DI SAAT ini, negara kita sedang menjadi perhatian dan bualan masyarakat dunia serta bahan berita utama di media-media antarabangsa. Semuanya kerana insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada Sabtu, 8 Mac 2014, yang sehingga kini masih belum dijumpai.
Pesawat yang dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur itu hilang sebelum sempat memasuki ruang udara China. Sama ada berada di laut atau di darat dan sama ada penumpangnya masih hidup atau sebaliknya, tiada yang tahu.
Tidak mungkin ia masih berada di udara kerana sudah pasti kehabisan minyak. Jika terhempas di daratan, sudah pasti ada bangkainya dan jika tenggelam di lautan sudah pasti ada tanda-tandanya di permukaan laut.
Yang pasti, insiden ini masih menjadi misteri. Ketika arikel ini ditulis, usaha mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan melibatkan beberapa negara seperti Vietnam, China, Filipina, Indonesia, Australia, New Zealand, Singapura, Amerika Syarikat selain Malaysia sendiri.
Di sebalik kehebatan peralatan, kelengkapan serta aset pertahanan yang digunakan, lokasi dan keberadaan pesawat ini masih menjadi tanda tanya. Pelbagai teori dan tidak kurang juga spekulasi dibuat oleh pihak-pihak tertentu untuk menjustifikasikan kehilangan dan kedudukan sebenar pesawat MH370 ketika ini namun semuanya belum cukup kuat untuk memberi sebarang petunjuk dan tanda.
Walaupun insiden ini dianggap misteri, ia sebenarnya suatu peristiwa yang unik dan sarat dengan pengajaran yang boleh diambil iktibar oleh kita semua.
)
Temubual Malaysia Hari Ini (TV3) Dengan Kapten Norudin Abd Majid,
Bekas Ketua Juruterbang B777 Fleet MAS
Pertamanya, kuasa dan kemampuan manusia itu amat terhad dan terbatas. Manusia telah mencapai suatu tahap ketamadunan yang canggih dan maju dengan pelbagai penemuan sains dan teknologi. Contohnya, kemajuan teknologi hari ini membolehkan manusia mengesan identiti dan kedudukan seseorang walau di mana ia berada di atas bumi ini menggunakan satelit - Global Positioning Service (GPS).
Kaedah ini juga digunakan secara meluas untuk memudahkan pergerakan manusia dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain.
Namun, apabila mencapai suatu tahap kemajuan yang tinggi, manusia secara kebiasaannya amat mudah berasa bangga dan hebat sehingga alpa akan hakikat kehambaan diri mereka. Harus diingat, kemampuan pemikiran manusia amat terhad dan masih terdapat perkara yang tidak mampu dicapai oleh akal fikiran manusia.
Insiden kehilangan MH370 ini adalah salah satu contohnya. Ia sudah pasti tidak berlaku secara kebetulan. Allah hadir dan takdirkan peristiwa ini kepada kita untuk kita sama-sama mengambil iktibar daripadanya.
Insiden ini menghantar mesej jelas yang manusia mempunyai kelemahan dan kelemahan itu adalah bukti sifat kehambaan mereka. Di sebalik peristiwa ini, iman manusia kepada Allah semakin bertambah kerana tiada manusia yang mampu merencanakan insiden kehilangan pesawat yang penuh misteri ini sehingga begitu sukar untuk menjejakinya. Sudah pasti ada kuasa yang lebih hebat daripada kuasa manusia.
Apabila manusia gagal menjejaki kehilangan pesawat ini, itu tandanya manusia itu lemah dan apabila manusia itu mengakui dirinya lemah dan tidak berdaya maka akan robohlah sikap ego dan sombong di dalam diri. Jika itu berlaku, maka manusia itu sebenarnya telah menunjukkan sifat kehambaan dalam dirinya.
Sememangnya manusia itu fitrahnya bertuhan. Jika tersepit dalam kesukaran, manusia pasti menyebut nama tuhannya serta merayu dan merintih memohon pertolongan. Justeru, insiden ini adalah suatu peringatan agar kita sentiasa ingat dan bergantung harap kepada-Nya dalam menghadapi apa jua cabaran dalam kehidupan.
Keduanya, sifat belas kasihan sesama manusia adalah suatu fitrah. Dalam insiden ini, semua rakyat Malaysia, tidak kira apa jua bangsa dan agama, bersatu hati memberi sokongan tidak berbelah-bahagi dan sama-sama berkongsi kesedihan dengan ahli keluarga yang kehilangan orang tersayang mereka dalam insiden ini.
Pelbagai cara digunakan untuk menzahirkan perasaan ini. Ada yang melukis gambar, mengirim kata-kata semangat melalui media sosial, menyediakan bantuan kepada waris, mengadakan solat hajat khas untuk mereka yang terlibat dan sebagainya.
Pihak berkuasa di Malaysia, melalui agensi-agensi berkaitan juga telah berusaha sedaya-upaya dan bersungguh-sungguh dalam mengesan kedudukan pesawat yang hilang tersebut.
Sentimen sama turut dikongsi oleh masyarakat antarabangsa. Ini dapat dilihat dengan sokongan dari negara-negara yang terlibat dalam operasi mencari pesawat yang masih berjalan. Masing-masing menghantar bantuan walau tidak diminta.
Ada negara yang walaupun rakyatnya tidak termasuk dalam senarai penumpang MH370 namun turut menyertai misi mencari dan menyelamat. Begitu juga, pemimpin antarabangsa menzahirkan simpati. Ini menjadi bukti bahawa setiap manusia mempunyai suatu fitrah yang serupa iaitu mengasihi dan menyayangi atas dasar kemanusiaan.
Ketiga, doa adalah senjata orang mukmin. Insiden kehilangan pesawat MH370 memberi petunjuk kepada kelemahan manusia. Apabila sudah tidak memperolehi sesuatu setelah berusaha sedaya upaya, manusia akan menyerahkan segalanya kepada tuhan. Itulah konsep tawakal yang dianjurkan oleh Islam.
Sesungguhnya Allah amat suka melihat hamba-Nya menadah tangan memohon pertolongan daripada-Nya kerana itu bukti pengiktirafan kita kepada ketuhanan Allah dan kehambaan kita.
Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 186: "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka), sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul."
Begitulah besarnya fadilat berdoa kepada Allah SWT. Bahkan dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW menjelaskan bahawa takdir yang Allah tentukan boleh berubah dengan doa seseorang. "Tidak ada yang dapat menolak takdir (ketentuan) Allah selain doa. Dan tidak ada yang dapat menambah (memanjangkan) umur seseorang selain (perbuatan) baik." (Hadis riwayat Tirmidzi 2065).
Justeru, insiden kehilangan pesawat MH370 harus dilihat dari sudut positif walaupun pada hakikatnya tiada siapa yang inginkan ia berlaku. Ini kerana, sebagai seorang hamba, kita tidak memiliki apa-apa melainkan semuanya dimiliki oleh Allah. Sebagai pemilik alam semesta termasuk diri kita, Allah lebih berhak menentukan urusan hidup kita serta lebih memahami apa yang terbaik untuk kita berbanding diri kita sendiri.
Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 216: "Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."
Marilah sama-sama kita terus berdoa kepada Allah agar dipermudahkan usaha-usaha mencari pesawat MH370 serta diberi kekuatan kepada pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat. Juga kita doakan agar ahli keluarga mereka yang terlibat dengan insiden ini tabah dan sabar menempuhi saat sukar sebegini. Mudah-mudahan ada hikmah dan pengajaran besar yang kita perolehi daripada insiden ini.
Oleh NISAR MOHAMMAD AHMAD
Penyelidik Tamu, Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Sumber: Utusan
Melaksanakan solat hajat bagi memohon pertolongan Allah agar semua penumpang dan anak kapal pesawat MH370 berada dalam keadaan selamat. Moga Allah memperkenankan permohonan tersebut. Amin.
Terus Berdoa Dan Pasrah
KEHILANGAN pesawat Malaysia Airlines (MH370) pada awal pagi Sabtu 8 Mac, 2013 lalu merupakan musibah antarabangsa. Musibah itu tidak hanya dirasakan oleh rakyat negara ini tetapi semua komuniti manusia tanpa sempadan geografi dan batasan nasionalisme.
Kita semua tenggelam dalam arus kesedihan dan kerisauan akan nasib semua penumpang pesawat kebanggaan negara. Atas nama solidariti kemanusiaan, semua rakyat berbilang agama dengan caranya masing-masing berdoa untuk keselamatan para penumpang semoga tragedi dapat dielakkan dan pesawat segera dapat ditemukan.
Kejadian ini telah membimbing kita untuk kembali mengingat Allah SWT, Tuhan yang Maha Kuasa. Oleh itu, kita dapat melihat serangkaian ritual keagamaan telah dilakukan oleh pelbagai pihak dan di banyak tempat apabila keberadaan pesawat MAS masih dalam misteri meskipun misi operasi pencarian memasuki hari keenam pada hari ini.
Sesungguhnya musibah, kesedihan, dugaan dan ujian merupakan manifestasi bentuk kasih sayang Allah kepada makhluk-Nya. Ia merupakan petanda akan datangnya limpahan rahmat Allah. Kerana itu, bersyukurlah apabila musibah datang kerana Allah sedang menyayanginya.
Perkara ini tegas dinyatakan Allah dalam firmannya: Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar" (al-Baqarah:154).
Namun, nilai keimanan kita dikira sebagai berjaya sekiranya kita lulus daripada dugaan yang diberikan Allah apabila kita menerimanya dengan bersabar, bertawakal dan qanaah menerima ketentuan Allah.
Namun, limpahan rahmat Allah tidak diberikan kepada kita sekiranya kita tidak menerima musibah itu dengan menghamun, memaki dan menyalahkan ketentuan qada dan qadar. Tiada seorang pun manusia dan apa-apa kuasa lain dapat menolak ketentuan itu.
Justeru tatkala seorang Muslim tabah menerima musibah, ia dinilai oleh Allah dengan penilaian yang tinggi. Makin besar musibah yang dihadapinya dan makin kuat kesabaran ia menghadapinya, makin besar pahala yang akan diterimanya.
Dalam menghadapi sesuatu musibah, kesabaran merupakan kunci utama yang dikurniakan Allah kepada umat manusia bagi menghadapi dugaan ini. Dalam banyak ayat al-Quran, sabar sering dirangkaikan dengan solat agar mereka yang ditimpa musibah memperoleh pertolongan Allah.
Manusia adalah makhluk yang memiliki naluri cemas dan mengharap. Kita sering memerlukan sandaran, lebih-lebih lagi saat cemas menimpa diri. Kenyataan sehari-hari membuktikan bahawa bersandar kepada makhluk meskipun betapa kuat kuasanya, ia seringkali tidak membuahkan hasil. Yang mampu memberi hasil hanyalah Allah semata-mata.
Menghadapi kebuntuan pencarian pesawat MAS ini, tidak ada cara lain selain kita berserah diri dan mengembalikan segala perkara kepada Allah. Dengan situasi yang diburukkan dengan semakin banyaknya spekulasi oleh pelbagai pihak, jalan satu-satunya yang kita perlukan saat ini adalah semakin memperhebat doa, munajat dan solat hajat.
Tentu saja, kita tidak meminggirkan begitu sahaja usaha-usaha yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa untuk terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat pesawat berkenaan.
Orang yang beriman sering berdoa dengan disertai usaha. Dia sedar bahawa usahanya akan sia-sia jika tiada perkenan dan izin Allah. Begitu juga doanya tidak akan dimakbulkan tanpa ada usaha daripada dirinya. Oleh itu, usaha sahaja tidak mencukupi tanpa penyertaan diri kepada Allah dan doa sahaja juga tidak cukup tanpa adanya usaha.
Doa adalah alat untuk menjalin hubungan komunikasi langsung antara manusia sebagai hamba dan Allah sebagai Pencipta. Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang memerintahkan agar manusia berdoa kepada Tuhannya.
Antara lain firman Allah: Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan dengan (suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas" (Surah al-Araf ayat 55).
Begitulah dengan para Rasul dan Nabi memberi kesaksian sudah menemui cahaya melalui doa-doa dan tidak mungkin mereka hidup tanpa itu. Dan kini berjuta-juta manusia menemukan satu-satunya kepuasan hidup dalam doa dan sembahyang.
Berdoalah berulang-ulang dan jangan cepat merasa tidak dimakbulkan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Doa kamu akan dimakbulkan selagi tidak tergesa-gesa. Lalu ada yang berkata: Saya sudah berdoa tetapi belum juga dipenuhi." Jawab Nabi: Jika engkau berdoa, berdoalah sekerap mungkin. Engkau berdoa kepada Dzat yang mulia. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Doa Nabi Ayub a.s yang didatangi pelbagai dugaan, sangat menarik dihayati. Ingatlah akan hamba Kami, Ayub, ketika dia menyeru Tuhannya, Sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan kepayahan dan seksaan."
Perhatikanlah bagaimana beliau tidak menyatakan bahawa yang menjadikannya sakit dan ditimpa pelbagai cubaan adalah Allah, tetapi syaitan. Sebabnya kerana sangat tidak wajar menisbahkan keburukan kepada Allah.
Kita patut mencontohi kecekalan Nabi Yunus ketika berdepan situasi genting pada saat dirinya dimakan ikan gergasi. Satu cerita nubuwwah yang begitu popular dalam kalangan umat Islam termasuk di kalangan kanak-kanak.
Nabi Yunus hanya pasrah dan berdoa tiada hentinya kepada Allah untuk keselamatannya. Kita juga patut meneladani kekentalan mental Nabi Zakaria ketika tidak pernah putus asa berdoa untuk diberi keturunan.
Kedua cerita Nabi itu memberi pengajaran kepada kita agar tidak cepat menyerah dan putus asa terhadap situasi buruk yang berlaku kepada kita.
Harapan dan ketakutan adalah dua entiti yang menggambarkan diri kita. Kita mempunyai pilihan untuk memilih salah satunya. Jika kita merasai ketakutan dan kesedihan, bermakna kita telah menciptakan gambaran penderitaan dalam fikiran kita.
Gambaran itu akan mempengaruhi keyakinan bahawa kita tidak berdaya, lemah, menyedihkan dan mudah putus asa sehingga akhirnya perkara buruk segera terjadi.
Tetapi, sekiranya kita melatih fikiran yang positif dan optimistik, maka kita tengah membentuk masa depan yang baik. Sebagai contoh, ketika kita menghadapi kesulitan, maka kita perlu berfikir Allah bersamaku dan Dia memiliki kekuatan yang tidak terbatas.
Allah akan mengubah segala sesuatu dengan cara yang terbaik kepada kita". Ini sesuai dengan firman Allah: Dan siapakah yang berputus asa dari rahmat Tuhannya kecuali orang yang sesat?" (Surah al-Hijr, ayat 56).
Suatu hal luar biasa yang hanya terjadi sesekali, kita jadikan ia sebagai petanda-petanda daripada Allah. Akan tetapi, apabila itu terjadi berulang-kali, kita lupa pula menjadikan sebagai petanda ataupun petunjuk yang seharusnya menjadikan kita sebagai manusia yang dikasih-Nya.
Tidak dapat ditolak oleh kewarasan akal bahawa pada hakikatnya, segala sesuatu adalah tanda-tanda daripada-Nya dan tanda-tanda kebesaran serta kekuasaan-Nya.
Oleh: Mohd Shauki Abd. Majid
Pengurus Besar Analisa dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
Sumber: Utusan Hanya Allah Tempat Bergantung
Walaupun pelbagai kaedah telah diambil untuk mengesan pesawat MH370 yang hilang termasuk menggunakan bantuan teknologi dari dalam dan luar negara, namun masih menemui jalan buntu.
Justeru, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, umat Islam disaran agar memperbanyakkan bertaubat dan berdoa memohon petunjuk daripada Allah SWT bagi membantu menyelesaikan kes tersebut.
Islam menyeru semua umat Islam untuk berdoa dengan sesungguh berdoa, kembali memohon, merintih dan memperbanyakkan taubat kepada-Nya. Sebagaimana merujuk kisah Nabi Yunus a.s yang terpenjara di perut ikan Nun.
Baginda tidak berhenti-henti bertaubat dan bertasbih kepada Allah SWT dengan tasbih, Laailahaillaanta subhanainni kuntum minazzalimin (Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk orang-orang yang zalim).
Manakala doa yang juga boleh kita amalkan adalah merujuk kepada ayat 10 surah al-Kahfi yang bermaksud: Ya tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisiMu dan sempurnakanlah pentunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami," katanya.
Tambahnya, umat Islam harus menyakini bahawa Allah SWT adalah sebaik-baik tempat bergantung dan bertawakal tanpa berputus asa dengan keputusannya.
Setelah segala usaha pencarian dengan upaya manusia melalui ilmu sains, kepakaran dan teknologi sedang giat dijalankan, maka kita sebagai hamba Allah SWT harus terus berdoa bermohon kepada Allah SWT Yang Maha Kuasa.
Selain itu, saya juga memohon agar para alim ulama dan seluruh ahli keluarga penumpang pesawat di Malaysia untuk turut sama berdoa dan memohon kerana doa adalah senjata bagi orang beriman.
Oleh itu, marilah kita kembali menjadi hamba yang mengakui kebesaran dan kekuasaan Allah dengan berdoa dan solat hajat secara istiqamah, bersabar dan juga bertawakal," ujarnya.
Othman turut menasihati masyarakat agar tidak melakukan apa-apa tindakan atau perbuatan yang bercanggah akidah dan syariat dalam usaha membantu mencari pesawat MH370 itu.
Sumber: Utusan
0 comments:
Catat Ulasan