23 Oktober 2012

Kesan Penggunaan Antibiotik Tanpa Preskripsi Doktor



Ketika kebimbangan dunia meningkat akibat ancaman superbug atau bakteria kebal terhadap antibiotik, terdapat farmasi di negara ini yang menjual antibiotik sewenang-wenangnya kepada orang ramai tanpa preskripsi doktor.

Mereka menjual antibiotik yang dikawal tanpa menerangkan dos penggunaannya, sekali gus membuka ruang penyalahgunaan antibiotik.

Penggunaan antibiotik tidak betul terhadap penyakit yang bukan disebabkan jangkitan bakteria, terutama demam dan selesema, boleh menyebabkan bakteria berevolusi genetik dan menjadi kebal terhadap antibiotik serta sukar dimatikan.

Sumber: BHarian


Tindakan Tatatertib Jika Jual Antibiotik Tanpa Preskripsi Doktor

Kementerian Kesihatan akan mengenakan tindakan tatatertib ke atas klinik atau farmasi yang didapati menjual antibiotik sewenang-wenangnya kepada orang ramai tanpa preskripsi doktor.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pihak kementerian sudah mengeluarkan arahan kepada semua doktor sebelum ini agar menggunakan antibiotik secara berhemah dan berhati-hati.

"Pengeluaran antibiotik hanya pada penyakit-penyakit tertentu sahaja, doktor atau pihak klinik serta farmasi telah diarahkan tidak boleh mengeluarkan preskripsi dengan sewenang-wenangnya.

"Ini bagi mengelakkan bakteria menjadi kebal terhadap antibiotik serta berbahaya jika diambil oleh pesakit tanpa nasihat daripada doktor," katanya.

Sumber: Utusan [21/10/2012]

Antibiotik jadi racun


ANTIBIOTIK tidak mengenal musuh. Ia boleh menghapuskan bakteria baik dan bakteria jahat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengingatkan rakyat Malaysia supaya bijak dalam pengambilan antibiotik bagi mengelakkan ancaman bakteria superbug yang boleh membawa maut.

Jelasnya, pengambilan ubat antibiotik secara tidak betul bakal meningkatkan kes Antimicrobial Resistance (AMR) atau kebal terhadap ubat antibiotik sekali gus membentuk bakteria superbug dalam tubuh pesakit.

“Ancaman superbug yang boleh menyerang bila-bila masa berikutan peningkatan penggunaan antibiotik dalam kalangan masyarakat sejak kebelakangan ini merupakan satu situasi yang sangat membimbangkan.

“Apatah lagi, ada rakyat negara ini yang mengambil antibiotik secara salah. Mereka gunakan antibiotik tanpa merujuk doktor terlebih dahulu. Ada juga yang tidak menghabiskan antibiotik mengikut masa yang ditetapkan.

“Penting untuk orang ramai tahu bahawa pengambilan antibiotik yang tidak tepat boleh menyebabkan kes AMR meningkat dan mewujudkan bakteria superbug,” katanya pada sidang akhbar sempena pelancaran Kempen Pengawalan AMR Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, kajian Kementerian Kesihatan pada tahun lalu mendapati, penolakan bakteria superbug jenis Acinetobacter terhadap antibiotik meningkat kepada 57.4 peratus.

Pantau pemberian

Kajian sama turut mencatatkan peningkatam kadar penolakan bakteria superbug jenis Streptococcus pneumonia terhadap antibiotik kepada 30.9 peratus.

Disebabkan peningkatan peratusan penolakan tersebut, Kementerian Kesihatan telah mengarahkan semua hospital dan klinik supaya membuat pemantauan rapi dalam pemberian antibiotik kepada orang ramai untuk mengelak ancaman superbug.

Tiong Lai juga meminta doktor supaya tidak memberi antibiotik secara sembarangan kepada pesakit.

“Kita dapati ada doktor atau farmasi yang memberi antibiotik kepada pesakit sebagai persediaan sedangkan pesakit tidak memerlukan antibiotik.

“Harus diingat, farmasi yang memberi antibiotik kepada pesakit yang tidak memerlukannya, boleh dikenakan tindakan tatatertib,” ujar beliau.

Sebelum ini, sudah ada beberapa kes jangkitan daripada spesies Escherichia coli (E. coli) dan Klebsiella pneumoniae (K. pneumoniae) yang merangkumi 0.2 peratus jumlah kes jangkitan di seluruh negara.

Hakikatnya, penularan bakteria superbug yang kebal kepada antibiotik di negara ini masih baharu berbanding India, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Sweden, Australia dan Belanda.

Pada tahun 2009, jangkitan bakteria superbug mula dikesan pada seorang pesakit yang dijangkiti bakteria K. pneumoniae di sebuah hospital di New Delhi.

Kemunculan superbug Gram-negatif daripada kumpulan bakteria usus atau Enterobactereacea ini dikesan berbeza dengan kumpulan Gram-positif superbug Methicillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA) yang sering menimbulkan masalah ketahanan antibiotik sebelum ini.

Menurut kajian, gen NDM-1 mampu melompat antara spesies bakteria usus. Malah tiga spesies telah dikenal pasti mampu membawa gen tersebut iaitu E. coli, K. pneumoniae dan spesies Salmonella.

Evolusi gen baharu ini dikaitkan dengan pengambilan antibiotik yang tidak betul atau terlebih dosej daripada yang ditetapkan doktor.

Sementara itu, seorang pakar bakteriologi, Datuk Dr. Lim Thuang Seng berkata, sejarah perubatan menunjukkan beberapa jenis superbug yang dikesan sebelum ini telah merebak dari hospital.

“Disebabkan itu, amat penting supaya hospital di negara ini menjalankan proses pensterilan mengikut jadual yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan superbug,” katanya.

Selepas kes tiga rakyat Australia dan 37 rakyat Britain yang pernah melawat India dijangkiti kuman NDM-1 pada tahun 2010, banyak pihak melahirkan kebimbangan bahawa superbug tersebut akan menjadi pandemik paling bahaya di dunia kerana keupayaan superbug menghasilkan enzim yang dapat menentang antibiotik.

Untuk mengelak perkara sama berulang, pengambilan antibiotik perlulah mendapat nasihat daripada doktor. Tidak semua penyakit memerlukan antibiotik untuk sembuh.

Ada juga ibu bapa yang terlalu menekan doktor supaya memberi antibiotik jika anak mereka demam mahu pun selesema sedangkan jikalau ibu bapa tahu betapa teruknya kesan Steven Johson Syndrome, sejenis lecuran kulit disebabkan alahan antibiotik, pasti anda lebih berhati-hati dan tidak sembarangan mengambil antibiotik.

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
Sumber: Kosmo

3 comments:

teha berkata...

bahaye jugak yee.. hihihi

Unknown berkata...

susah nk bezakkan ubat yg betul2 asli kt pasaran

caliph shuriken berkata...

yup, mana bole suka2 makan antibiotik.. masalah lain timbul nanti...