12 Mac 2014

Pengaktifan Otak Tengah ~ Teknik Penggunaan Kuasa Minda



DALAM sebuah kelas, seorang remaja yang ditutup matanya dengan kain hitam kelihatan tekun mewarna sebuah lukisan yang berunsurkan haiwan liar.

Di sebelahnya, seorang guru wanita memberikan arahan sambil membantu remaja tersebut yang dikenali sebagai Syazedee Haiqal Samsuddin, 13. Dia tekun mendengar arahan itu sambil mengaplikasikan ke atas lukisan berkenaan.

Dalam tempoh setengah jam, tugasan tersebut dapat disiapkannya dengan kemas dan cantik.

"Pada mulanya, saya tidak percaya boleh melakukan apa yang diberitahu oleh guru ketika pertama kali mengikuti kelas pengaktifan otak tengah ini, tahun lalu.


"Apabila saya mempraktikkan semua aktiviti tersebut, barulah saya percaya sesuatu perkara yang dianggap mustahil itu boleh menjadi kenyataan. Contohnya, melukis sambil menutup mata," katanya ketika mengikuti Program Pengaktifan Otak Tengah di Smart Mid Brain, Subang Jaya, Selangor, Februari 2014 lalu.

Turut serta abangnya, Syahrul Daniel, 15. Penyertaan tersebut merupakan kali kedua buat kedua-dua adik-beradik itu setelah menyertainya sebulan sebelum itu.

Selain kemampuan tersebut, Syazedee Haiqal juga berkemampuan menunggang basikal dengan mata ditutup kain hitam.

"Saya juga tidak lagi dileteri ibu untuk mentelaah buku dan mengulang kaji pelajaran. Minat saya terhadap mata pelajaran matematik dan sains juga semakin meningkat," katanya.

Program selama dua hari itu memfokuskan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 19 tahun dengan modul pembelajaran mempraktikkan kegunaan dan mengaktifkan otak tengah dalam pembelajaran harian.

Peserta yang mengikuti program itu diberi latihan mengikut kaedah sains, psikologi, alam sekitar dan kaunseling termasuk latihan mewarna dengan mata ditutup bertujuan meningkatkan perhatian dan lebih fokus.


PENGAKTIFAN otak tengah membolehkan peserta yang ditutup matanya meneka objek dengan tepat.

Pancaindera

Pemilik Smart Mid Brain, Fadhiah Salwati Salwan berkata, teknik mengaktifkan otak tengah merupakan satu fenomena dalam pendidikan kanak-kanak hari ini terutamanya di Jepun.

Katanya, di negara Matahari Terbit itu, langkah mempraktikkan pengaktifan otak tengah dimulakan pada peringkat kanak-kanak lagi.

"Seorang kanak-kanak yang telah diaktifkan otak tengahnya memiliki kemampuan yang lebih baik berbanding kanak-kanak yang otak tengahnya belum diaktifkan lagi. Kemampuan dasar yang dapat dilakukan adalah 'melihat' dengan mata ditutup (blind fold)," katanya.

Sebagai contoh katanya, bagi sesetengah kanak-kanak setelah mengikuti kursus pengaktifan otak tengah, mereka dapat 'melihat' angka, warna dan bentuk gambar dengan mata tertutup.

Mereka menggunakan pancaindera yang dimiliki untuk merasa dan melihat warna lengkap dengan angka hanya melalui penglihatan kulit (skin vision).

Pengaktifan otak tengah bukanlah satu silap mata atau sesuatu yang luar biasa, sebaliknya ia dilakukan dengan cara ilmiah iaitu menggunakan gelombang otak Alpha.

Menurutnya, penggunaan gelombang otak Alpha itu pula dibuktikan secara ilmiah menerusi gelombang otak yang muncul dominan pada saat seseorang itu berada dalam keadaan tenang dan paling kreatif.

"Gelombang otak itu biasanya akan menjadi dominan pada saat seseorang itu bangun dari tidur atau dalam keadaan santai.

"Jadi, saya tidak hairan bagaimana, Pakar Matematik dan Fizik, Archimedes menemukan hukum Achimedes ketika sedang mandi," ujarnya.

Otak tengah yang diaktifkan akan memancarkan gelombang otak yang mirip seperti radar.

Katanya lagi, hal itu membuat pemiliknya mampu melihat benda dalam keadaan mata tertutup. Latihan yang teratur dapat membuatkan minda anak menjadi lebih kuat dan mampu melihat benda yang terletak lebih tinggi lagi.


SEORANG peserta (kiri) memejamkan mata ketika mencuba untuk meneka kad dan nombor yang dipegang pengajar (kanan).

"Bahkan ada beberapa anak yang dapat menjangkau hingga 360 darjah. Hal itu bererti mereka dapat menjelaskan benda yang terletak di belakang, atas dan semua arah.

"Ramai yang tertanya-tanya, bagaimana anak yang ditutup matanya mampu melihat apa yang berada di sekelilingnya. Jika kita sedari, manusia adalah makhluk yang paling sempurna diciptakan tuhan.

"Maka, fenomena seperti ini adalah perkara yang wajar kerana manusia akan terus-menerus melakukan penelitian terhadap keupayaan peningkatan kualiti manusia khususnya penelitian tentang otak," jelas Fadhiah Salwati.

Katanya lagi, jika sekarang ini ramai yang memandang 'aneh' fenomena otak tengah, namun pada masa depan, kemampuan tersebut akan banyak dimiliki kanak-kanak.

Sehubungan itu, jelasnya, penemuan kaedah mengaktifkan otak tengah merupakan hasil dari jalan panjang puluhan tahun yang dikembangkan oleh ilmuwan-ilmuwan dunia.

Kebanyakan orang akan berfikir untuk menjual barang apabila menyebut tentang perniagaan tetapi beliau cuba mengaplikasikannya dalam bentuk yang lain.

"Sebelum ini, saya tidak pernah tahu, apa itu pengaktifan otak tengah tetapi setelah kedua-dua anak lelaki saya mengikuti program ini, barulah saya terfikir bidang ini akan memberi jaminan terhadap minat saya dalam perniagaan," katanya.

Dalam pada itu, Azura menganggap usaha tersebut sebagai satu titik permulaan untuk dirinya terlibat secara langsung dalam perniagaan.

Beliau berkata, usahanya itu dibantu dan disokong oleh suaminya yang merupakan seorang usahawan berpengalaman dalam bidang telekomunikasi.


KANAK-KANAK ini mampu mewarnakan lukisan dengan mata ditutup kain.

Manfaat

Katanya, dia menaruh harapan tinggi untuk melihat usahanya itu berjaya dan menjadikan bidang yang diceburi itu sebagai sesuatu yang mampu memberi manfaat kepada semua orang.

"Bukanlah niat saya untuk mendapatkan untung yang banyak, sebaliknya, saya berharap usaha ini dapat membantu kanak-kanak bermasalah dalam pembelajaran," ujarnya.

Azura berkata, ekoran sambutan baik daripada orang ramai, pihaknya berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan tersebut. Tidak terhenti dengan usahanya itu, beliau turut bercadang membuka kelas untuk golongan dewasa pada masa akan datang.

Sementara itu, pasangan suami isteri, Mejar (B) Ramli Othman, 58, dan Mardiana Sabaruddin, 56, menghantar anaknya menyertai program berkenaan bagi meningkatkan penguasaan pembelajarannya.

Ramli berkata, dia merasai perubahan pada tingkah laku anaknya terutama daripada aspek tahap tumpuannya ketika diminta menyelesaikan tugasan mewarna.

"Saya dapati anak saya lebih fokus dan serius dalam mengikuti arahan yang diberikan oleh jurulatih, apa yang penting anak saya kelihatan fokus.

"Selepas dia menjalani kursus ini, diharapkan penguasaannya dalam pembelajaran di bilik darjah meningkat berbanding sebelumnya," kata Ramli.

Sumber: Kosmo

Pengaktifan Otak Tengah

Berdasarkan penemuan Roger W. Sperry iaitu pemenang hadiah Nobel pada 1981, sewaktu menjalankan penyelidikan mengenai penyakit epilepsi ditemukan bahawa belahan otak kanan dan kiri mengawal bentuk pemikiran tertentu.

Otak kiri berfungsi dalam logika, pengiraan, pembacaan, pertuturan, analisis  manakala otak kanan berfungsi dalam hal-hal seni, persembahan, intuisi, kreativiti dan personaliti.

Otak tengah pula merupakan bahagian otak yang terkecil yang mengawal banyak fungsi penting seperti fungsi penglihatan, pendengaran dan  pergerakan mata. Bahagian dari otak tengah iaitu red nucleus dan sunstansia nigra terlibat dalam pengawalan gerakan tubuh badan.

Kita juga mempunyai satu lagi otak iaitu otak tengah yang berperanan sebagai jambatan bagi kedua-dua otak kiri dan kanan. Otak ini juga mempunyai lebih 300 juta saraf tetapi pada tahap usia tertentu otak tengah akan tidur sekiranya ia tidak diaktifkan.

Dengan kaedah tertentu, otak tengah boleh diaktifkan untuk membolehkan seseorang itu mendapatkan semula maklumat antara kedua-dua otak kiri dan kanan.

Apabila otak tengah diaktifkan, ia akan menjadikan kanak-kanak lebih cekap dan mendalam dalam pembelajaran dan penyerapan maklumat. Ia juga membawa keluar dan menguatkan ciri-ciri seperti kreativiti, daya ingatan, kemahiran aplikasi, keyakinan diri dan keupayaan untuk menumpukan perhatian.

Kanak-kanak yang telah diaktifkan otak tengah mereka akan memiliki keupayaan maksimum dari kedua-dua otaknya serta meningkatkan kapasiti dan keupayaan belajar. Mereka juga boleh mendapat manfaat daripada logik dari kiri dan gerak hati dari kanan.

Mereka juga berkeupayaan untuk menyerap maklumat dan focus dalam bidang akademik di sampung dapat belajar dengan lebih mudah serta mampu cemerlang dalam bidang sukan dan kesenian. Mereka mampu melakukan pelbagai aktiviti dengan mata tertutup seperti mewarna, membaca, berjalan dan lain-lain.

Kanak-kanak yang sudah cemerlang dengan hanya menggunakan sebelah otak sahaja sudah pasti akan meningkat kebolehan mereka tanpa batas apabila mereka menggunakan kedua-dua belah otak.

Sumber: Mind Secret

0 comments: