17 Februari 2013

Meteor Jatuh Di Chelyabinsk Rusia


Gambar yang disediakan www.chelyabinsk.ru menunjukkan dengan jelas hujan meteor yang melanda bandar Ural, di Chelyabinks.

Sebutir tahi bintang (meteor) seberat 11 tan jatuh di kawasan padat dengan penduduk di bandar Chelyabinsk, pergunungan Ural (bahagian tengah Rusia), kira-kira 1,500 kilometer dari Moscow sebelum ia meletup pada awal pagi 15 Februari 2013 menyebabkan lebih 1,000 orang cedera.

Tahi bintang itu mempunyai kelajuan 54,000 kilometer sejam dan meletup pada ketinggian 30 hingga 50 kilometer di udara, kata Akademi Sains Russia.

Serpihan besar batu angkasa itu dikatakan mempunyai kekuatan menyamai kekuatan 30 butir bom nuklear yang digugurkan di bandar Hiroshima ketika Perang Dunia Kedua.

Ia bersepai berpuluh-puluh kilometer di atas Bumi, namun serpihannya dipercayai terhumban ke beberapa tempat di wilayah perindustrian itu.

Tujahan meteor itu menghasilkan gelombang kuat yang memecahkan tingkap kaca lebih 5,000 bangunan di wilayah tengah Rusia dan juga mencederakan lebih 1,200 penduduk tempatan.


Letupan itu menyebabkan kaca pecah di banyak tempat, kata Kementerian Kecemasan Russia yang mengesahkan 34 orang terus dirawat di hospital, tiga daripada mereka parah.


AWAN kelihatan kesan pergerakan tahi bintang di ruang udara sebuah kampung di Bolshoe Sidelnikovo, kira-kira 50 kilometer dari Chelyabinsk.

Kebanyakan daripada mangsa termasuk kanak-kanak cedera akibat terkena serpihan kaca tingkap bangunan ekoran impak letupan sebaik sahaja tahi bintang itu menghentam bumi.

Kuasa perlanggaran tahi bintang yang dianggarkan seberat 11 tan metrik itu telah merosakkan banyak bangunan di enam buah bandar di wilayah Oblasts.

Ketika kejadian, sebahagian penduduk dalam perjalanan untuk pergi ke tempat kerja.

Menurut seorang koresponden agensi berita Reuters, ramai penduduk dapat menyaksikan cahaya yang terang bergerak laju sebelum kelihatan ledakan cahaya yang diikuti letupan.

Impak letupan itu menyebabkan penggera banyak kenderaan berbunyi, tingkap bangunan pecah dan gangguan pada perkhidmatan telefon bimbit.


Serpihan tahi bintang jatuh di Chelyabinsk.

Rakaman video amatur yang disiarkan di televisyen Rusia menunjukkan sebuah objek bergerak dengan laju di langit pada pukul 9.20 pagi waktu tempatan.

Objek itu meninggalkan kepulan seperti awan putih yang tebal dan boleh dilihat dari jarak sejauh 200 kilometer.

Lalu lintas tergendala pagi itu di bandar Urals, Chelyabinsk, ketika kejadian itu, menyebabkan orang ramai berlari menyelamatkan diri untuk berlindung di dalam bangunan.

Sumber perubatan berkata, kira-kira 750 penduduk mendapatkan rawatan, sementera Kementerian Bencana pula mengesahkan perkhidmatan komunikasi telefon selular tergendala buat sementara.

"Ketulan meteor tersebut bersepai di atas kawasan pergunungan tengah Rusia, Urals, dengan separuh daripadanya terbakar pada bahagian atmosfera.

"Serpihan meteor itu jatuh ke Bumi, di kawasan yang kurang penduduk di wilayah Chelyabinsk," kata pejabat kementerian itu melalui satu kenyataan.

Tingkap-tingkap bangunan pecah akibat gegaran yang berlaku dengan kira-kira 300 bangunan dilaporkan rosak, termasuk sekolah, hospital dan bangunan kilang serta stadium hoki ais.

"Pada kira-kira pukul 9.20 pagi waktu tempatan (0320 GMT) satu objek kelihatan di ruang udara pekan Chelyabinsk yang terbang dengan kelajuan yang tinggi dan membentuk ekor asap. Selang beberapa minit kedengaran bunyi dua letupan yang kuat," kata seorang pegawai kecemasan, Yuri Burenko dalam satu kenyataan.


SEBUAH bangunan runtuh akibat letupan kuat tahi bintang tersebut.

Seorang penduduk di Yekaterinburg di kawasan pergunungan Ural, Viktor Prokofiev menyatakan, ketika kejadian dia sedang memandu untuk pergi ke tempat kerja.

"Persekitaran gelap tiba-tiba cerah seperti hari siang. Saya berasa seperti 'buta' disebabkan cahaya terlampau terang," katanya.

Pegawai-pegawai kementerian berkata, sebahagian meteor itu jatuh 80 kilometer dari pekan Satki, kira-kira 100 kilometer dari barat bandar wilayah itu.

Jurucakap tentera, Yarslavl Roshupkin berkata, pihaknya menemui sebuah lubang besar enam meter lebar di tempat beberapa serpihan mengenai bumi.

Tahi bintang biasanya akan mengeluarkan bunyi sonik ketika masuk ke atmosfera kerana bergerak melebihi kelajuan bunyi.

Sekolah-sekolah di wilayah itu ditutup sepanjang hari, selepas serpihan tersebut menyebabkan cermin bangunan pecah dan suhu di bahagian tengah Rusia jatuh kepada paras18 darjah celsius.

Jabatan polis tempatan berkata, kebanyakan mangsa yang cedera mengalami luka kecil dan lebam akibat terkena kaca yang pecah.

Wilayah Chelyabinsk merupakan kawasan industri utama di tengah Rusia, dipenuhi dengan kilang-kilang dan kemudahan lain termasuk loji kuasa nuklear serta pusat penyimpanan dan merawat sisa atom Mayak.

Sementara itu, jurucakap Rosatom, syarikat tenaga nuklear Rusia berkata, operasi loji mereka tidak terjejas dengan kejadian itu.

Kementerian Kecemasan Rusia meminta para penduduk supaya jangan mendekati sebarang objek yang dipercayai serpihan tahi bintang. Tahi bintang itu jatuh ke dalam sebuah tasik dekat Chebakul, wilayah Chelyabinsk Oblast.

Tahi bintang itu jatuh pada hari yang sama sebuah asteroid 2012 DA14 yang sebesar separuh padang bola sepak bergerak mendekati bumi pada kedudukan 28,000 kilometer.

Serpihan kecil komet atau asteroid yang bergerak dalam sistem suria dikenali sebagai meteoroid. Apabila meteoroid memasuki atmosfera bumi, ia dikenali sebagai tahi bintang. Kebanyakan tahi bintang terbakar di atmosfera.



Misi cari serpihan tahi bintang


Lubang yang dipercayai tempat sebutir tahi bintang jatuh di Tasik Chebarkul, Chelyabinsk

Pada 17 Februari 2013, Seorang jurucakap Kementerian Kecemasan Rusia berkata, enam penyelam memeriksa dasar Tasik Chebarkul di wilayah Chelyabinsk, 1,500 kilometer dari sini untuk mencari serpihan tahi bintang yang jatuh kelmarin.

Terdapat sebuah lubang besar di tasik berais itu yang dipercayai menjadi tempat tahi bintang tersebut jatuh. Tasik itu terletak 80 kilometer dari bandar Chelyabinsk. Namun, enam penyelam tersebut yang menyelam selama tiga jam gagal menemui sebarang serpihan tahi bintang.

"Mereka mendapati dasar tasik itu dipenuhi dengan 1.5 meter lumpur tebal," kata salah seorang anggota mencari itu kepada media Rusia.

Saintis Rusia sahkan serpihan batu meteorit

Pada 18 Februari 2013, Sepasukan saintis daripada Akademi Sains Rusia mengesahkan serpihan batu luar biasa yang ditemui di kawasan pergunungan Ural, tengah Rusia, sebagai meteorit, yang jatuh pada Jumaat 15 Februari 2013.

Saintis yang melakukan ujian kimia ke atas serpihan batu tersebut merumuskan bahawa batu itu berasal dari angkasa lepas. Seorang daripada pasukan penyelidik, Viktor Grokhovsky berkata, batu itu terbentuk daripada besi metalik, chrysolite dan sulfite.

INFO: Tahi bintang

* Tahi bintang adalah ketulan batu dari angkasa yang masuk ke atmosfera bumi
* Tahi bintang biasanya mencapai kelajuan 30,000 kilometer sejam

* Tahi bintang yang lebih kecil biasanya lepasi atmosfera bumi lima hingga 10 kali setahun
* Tahi bintang besar yang jatuh ke bumi biasanya berlaku setiap lima tahun

* Tahi bintang yang terakhir berlaku pada 2008 apabila ia meletup di Sudan tetapi tiada siapa cedera
* Tahi bintang yang dijual mempunyai nilai sehingga AS$670 (RM2,010) satu gram

* Bertanggungjawab atas kepupusan dinosaur 66 juta tahun lalu
* 20,000 petugas kecemasan ditempatkan di kawasan kejadian untuk bantu penduduk

Asteroid besar kian jauhi bumi


LAKARAN artis menunjukkan asteroid (kanan) itu mendekati bumi.

Asteroid besar 2012 DA14 terbang menghampiri bumi pada 16 Februari 2013 dan kini menjauhi planet ini, kata ahli astronomi Russia. Asteroid tersebut yang seberat 7,000 tan melintasi bumi pada kelajuan 13 kilometer sesaat beberapa jam selepas sebutir tahi bintang jatuh di wilayah Chelyabinsk, Rusia.

Asteroid itu bersaiz bangunan 15 tingkat, sampai ke titik paling dekat ke bumi jam 11.25 malam Jumaat 15 Februari 2013, mendekati planet pada jarak 27,700 kilometer, lebih rapat berbanding satelit komunikasi dan cuaca.

Ketika ini ia boleh disaksikan di bahagian tenggara langit, dalam buruj Virgo, lapan darjah di atas ufuk, kata pakar kaji bintang Institut Matematik Gunaan Keldysh, Leonid Yelenin.

Situasi itu berlaku kira-kira 16 jam selepas serpihan tahi bintang menyebabkan kira-kira 1,200 penduduk cedera di bandar Urals di Chelyabinsk, Russia.

Tak dapat dilihat

Asteroid itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar, bercahaya paling terang dengan magnitud jelas kira-kira 7.0. Seorang individu dengan penglihatan biasa dapat melihat objek cerah di langit pada magnitud 6.

Asteroid 2012 DA14, yang secara kasar bersaiz 50 meter dan seberat kira-kira 130,000 tan metrik, kali pertama dilihat sepasukan ahli astronomi Sepanyol di La Sagra Sky Survey.

Pengiraan mereka menunjukkan objek langit mungkin terbang hampir ke bumi pada 2013, dengan kemungkinan kecil pelanggaran.

Sementara itu di PASADENA, California, maklumat awal menunjukkan bahawa meteor di Chelyabinsk tidak dikaitkan dengan asteroid 2012 DA14, yang terbang menghampiri bumi kata Agensi Angkasa Lepas Amerika (NASA).

Di Malaysia, orang ramai dapat menyaksikan asteroid yang bergerak antara matahari dan bulan serta melalui ruang angkasa negara pada jam 3.30 pagi 16 Februari 2013.

Fenomena ini berlaku selepas 15 tahun. Asteroid berada pada jarak 28,000 kilometer dari bumi dan selepas melalui ruang angkasa kita, asteroid akan menjauhi bumi semula dalam peredaran mengikut orbitnya. Ia bergerak sangat pantas.

Sumber:

Laporan 1 daripada Utusan
Laporan 2 daripada BHarian
Laporan 3 daripada Kosmo
Laporan 4 daripada Kosmo
Laporan 5 daripada BHarian [2013/02/17]
Laporan 6 daripada BHarian [2013/02/17]
Laporan 7 daripada Kosmo
Laporan 8 daripada Kosmo
Laporan 9 daripada Utusan [18/2/2013]

3 comments:

MyFreeMinded berkata...

Besar sungguh kesannya, mujurlah tiada yang kehilangan nyawa.

Dayang Deno berkata...

bahaya kan....

Unknown berkata...

kiamat kian hampir