28 Disember 2013

Solidarity Grub Bantu Orang Miskin


POSTER yang tertampal di sebuah kedai roti di Belgrade yang menyertai projek Solidarity Grub.

SETIAP pagi pada waktu kemuncak di sebuah kedai roti di Belgrade, Lidija Milanovic membeli dua croissant sebagai sarapan tetapnya. Tetapi, dia hanya mengambil satu manakala sekeping lagi diberikan pada mereka yang tidak berkemampuan membelinya.

Di Serbia, sebuah negara yang terjejas teruk akibat krisis ekonomi, tiga anak muda yang berwawasan telah melancarkan satu laman web untuk membantu golongan miskin.

Ia menyeru rakyat negara tersebut untuk membeli makanan perpaduan tambahan yang kemudian akan ditawarkan kepada mereka yang memerlukan.


"Adalah sesuatu yang hebat apabila seseorang telah menemui cara yang mudah untuk membantu orang ramai tanpa menghabiskan banyak masa dan tenaga," kata Milanovic, seorang ahli perniagaan wanita berusia 37 tahun yang mengetahui tentang inisiatif itu di rangkaian sosial.

Selongkar tong

Seorang pelajar sekolah tinggi, Jovana Bogavas yang beratur di belakang Milanovic tertanya-tanya apa yang berlaku. Selepas mendengar penerangan mengenai projek yang dipanggil Solidarity Grub (Solidarna Klopica) itu, dia terus membuat keputusan untuk menyertainya.

"Ini satu idea yang sangat menarik. Di kawasan kejiranan ini, saya selalu melihat ramai orang menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan. Namun, saya rasa tidak selesa untuk menawarkan bantuan kepada mereka. Inilah cara yang terbaik untuk melakukannya," ujar Bogavas.

Statistik menunjukkan bahawa 9.2 peratus daripada 7.2 juta penduduk Serbia hidup dalam kemiskinan dengan pendapatan kurang daripada satu euro (RM4.40) sehari. Hampir satu perlima daripada populasi tersebut memperoleh kurang daripada RM17.50 sehari.

Bagi kanak-kanak, jumlah yang hidup dalam kemiskinan mutlak meningkat kepada 12.2 peratus dan 6.2 peratus menderita akibat pemakanan tidak seimbang.

Solidarity Grub telah dimulakan pada bulan April oleh tiga pekerja di portal internet Kioskpages.com, satu laman dalam talian yang menawarkan katalog, perkhidmatan dan promosi istimewa.

Mereka mengatakan, satu video dalam talian mengenai rakyat Itali yang memberi kopi kepada gelandangan menjadi inspirasi untuk menjayakan program tersebut.

"Kami suka idea tersebut, tapi kami mahu menawarkan lebih banyak. Jadi, kami pilih makanan," ujar koordinator program, Nina Milos, 24.


SEORANG lelaki pertengahan usia menjual arnab di tepi jalan untuk menyara kehidupan.

Trio tersebut pada mulanya menghubungi kedai-kedai roti memandangkan mereka mahu lebih ramai orang menyertainya kerana harga produk pastri agak berpatutan. Setakat ini, sebanyak 60 kedai roti telah menyertai projek itu.

Lebih mengejutkan di negara yang mencatat kadar pengangguran sehingga 24 peratus, tindakan tersebut telah tersebar luas dan mendapat respons memberangsangkan.

"Projek ini berjaya kerana ia tidak memerlukan banyak penglibatan peribadi dan kosnya sangat minimum. Malah, hasil pengalaman sebelum ini menunjukkan individu yang berpendapatan rendah memberi respons pantas dan kuat untuk projek sebegini.

"Mereka dapat membayangkan diri sendiri berada dalam situasi sedemikian," terang pakar psikologi, Anika Stojanovic.

Di kedai roti tempat Milanovic membeli sarapan paginya, jurujual Silvija memberitahu, projek tersebut sangat berjaya.

Poster iklan

"Pada mulanya, saya tidak percaya dengan projek ini. Tetapi, hari demi hari semakin ramai yang meninggalkan makanan mereka untuk orang lain," katanya sambil meletakkan makanan tersebut di dalam bakul di depan tingkap agar dapat dilihat oleh mereka yang kelaparan.

Poster di tingkap juga menunjukkan iklan bahawa kedai roti tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Solidarity Grub.

Bagaimanapun, antara cabaran yang mereka hadapi ialah untuk menyebarkan maklumat berkenaan kepada golongan sasaran yang tidak mempunyai akses internet.

Sehubungan itu, pihak penganjur telah mengatur promosi besar-besaran mengenai projek itu di dalam akhbar dan menjalin kerjasama dengan rangkaian rumah perlindungan serta kumpulan sokongan.

Mereka turut merayu kepada penduduk setempat untuk menyampaikan maklumat itu kepada golongan gelandangan di kawasan kejiranan masing-masing.

Bagi Mirjana, ibu kepada tiga anak yang hanya bergantung kepada pendapatan suaminya sebagai buruh telah melihat laporan mengenai Solidarity Grub di televisyen dan gembira dengan perkara tersebut.

"Keluarga saya selalu kelaparan dan ada hari-harinya kami langsung tidak makan. Kini, kami memperoleh sekurang-kurangnya satu makanan setiap hari," tutur Mirjana.

Sementara itu, bagi Milos, projek berkenaan merupakan sumber kebanggaan mereka.

"Hidup tidak mudah di Serbia. Apabila masyarakat menunjukkan perpaduan seperti itu, ia benar-benar layak dipuji. Itu perkara terbaik yang telah berlaku kepada saya." - AFP

Sumber: Kosmo

0 comments: