukar menjadi gel akibat suhu yang terlalu sejuk.

"Minyak tidak dapat dicairkan secara terus menggunakan api kerana kenderaan yang kami naiki menggunakan tangki polimer.

"Jadi, saya terpaksa mencairkan minyak itu menggunakan alat pemanas elektrik," jelasnya sambil memberitahu, mereka bertuah kerana karavan seberat 3,600 kilogram itu tidak pernah meragam.

Bagi Sofinee, pengalaman menjalani ibadah puasa dalam musim panas yang mencecah suhu 50 darjah Celsius mengajar sifat lebih sabar dalam menghadapi ujian hidup.

"Kami berpuasa sehingga 19 jam sehari dalam keadaan cuaca yang begitu panas.

"Lebih malang, karavan kami tidak mempunyai alat pendingin hawa kerana direka khusus untuk negara beriklim sejuk," ujarnya.


ENAM sekeluarga ini tiba di Malaysia pada 14 Disember lalu. Dari kiri, Sumrah, Puteri Sabeera, Jamalulail, Ahmad Seif, Sofinee dan Muhammad Syameem.

Tambah wanita kelahiran negeri Sarawak itu, cabaran lain yang dialami sepanjang perjalanan tersebut termasuklah dari segi pemanduan kerana stereng kenderaan di hampir semua negara adalah di sebelah kiri.

"Di England, stereng kereta terletak di sebelah kanan begitu juga di Thailand dan Malaysia.

"Namun, kami perlu membiasakan diri untuk menggunakan stereng di sebelah kiri ketika memandu dari Perancis hingga Laos.

"Untuk itu, sekiranya saya tidak memandu, saya perlu menolong suami untuk lihat keadaan jalan dulu sebelum memotong," katanya.

Sofinee berkata, pengalaman ketika dirompak di Teheran, Iran juga sedikit sebanyak memberi pengajaran berguna agar lebih berhati-hati pada masa hadapan.

Katanya, karavan mereka dimasuki pencuri sehingga menyebabkan kehilangan sebuah generator yang amat penting untuk mendapatkan tenaga elektrik ketika kecemasan.

"Kemudian kami dirompak pula seorang lelaki Iran yang menyamar sebagai anggota polis dan melarikan dua telefon pintar iPhone.

"Walaupun begitu, kami bersyukur kerana Allah sentiasa memelihara keselamatan serta kesihatan kami anak-beranak," jelasnya sambil memberitahu mereka sekeluarga kini tinggal buat sementara di rumah ibunya di Perlis.

Tambahnya, buat masa ini mereka masih belum pasti sama ada mahu menetap di Malaysia atau pulang ke England.

"Kami masih belum mempunyai apa-apa perancangan kerana masing-masing mahu berehat daripada pengembaraan yang panjang itu.

"Namun, saya perlu segera memikirkan mengenai hal persekolahan anak-anak yang masih belajar," katanya yang bercadang untuk memberi pendidikan di sekolah secara formal jika mereka menetap di Malaysia.

Sumber: Kosmo

0 comments: