28 Februari 2013
Hospital Pengajar UIAM Mercu Pengamalan Konsep Syariah
Kulliyyah of Medicine UIAM ~ [Gambar Kredit: jimie1402.blogspot.com]
Bagaimana seseorang Islam hendak bersembahyang apabila anggota badan mereka dalam keadaan tidak boleh bergerak dan terlentang di katil sahaja kerana sakit?
Bagaimana pula hendak mengambil wuduk sebelum sembahyang apabila kaki dan tangan berbalut? Bagaimana seorang wanita yang sedang kesakitan hendak bersalin hendak sembahyang apabila masuk waktu sembahyang?
Biarpun bukan mewakili suara majoriti, namun masih ada antara kita (orang Islam) mempunyai persepsi mahupun anggapan bahawa kesakitan dihadapi sebagai alasan untuk tidak mengerjakan ibadat itu.
Walhal, ia antara satu tunjang Fardu Ain, yakni wajib melaksanakannya walau dalam apa keadaan sekalipun tanpa alasan. Tidak kiralah jika anda dalam keadaan sakit, musafir dan sibuk.
HOSPITAL PENGAJAR
Bagi mereka yang mempunyai keluarga berpengetahuan akan kaedah menunaikan sembahyang ketika terlantar sakit, perkongsian atau pengajaran caranya boleh dilakukan antara mereka. Namun, bagaimana pula dengan mereka yang tidak ada keluarga ataupun pengetahuan agamanya kurang?
Untuk bertanya doktor mahupun jururawat akan kaedah sembahyang ketika terlantar sakit di hospital, ia bukanlah aspek kelaziman ekoran pertanyaan biasanya lebih menjurus perihal keadaan diri, ubat serta makluman mengenai hari keluar wad.
Biarpun Islam mewajibkan setiap umatnya menunaikan sembahyang walau dalam apa keadaan sekalipun, namun ia tidaklah membebankan malah diberi kelonggaran menerusi kaedah pengerjaan solat ketika waktu sakit mengikut kemampuan masing-masing.
Contohnya, seseorang pesakit yang menghadapi kesukaran untuk sembahyang secara berdiri boleh bersembahyang secara duduk. Bagi mereka yang susah untuk rukuk atau sujud boleh melakukan secara yang disarankan.
Semua itu adalah antara yang disarankan dalam Islam bagi mereka yang sakit atau tidak mampu dan hospital pengajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Bandar Indera Mahkota di sini dijangka menjadi pilihan.
Ini kerana, perkhidmatan yang ditawarkan adalah berkonsepkan pematuhan syariah (syariah dirujuk sebagai hukum Islam) dan ini termasuklah aspek pengajaran latihan sembahyang kepada pesakit.
Dijangka beroperasi pada awal tahun 2016, hospital pengajar UIAM bernilai RM413 juta dengan 300 katil itu bakal dilengkapi dengan perubatan moden dan pelbagai kemudahan lain.
Antaranya 20 dewan bedah, 10 dewan bersalin, unit haemodialisis, makmal patologi, pengimejan (MRI), Angiografi, CT Scan dan Flouroscopy), rehabilitasi dan klinik pakar.
UMAT Islam dituntut untuk menunaikan solat walau apa juga keadaan mereka seperti yang digariskan syariat. - Gambar hiasan
KONSEP NILAI SYARIAH
Istimewanya hospital pengajar ini, perkhidmatan ditawarkan bukan sahaja berlandaskan kepada konsep syariah dengan penekanan halal, berkualiti malahan kemudahan komprehensif akan disediakan kepada pesakit beragama Islam dalam mengerjakan sembahyang.
Ia tidak sekadar terangkum kepada penyediaan ruang solat, bahkan pesakit yang tidak dapat atau tidak terdaya bergerak ke surau akan diberi penerangan ataupun ajaran kaedah menunaikan sembahyang di atas katil oleh doktor, jururawat mahupun pelajar perubatan.
Menariknya lagi, komposisi atau susunan katil ini akan menghadap kiblat sekaligus memudahkan pesakit beragama Islam untuk mengerjakan antara satu rangkaian Fardu Ain itu.
Rektor UIAM, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin berkata bagi mengaplikasikan integrasi perspektif Islam dalam perkhidmatan perubatan, adalah penting bagi doktor, jururawat serta pelajar perubatan mempunyai pemahaman, pengetahuan akan perkara berkenaan.
Menyedari kepentingan ini, setiap pelajar perubatan UIAM diwajibkan mengambil mata pelajaran 'Islamisation of Human Knowledge'.
Berbentuk lebih praktikal, mata pelajaran ini akan mengajar atau melengkapkan komuniti pelajar perubatan ini dengan hukum atau kaedah menunaikan solat ketika sakit termasuklah tatacara tayamum (sebagai ganti wuduk bagi orang sakit yang tidak dapat menggunakan air).
Menurut Timbalan Rektor (Akademik dan Perancangan), Prof Datuk Dr Md Tahir Md Azhar, pengaplikasian pengetahuan kaedah menunaikan solat ketika sakit boleh dilakukan secara komprehensif oleh kakitangan, pelajar perubatan apabila beroperasinya hospital ini.
"Kursus kami lebih praktikal kerana kalau sekadar ceramah, sesiapa sahaja boleh bagi. Tetapi apabila disuruh buat (mengajar pesakit sembahyang), mereka (pelajar perubatan) kekok. Disebabkan itulah, perlunya praktikal," katanya.
MELAHIRKAN LEBIH RAMAI PAKAR PERUBATAN
Kewujudan hospital pengajar UIAM mesra ibadat ini tidak bertujuan untuk bersaing dengan hospital awam, tetapi ia dilihat sebagai pelengkap perkhidmatan perubatan menerusi kepakaran berkaitan.
Selain itu, memiliki hospital pengajar akan memudahkan pelajar perubatan mengaplikasikan pengetahuan dimiliki mereka serta membuka lebih ruang dan pendedahan berkaitan dengan dunia berkenaan.
Presiden UIAM Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata penubuhan hospital ini juga bakal menjadi gerbang pintu kepada usaha-usaha penyelidikan. Dalam pada masa sama, khidmat perubatan kepada masyarakat tidak akan diabaikan khususnya berkaitan dengan perkhidmatan perubatan pakar.
"Hospital ini bakal menjadi mercu tanda dalam usaha ke arah meningkatkan bidang 'medical tourism' di negeri yang bertuah ini. Ia juga akan menjadi pemangkin dalam memacu pertumbuhan dan kemajuan bidang perubatan dan sains kesihatan di Pahang," katanya.
Sememangnya, menjadi impian setiap universiti yang menawarkan kursus perubatan untuk memiliki hospital pengajar mereka sendiri.
Oleh Sakini Mohd Said
Sumber: BERNAMA
Labels:
Indahnya Islam,
Pendidikan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 comments:
menarik...
perkongsian yang bagus...
Dulu masa sy kerja di HSNZ ade kursus yang dianjurkan utk staff ttg cara2 mengajar pesakit untuk solat di wad...
*sy tertanya2 siapakah empunya blog ni ye....
Tq sudi berkunjung ke blog kaler PINK saya:)
Catat Ulasan