13 Mac 2014

Perkenalkan Sistem Kupon



RANCANGAN realiti televisyen yang agak popular di Amerika Syarikat (AS), Extreme Couponing cukup menarik perhatian. “Wow! Pembelian ribuan ringgit tanpa bayaran dan kalau perlu pun hanya membayar beberapa dolar untuk pembelian ribuan ringgit," begitulah terujanya seorang penonton.

Bagaimana ini boleh terjadi?

Beberapa rakan bertanya saya, adakah ia satu realiti atau sekadar TV Show sedangkan ia tidak berlaku dalam kehidupan harian rakyat Amerika? Apa pun rancangan itu mempunyai rating yang cukup tinggi.

Memang menarik untuk diulas tentang sistem kupon yang telah lama berjalan dalam sistem pembelian runcit di AS dan di negara maju lain. Kaya atau miskin boleh mendapatkan kupon ini yang boleh digunakan di majoriti pasar raya di negara itu.


Saya suka berkongsi pengalaman tinggal di AS selama beberapa tahun dahulu untuk manfaat rakyat Malaysia yang mahu berjimat dalam keadaan kebanyakan harga barang naik dan poket semakin mengecil.

Syarikat-syarikat besar yang mengeluarkan produk makanan dan keperluan harian boleh bekerjasama dengan pasar raya dalam memberi kemudahan kepada rakyat membeli barangan pada harga murah, adakalanya dengan diskaun sehingga 90 peratus atau tidak perlu membayar apa-apa pun. Hanya perlu menyerahkan kupon di kaunter pembayaran.

Kupon-kupon ini bukan untuk barangan yang telah tamat tempoh atau yang tidak popular sebaliknya daripada jenis dan jenama yang memang terkenal dan digemari oleh rakyat.

Kupon-kupon ini boleh diperolehi secara mudah dengan menggunting dan menyimpannya daripada risalah iklan dalam akhbar lalu membawanya ke pasar raya sebelum tarikh luput.

Syarikat-syarikat pengeluar makanan dan barangan keperluan harian di negara ini boleh mengambil model dari AS ini sekiranya mahu membantu kerajaan dan rakyat menghadapi kenaikan harga.

Apa salahnya memperuntukkan sedikit keuntungan untuk tujuan ini. Saya yakin pasar raya dari luar negara yang beroperasi di negara ini dengan keuntungan mencecah angka bilion, juga boleh melakukannya.

Daripada berperang dengan peniaga-peniaga kecil yang untung mereka tidak sebanyak mana, lebih baik kerajaan berbincang dan menggalakkan pasar raya besar dan pengeluar barangan asas ini bekerjasama mewujudkan sistem kupon di negara ini.

Di AS, sistem kupon ini berjalan dengan baik sejak sekian lama, seperti mana sistem pemberian makanan asas kepada rakyat yang berada di bawah garis kemiskinan.

Rakyat miskin di negara itu mendapat kupon makanan asas seperti keju dan susu setiap bulan. Sudah banyak sistem baik yang kita bawa masuk atau import dari negara luar. Jadi tidak salah jika sistem yang memberi manfaat kepada rakyat tanpa membebankan kerajaan ini diperkenalkan pula dengan kerjasama syarikat-syarikat besar yang mahu melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Oleh: DATUK JAMELAH A. BAKAR
Pengerusi Biro Wanita dan Keluarga PEMADAM Kebangsaan
Sumber: Utusan

Catatan:

Bagi guru-guru dan pelajar-pelajar di sekolah, mereka mungkin mempunyai pengalaman menggunakan sistem kupon untuk berbelanja pada sambutan hari-hari tertentu yang mana ada dilaksanakan jualan. Contohnya ketika sambutan Hari Koperasi Sekolah.

Dengan perlaksanaan sistem ini pelajar akan belajar mencongak barangan yang boleh dibeli berdasarkan nilai kupon yang mereka miliki.

0 comments: