Nuff Atas

29 September 2015

Rekod Tragedi Musim Haji (1987-2015)


Tragedi runtuhan kren

IBADAH haji merupakan Rukun Islam kelima dan semua umat Islam wajib menunaikan ibadah haji di Mekah, Arab Saudi sekali seumur hidup, sekiranya berkemampuan. Ia merupakan perhimpunan keagamaan terbesar di dunia.

Namun sejak dua dekad lalu sahaja, banyak insiden yang melibatkan kematian jemaah berlaku ketika menunaikan ibadah haji haji di Mekah. Kebanyakannya akibat bilangan jemaah yang terlalu ramai.

Berikut ini dipaparkan beberapa tragedi ketika musim haji di tanah suci yang melibatkan kematian yang ramai sejak 1987.


Tahun: 1987 
Korban: 402

DALAM kejadian pada 31 Julai 1987 ini, jemaah Iran bertempur dengan pasukan keselamatan Arab Saudi, menyebabkan 402 orang terkorban. Daripada jumlah korban itu, 275 orang merupakan rakyat Iran, 85 polis Arab Saudi dan 42 jemaah dari negara lain. Ribuan jemaah lain dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut.

Pertempuran itu berlaku apabila pihak berkuasa Arab Saudi menutup laluan ke tempat yang dirancang oleh jemaah Iran untuk berkumpul bagi melakukan protes terhadap Israel dan Amerika Syarikat (AS). Sejak 1981, jemaah Iran melakukan protes terhadap dua negara itu semasa berada di tanah suci.

Berikutan keganasan itu, Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran dan mengurangkan kuota jemaah haji Iran kepada 45,000 orang daripada 150,000 pada tahun sebelumnya. Iran bertindak balas dengan tidak menghantar jemaah haji selama tiga tahun dari 1988 hingga 1990.

Pada 1991, Arab Saudi dan Iran kembali menjalinkan hubungan diplomatik selepas mencapai persetujuan untuk membenarkan jemaah Iran mengerjakan ibadah haji semula dengan bilangan jemaah dinaikkan kepada 115,000 orang. Jemaah haji Iran juga dibenarkan mengadakan demonstrasi tetapi di lokasi khusus yang dibenarkan oleh Arab Saudi.

Pada 9 Julai 1989, berlaku dua letupan di Mekah, membunuh seorang jemaah dan mencederakan 16 orang yang lain. Arab Saudi menyalahkan pengganas yang mendakwa disokong oleh Iran dan kemudian menghukum mati 16 rakyat Kuwait penganut Syiah atas kesalahan itu. Iran menafikan penglibatannya.

Tahun: 1990
Korban: 1,426

INSIDEN yang berlaku pada 2 Julai 1990 ini merupakan tragedi paling memilukan dalam sejarah pelaksanaan ibadah haji dan terus dikenang sehingga hari ini. Sebanyak 1,426 jemaah haji meninggal dunia akibat bersesak-sesakan di terowong Haratul Lisan, Mina. Daripada angka korban itu, sebanyak 631 orang yang merupakan jemaah haji dari Indonesia iaitu negara yang mempunyai bilangan umat Islam terbesar di dunia.

Kejadian itu berlaku apabila jemaah yang dalam perjalanan dan yang pulang dari jamrah berebut-rebut dari kedua-dua arah untuk memasuki satu-satunya terowong yang menghubungkan tempat melempar jamrah dan Haratul Lisan.

Terowong tersebut cuma mampu menampung 1,000 jemaah dalam satu-satu masa tetapi pada masa kejadian, lebih 5,000 jemaah memasuki terowong tersebut menyebabkan berlaku kesesakan melampau.

Dalam keadaan kekurangan oksigen serta cuaca yang panas, banyak jemaah terutama mereka yang berusia pengsan dan tidak sedarkan diri manakala sebahagian lagi meninggal dunia. Ada yang terkorban akibat sesak nafas dan sebahagian lagi akibat dipijak keadaan sesak dalam terowong tersebut.

Ekoran tragedi itu, pemerintah Arab Saudi memperluas dan meninggikan terowong itu sehingga menjadi 40 meter, di samping memasang sistem pengudaraan di dalam terowong itu seperti mesin untuk menyedut udara dan membekalkan oksigen ke dalam terowong.

Tarikh: 11 September, 2015
Korban: 107

SEKURANG-KURANGNYA 107 jemaah haji maut manakala 2,380 lagi cedera selepas sebuah kren yang terletak di Masjidilharam tumbang pada 11 September 2015 lalu. Lima jemaah Malaysia turut terkorban, 10 orang cedera dan dua orang hilang dalam tragedi terbaru di tanah suci.

Jemaah Malaysia yang meninggal dunia ialah Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak; Rohana Ismail, 54, (Kuala Krai, Kelantan); Munah Jusoh, 74, (Cherang Ruku, Kelantan), Siti Nuroshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah, Kelantan dan Zainun Taha, 69, (Ampang, Selangor).

Berdasarkan laporan awal, faktor kecuaian dan ribut pasir menyebabkan kren yang digunakan untuk membesarkan Masjidil Haram bagi membolehkan ia menampung lebih ramai jemaah itu, tumbang.
Ketika kejadian, jemaah yang terkorban sedang mengerjakan ibadah tawaf dan saie di Masjidilharam.

Sebahagian mereka terbunuh akibat dihempap kren, manakala baki akibat dipijak oleh jemaah lain yang cuba menyelematkan diri dalam keadaan panik. Kejadian itu dianggap sebagai runtuhan kren terburuk dalam sejarah dunia moden.

Kerajaan Arab Saudi mengumumkan bayaran pampasan sebanyak 1 juta riyal(RM1.1 juta) kepada waris mangsa yang terkorban dan 500,000 Riyal (RM550,000) kepada setiap orang yang mengalami kecacatan kekal akibat kejadian itu.

Di samping itu, kumpulan pembinaan Binladin yang mengendalikan kren itu dan mengetuai projek pembangunan di Mekah, digantung daripada menerima projek baharu. Kementerian Kewangan Arab Saudi juga diminta menilai semula kesemua projek yang dijalankan oleh kumpulan Binladin dan menghalang semua ahli keluarga Binladin ke luar negara sehingga proses siasatan selesai.

Tahun: 1994, 1998, 2001, 2003, 2004, 2006.
Korban: 1,052

IBADAH “melontar syaitan” di jamrah menjadi upacara paling bahaya kepada jemaah haji. Sejak 1994, sekurang-kurangnya 1,052 jemaah haji kehilangan nyawa semasa melakukan ibadah itu, kebanyakannya meninggal dunia akibat dipijak semasa berhimpit-himpit di situ.

Pada 23 Mei 1994, kesesakan di situ membunuh 270 jemaah, 9 April 1998 (118 orang maut dan 180 orang cedera), 5 Mac 2001 (35 orang terkorban) dan 11 Februari 2003 (14 orang maut).

Pada 1 Februari 2004, sebanyak 251 jemaah lagi terkorban dan 244 orang cedera semasa melakukan ibadah itu akibat berhimpit-himpit selama 27 minit. Walaupun Kerajaan Arab Saudi memperkenalkan peraturan baharu bagi mengelak kejadian sama berulang, sebanyak 346 jemaah maut dan sekurang-kurangnya 289 orang lagi cedera semasa melakukan ritual itu pada 12 Januari 2006.

Semua tragedi itu berlaku disebabkan kesesakan di Jambatan Jamrah yang yang digunakan oleh jemaah untuk melontar di jamrah. Ada masanya, bilangan jemaah melebihi sejuta orang di situ.

Jambatan itu mula dibina pada 1963 dan telah banyak kali dinaik taraf untuk kemudahan jemaah.
Selepas insiden pada 2006, Kerajaan Arab Saudi menaik taraf jambatan itu sekali lagi bagi membolehkan tempat itu menampung 300,000 jemaah dalam satu-satu masa ketika ibadah melontar di jamrah. Sejak jambatan itu dinaik taraf, belum ada kematian dilaporkan berlaku ketika jemaah melontar di jamrah.

Tarikh Artikel: 20 September 2015
Sumber: Utusan

Tarikh: 24 September, 2015
Korban: 717

Tragedi memilukan yang kedua berlaku pada 10 Zulhijjah sehari selepas hari wukuf. Ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha, lebih 717 jemaah yang dalam perjalanan keluar melontar Jamrah Kubra maut akibat rempuhan manusia.

Kira-kira 900 lagi mengalami kecederaan. Kebanyakan mangsa ialah warga Iran, Maghribi, India, Pakistan, Algeria, Indonesia dan Belanda.

Tidak banyak berita susulan mengenai kejadian tersebut dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan selepas itu. Kalau pun ada hanya jumlah angka kematian.

Sumber: Utusan

1 comments:

Roziah Muhammad Nor berkata...

Allah nak uji hambanya.