25 Januari 2014

Pelajar Kolej Vokasional dikecuali PLKN?

Terdapat dua kenyataan yang bercanggah di sini berkaitan penyertaan pelajar Kolej Vokasional ke Program PLKN. 

Bagaimanapun daripada penjelasan Ketua Pengarah JLKN dapat kita faham bahawa pelajar-pelajar boleh membuat penangguhan dengan menyertai program PLKN sebaik tamat pengajian di IPT.



Semua pelajar Kolej Vokasional (KV) dikecualikan daripada mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di kem seluruh negara yang disediakan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN).

Pengarah Bahagian Pendidikan Teknikal dan Vokasional Kementerian Pendidikan, Datuk Ahmad Tajudin Jab, berkata program itu disediakan di kolej masing-masing sepanjang mereka mengikuti pengajian selama empat tahun.

Pengecualian mengikuti PLKN di kem katanya, bermula sejak kolej dinaikkan taraf dua tahun lalu (2012) dan membabitkan semua pelajar teknikal dan vokasional, termasuk yang menjalani pengajian kerjasama dengan agensi kerajaan dan kolej swasta.


“Pelajar tidak menjalani PLKN di luar kerana mereka perlu berada di kolej sepanjang tempoh pengajian. Kita bekerjasama dengan JLKN untuk membawa modul PLKN ke kolej. Antara modul PLKN terbabit termasuk program komuniti dan kemahiran komunikasi.

“Walaupun tidak menjalani program latihan ketenteraan sepenuhnya, semua pelajar tidak terkecuali dari mengikuti PLKN dan mereka dinilai dari tahun pertama menyertai kolej dan menerima sijil PLKN. Usaha sama dengan JLKN, termasuk membabitkan tenaga pengajar adalah di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) 10,” katanya.

Selaras dengan transformasi pendidikan vokasional bagi melahirkan tenaga kerja mahir, sekolah menengah vokasional dinaikkan taraf kepada KV dan semua pelajar mengikuti pengajian selama empat tahun untuk melayakkan mereka mendapat diploma.



Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan ibu bapa apabila anak mereka yang mengikuti program vokasional dikenakan tindakan jika tidak mengikuti PLKN seperti diwajibkan kerajaan.
Mengulas kemasukan pelajar ke program vokasional dan teknikal, Ahmad Tajudin berkata, sambutan diterima tahun ini amat menggalakkan apabila lebih 100,000 pelajar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) memohon untuk menyambung pengajian.

Sumber: BHarian [2014/01/23]

Tiada pengecualian pelajar vokasional ikuti PLKN

Pelajar kolej vokasional di seluruh negara tidak dikecualikan daripada mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, tidak benar dakwaan yang menyatakan pelajar kolej vokasional dikecualikan daripada mengikuti program tersebut.

"PLKN dilaksanakan berasaskan Akta Latihan Khidmat Negara di mana latihan diadakan di tempat tertentu yang perlu diwartakan terlebih dahulu.

"Dakwaan (dikecualikan) tersebut adalah tidak benar dan tidak pernah dipersetujui oleh pihak JLKN. Semua pelajar tidak dikecualikan mengikuti latihan dalam tempoh 90 hari itu," katanya menerusi kenyataan tersebut di sini hari ini.

Bagaimanapun menurut Abdul Hadi, pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian di mana-mana institusi pengajian tinggi boleh membuat permohonan bagi penangguhan untuk mengikuti PLKN.

"Mereka perlu mengikuti semula program tersebut di kem-kem yang telah ditetapkan selepas tamat penangguhan masing-masing," jelasnya.

Sumber: Utusan [24/1/2014]

0 comments: