27 Disember 2014

Hikmah Bencana Tsunami Acheh 2004

GAMBAR bertarikh 16 Januari 2005 menunjukkan keseluruhan kawasan
GAMBAR bertarikh 16 Januari 2005 menunjukkan keseluruhan kawasan berhampiran masjid di Daerah Lampuuk, Banda Aceh musnah teruk akibat malapetaka tsunami pada 26 Disember 2004.

DALAM sekelip mata, kira-kira 286,000 orang dari 14 buah negara termasuk Malaysia terkorban, beberapa buah bandar dan penempatan berhampiran Lautan Hindi turut musnah - seperti padang jarak padang tekukur.

Semuanya kerana malapetaka Tsunami Lautan Hindi 2004, iaitu antara bencana alam terburuk dalam sejarah dunia. Impaknya terlalu besar yang dikatakan menyamai tenaga 23,000 butir bom atom yang dijatuhkan di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun pada Perang Dunia Kedua.

Dengan sebab itulah, tarikh 26 Disember setiap tahun sentiasa diingati dan diratapi oleh setiap umat manusia. Pada 26 Disember, 2014, genaplah 10 tahun malapetaka Tsunami Lautan Hindi 2004, bencana alam yang sering berlaku di Lautan Pasifik, namun amat jarang terjadi di Lautan Hindi.


Pada 26 Disember 2004, satu gempa bumi sebesar 9.0 skala Richter berlaku sekitar 8.59 pagi (waktu Malaysia) dengan pusat gempa terletak kira-kira 160 kilometer dari barat Aceh.

Kejadian di dasar Lautan Hindi itu mengakibatkan berlakunya ombak besar tsunami yang membadai dengan kelajuan yang dianggarkan melebihi 800 kilometer sejam dan ketinggian menyamai lima tingkat bangunan, ombak besar tsunami itu menghempas pantai dan daratan di Indonesia, Sri Lanka, India, Thailand, Maldives dan Malaysia serta sebahagian Afrika.

Daripada catatan mangsa yang terselamat dalam tragedi itu, terma­suk pasukan penyelamat dan suka­re­lawan yang terlibat secara langsung, mereka menggambarkan situasi yang dikenang sehingga bila-bila itu seperti kiamat kecil dengan mayat-mayat yang membusuk bergelimpangan di merata-rata tempat, harta benda yang musnah juga tidak terbilang hinggakan terlalu sukar untuk difikirkan oleh akal waras manusia.

Tsunami berasal daripada perkataan Jepun ‘Tsu’ bermaksud pe­la­buhan, manakala ‘Nami’ memba­wa maksud gelombang. Jika di­­­ga­bungkan, kedua-dua perkataan itu ia membawa maksud ‘Gelombang Pelabuhan’.

Kematian dan kerosakan telah berlaku, sesuatu yang tidak boleh diundurkan lagi, namun malapetaka itu tidak mustahil bakal kembali berulang. Apa yang tinggal kini ialah keupayaan dan persediaan manusia yang masih hidup ini untuk meminimumkan kerosakan berdasarkan kepada pengajaran berguna yang diperoleh daripada pengalaman pahit itu.

Malapetaka itu yang semestinya membawa keburukan, namun pada masa sama turut membawa kebaikan kepada umat manusia termasuk negara ini yang mengambil langkah proaktif memasang sistem amaran awal tsunami sejak 2005 dengan modal pelaburan kira-kira RM40 juta. Teknologi canggih itu setan­ding dengan sistem yang diguna pakai oleh negara-negara maju.

Empat lokasi iaitu perairan Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Sulu dan perairan Semporna dipasang dengan boya yang merupakan komponen utama di bawah Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM), sekali gus mampu mengeluarkan amaran awal kepada penduduk di kawasan pantai sekiranya berlaku tsunami .

Sistem ini juga digabungkan dengan sistem amaran awal bencana lain seperti cuaca buruk dan laut bergelora yang diperoleh daripada 14 buah stesen seismik di seluruh negara se­perti di Kulim, Kedah; Kluang, Kota Tinggi, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu; Kuching, Sibu, Bintulu di Sarawak; Kota Kinabalu, Kudat, Lahad Datu, Tawau di Sabah.

Pada masa sama terdapat enam buah stesen tolok pasang surut dan empat buah kamera pantai di kawasan strategik yang mampu memberikan amaran dalam beberapa minit selepas berlakunya gempa bumi.

Keupayaan itu terbukti apabila penduduk berdekatan menerima amaran awal semasa kejadian gempa-gempa bumi kuat yang berlaku di Pulau Nias, Sumatera pada 28 Mac 2005; Pengandaran, Pulau Jawa pada 17 Julai 2006; Taiwan pada 26 Disember 2006; dan Bengkulu, Sumatera pada 12 September 2007.

Selain itu, mangsa-mangsa tsunami berhampiran pantai di negara ini yang kehilangan rumah akibat musnah dibadai arus terutamanya di Kuala Muda, Kedah turut diberikan penempatan semula iaitu rumah teres yang lebih baik daripada asal oleh kerajaan melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Bagi Aceh, Sumatera Indonesia yang paling teruk terjejas apabila hampir suku juta penduduknya terbunuh, situasi pasca tsunami wilayah autonomi itu pada masa ini lebih baik dibandingkan dengan keadaan sebelum tercetusnya malapetaka menyayat hati itu.

Tsunami di wilayah itu telah mewujudkan hubungan baik antara Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dan kerajaan Indonesia, sekali gus menamatkan peperangan selama tiga dekad yang menjejaskan kehidupan 15,000 orang penduduk di wilayah itu sebelum berlakunya malapetaka dahsyat itu.

Selepas beberapa bulan tsunami berlaku, tanggal 17 Julai 2005, perjanjian damai dimeterai antara ke­dua-dua pihak, Aceh diberikan kuasa autonomi untuk memerintah sendiri. Antara terma perdamaian itu, sebanyak 70 peratus hasil petroleum daripada perut bumi wilayah itu di­serahkan kepada pemerintahnya dan beberapa lagi syarat yang menguntungkan kedua-dua pihak.

Rentetan daripada itu juga, Agensi Pembangunan Aceh-Nias (BRR) Indonesia memperuntukkan sebanyak AS$6.7 bilion (RM23.4 bilion) bagi tujuan pembangunan dan pemulihan akibat tsunami di wilayah itu. Peruntukan tambahan sebanyak AS$7.2 bilion (RM25 bilion) pula diperoleh daripada tabung bantuan pinjaman untuk membina semula 125,000 buah rumah dan kemudahan asas lain, termasuk sekolah, jalan dan jambatan.

Melalui BRR, pelbagai pembangunan dan kemudahan asas dirancang hasil sumbangan badan bantuan tempatan dan antarabangsa untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Di Thailand, kerajaan negara itu menganggarkan sebanyak 8,212 ora­ng terbunuh dengan 2,817 orang hilang apabila enam wilayah di negara itu dilanda malapetaka berkenaan dengan sebahagian besar daripada­nya merupakan pelancong asing yang sedang bercuti pada penghujung tahun.

Kawasan pelancongan yang terjejas teruk ialah Khao Lak, kira-kira 80 kilometer dari utara Phuket dan pulau pelancongan terkenal, Phi Phi. Selain itu, Krabi, Koh Phi Phi, Songkhla, Surat Thani, Phuket, Phang Nga, Ranong, Satun dan Trang turut terkena tempias ombak besar tsunami itu.

Semestinya malapetaka Tsunami 2004 tidak boleh dilupakan begitu sahaja dan dianggap sebagai sekadar fenomena biasa alam semula jadi. Sesuatu yang berlaku itu ada sebabnya dan seharus­nya menjadi pengajaran berguna kepada umat manusia.

Sehebat dan sekuat mana teknologi yang dimiliki manusia, sekali Allah murka segala keangkuhan hamba-Nya itu tidak berguna lagi. Manusia ini yang terlalu hina dan kerdil wajib mensyukuri setiap nikmat anugerah yang dikurniakan Ilahi.

Kekuatan Allah yang Maha Pencipta langsung tiada tolok ban­ding.

Oleh: TARMIZI ABDUL RAHIM
Sumber: Utusan

Hikmah Tsunami Aceh


Saban minggu, sekolah-sekolah akan mengadakan lawatan melihat tinggalan sejarah Aceh dan tsunami. FOTO: Koleksi peribadi penulis
Saban minggu, sekolah-sekolah akan mengadakan lawatan melihat tinggalan sejarah Aceh dan tsunami. 

Hari ini, genap sedekad peristiwa tsunami yang menggegarkan dunia itu berlaku. Bagi Mujib dan kebanyakan penduduk Aceh, ia bagaikan baru kelmarin terjadi. Bayangan ngeri itu sentiasa bermain-main di ruangan mata.

Jika kita melawat Banda Aceh kini, mungkin tidak kelihatan lagi runtuhan  akibat kejadian tersebut. Segalanya telah diperbaiki hasil sumbangan dan bantuan dari seluruh dunia. Namun, kebanyakan kesan-kesan tsunami masih dikekalkan untuk tatapan pelancong.

Mujib yang kini bertugas sebagai duta Muzium Aceh, selepas Tsunami Jepun berlaku pada tahun 2010 seorang wartawan dari media Jepun pernah bertanya, mengapa Aceh masih lagi mengekalkan tinggalan peristiwa hitam ini, bahkan dipelihara dan dijadikan monumen?

DI Jepun, segala kesan dibersihkan sehingga tiada kesan lagi.

"Mungkin orang lain melihat peristiwa ini sebagai suatu bencana alam sahaja. tetapi, bagi Aceh yang rata-rata penduduknya beragama Islam menganggap tsunami adalah satu teguran dan peringatan daripada Tuhan.

"Justeru, Aceh memelihara tinggalan akibat dari tsunami untuk dijadikan iktibar dan pengajaran kepada generasi kemudian," terang Mujib.

Rata-rata penduduk Aceh melihat tsunami lebih daripada sekadar bencana. Sebaliknya, ia adalah peluang untuk Aceh membuka kembali ‘buku baru’ bagi negeri itu dengan meninggalkan segala kepahitan yang lalu.

Buka pintu kepada dunia

Jika disingkap kembali lembaran sejarah lampau, Aceh pernah menjadi sebuah kerajaan yang hebat suatu masa dahulu.

Mujib berkata, kewujudan kerajaan Islam Samudera-Pasai (1200-1400) dan kerajaan Islam Lamuri (sebelum 1500) menjadi bukti kegemilangan Aceh. Bahkan negeri ini berfungsi sebagai pusat Islam Nusantara sebelum ia berpindah ke Melaka.

"Kerajaan Aceh Darussalam di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda adalah zaman kegemilangan tamadun Aceh. Kegemilangan ini yang kemudiannya hilang akibat penjajahan dan peperangan.

"Tsunami sebenarnya telah membawa banyak kebaikan kepada kami. Sebelum berlaku bencana ini, konflik antara kerajaan Indonesia dan Gerakan Aceh Merdeka selama lebih kurang 30 tahun memberi kesan yang buruk kepada masyarakat.

"Aceh tidak dikenali dunia kerana peperangan menutup pintu negeri ini dengan negara luar. Tetapi, tsunami membuka kembali gerbang tersebut. Berbekalkan bantuan dan sumbangan daripada pelbagai negara, kami kini berusaha bangkit menuju kemajuan," jelasnya panjang.

Tambahnya lagi, sejarah tersebut menjadi kekuatan Aceh untuk bangkit kembali. Jika dahulu Aceh pernah gemilang. Tidak mustahil, ia akan bangkit kembali.

Setelah peristiwa tersebut, negeri yang terkenal sebagai 'Serambi Makkah' ini mula mengorak langkah. Perdamaian dan deklerasi mewujudkan ruang dialog dengan kerajaan Indonesia. Aceh tidak lagi memilih jalan keras untuk merdeka.

Sebaliknya, pemberian autonomi khusus dianggap satu langkah bijak kerana Aceh boleh membangun dengan caranya sendiri.

Tsunami sebagai 'penyelamat'

"Bencana ini adalah penyelesaian yang datang daripada ALLAH kepada masalah yang melanda Aceh selama ini. Jika dahulu Aceh pernah ‘hilang’ dari mata dunia. Kini, tsunami memperkenalkan kami kembali.

"Justeru, berasaskan zaman gemilang Aceh Darussalam, kerajaan berusaha membangunkan negeri ini dengan nilai-nilai Islam. Keizinan untuk melaksanakan undang-undang syariah juga menjadi suatu pencapaian dalam menuju kembali kegemilangan Aceh.

Kunjungan ke negeri tersebut baru-baru ini, memperlihatkan kesungguhan yang bukan sekadar kata-kata. Pelaksanaan undang-undang dilihat semakin berkesan dalam mendidik masyarakat. Aceh kini menjadi destinasi pelancongan yang hebat.

Kesan tinggalan tsunami, alam semula jadi yang sebelum ini tertutup daripada pengetahuan ramai kini menjadi tumpuan pelancong di seluruh dunia. 10 tahun yang lalu mengubah wajah Aceh keseluruhannya. Walaupun pahit bagi mereka, hari ini kebanyakan penduduk Aceh mula mengerti hikmah yang tersirat di sebalik semua itu.

Sebagaimana kata nasihat daripada Pengarah Urusan Muhibbin Holiday, Ustaz Ghazali Ibrahim, yang mengetuai rombongan, apa yang berlaku di Aceh adalah iktibar kepada kita semua, tidak kira mangsa ataupun orang yang melihat tinggalan peristiwa tersebut.

"Manusia ini melihat dengan beberapa pandangan, mata, akal nafsu dan hati. Jelas, apa yang dilihat itu yang kita dapat. Jika orang berkunjung ke negeri ini hanya untuk melihat keindahan dan barangannya, pemerhatian tersebut tidak akan membawa makna yang besar dalam diri.

"Setelah tsunami dunia mula tahu mengenai Aceh yang melalui situasi sukar sejak 30 tahun dahulu. Kita mula melihat realiti sebenar pertolongan ALLAH di sebalik bencana tersebut. Maka belajarlah agar peristiwa hari ini tidak akan berulang lagi," katanya.

Menurutnya, mudah-mudahan peristiwa ini mengajar dunia perihal syukur dan sabar. Di mana kita dapat lihat harganya di sini. Juga mengajar mengenai reda dalam setiap takdir yang ditetapkan untuk kita.

Aceh kini cuba membangun dan mereka mengharapkan doa dari dunia seluruhnya. Tsunami bukan sahaja merubah geografinya. Ia turut meletakkan cita-cita dan hasrat dalam diri penduduknya memulakan hidup baru. Semoga Aceh akan kembali menjadi tamadun yang gemilang sebagaimana buminya suatu ketika dahulu.

Oleh: MOHD IRSYADI ABU BAKAR
Sumber: Sinar Harian

0 comments: